23 November 2022, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, telah berlangsung Majlis Menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis tersebut dihadiri oleh delegasi SPRM, iaitu seramai lapan orang yang diketuai oleh Datuk Izani Wan Ishak selaku Pengarah Bahagian Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP), SPRM. Sementara itu, DBP pula diwakili oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP.

Dalam ucapannya, Datuk Izani menjelaskan tujuan utama pelaksanaan khidmat nasihat di DBP adalah untuk memastikan amalan, sistem dan tatacara sesebuah badan awam tidak membuka ruang dan peluang kepada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan selaras dengan fungsi BPMP, SPRM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Perkara ini adalah selaras dengan aduan yang diterima oleh SPRM tentang urusan pengambilan di DBP yang menarik perhatian BPMP untuk melaksanakan pemeriksaan dan seterusnya memberikan khidmat nasihat yang sewajarnya kepada DBP,” ujarnya.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu, Datuk Izani turut memaklumkan tentang hasil pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara bagi urusan pengambilan di DBP yang secara keseluruhannya adalah teratur.

Beliau turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bertujuan untuk memantapkan lagi urusan pengambilan bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap DBP pada masa akan datang.

“Tahniah diucapkan kepada DBP yang telah memberikan sepenuh komitmen sepanjang sesi khidmat nasihat ini dijalankan, iaitu sejak 17 Ogos 2022,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Abang Sallehuddin dalam ucapannya memaklumkan bahawa DBP berpuas hati dengan pembentangan yang dibuat kerana usaha tersebut membuktikan bahawa aduan yang dikemukakan adalah tidak berasas. Tambahnya lagi, beberapa transformasi kaedah kerja dan penambahbaikan proses pengambilan telah dilaksanakan bagi memastikan proses tersebut mengikuti peredaran masa yang kalis dengan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah pihak pengurusan dan pegawai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.