Oleh Nurull Ain’am
3 Disember 2022, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nasri Nasehir Khan menerima Anugerah Pelajaran DiRaja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi pelajar terbaik segala lapangan pada 3 Disember 2022 di Auditorium Dewan Budaya, USM. Majlis penerimaan anugerah ini disempurnakan perasmiannya oleh Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.

“Anugerah ini merupakan anugerah yang amat berharga kerana saya tidak pernah sangka akan menerima anugerah pingat berprestij ini,” ujar pelajar terbaik Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu.

Menurut beliau, cabaran terbesar sebagai seorang pelajar yang beliau alami adalah stigma orang sekeliling terhadap dirinya. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat segelintir masyarakat yang cuba merendahkan perjuangan dan matlamatnya, malah ada yang ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya bagi membuktikan beliau mampu memecahkan rekod pelajar terbaik dengan purata PNGK 4.00 hingga ke tahun akhir.

Dengan komitmen yang menggunung, berkat doa, usaha dan sokongan daripada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan, Muhammad Nasri berjaya peroleh purata PNGK 4.00 bagi jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Pencapaiannya ini melayakkan beliau menerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja, Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia kepada pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dan Hadiah Buku Universiti Sains Malaysia kepada pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian).

Beliau juga mengatakan ramai yang tertanya-tanya akan rahsia kejayaannya, namun baginya sepanjang menuntut ilmu, beliau berpegang teguh dengan tiga hubungan utama, iaitu hubungan dengan Allah; hubungan dengan manusia, termasuklah ibu bapa, pemberi ilmu, orang sekeliling; dan hubungan dengan alam. Tambah beliau, kata orang alim, “jika kita mengejar dunia, dunia akan jauh daripada kita, namun jika kita mengejar akhirat, dunia akan turut serta bersama-sama kita.” Beliau turut menasihati agar pelajar tidak mengamalkan budaya menangguhkan kerja kerana perkara ini menjadi satu daripada asbab penghalang kejayaan dalam hidup.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.