14 Disember 2022, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Daripada sebuah negara pertanian yang hampir separuh penduduknya miskin, Malaysia kini selangkah menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi. Kemajuan pembangunan negara ini adalah meluas setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan, disebabkan oleh rakyatnya rata-ratanya berpendidikan, mempunyai sistem kesihatan berkualiti, infrastruktur yang baik serta jalinan sistem pengangkutan yang menyeluruh. Malaysia berada di pentas global, berdaya saing dan merupakan antara pilihan untuk destinasi pelaburan global. Kajian Bank Dunia, The Growth Report (2008), menyenaraikan Malaysia sebagai antara 13 buah negara yang dianggap “berjaya” dalam konteks pembangunan.

Apa-apa jua kejayaan pembangunan yang dilaporkan; kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), penawaran pekerjaan, kemajuan digital, peningkatan eksport, kehebatan penyelidikan dan inovasi, kemajuan teknologi, kecekapan perkhidmatan awam, jalinan lebuh raya yang efisien, tahap produktiviti yang semakin tinggi dan pelbagai lagi petunjuk pembangunan– menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat. Tahap pendapatan adalah antara ukuran yang penting dalam menilai kejayaan pembangunan. Di manakah kita sekarang? Apakah kejayaan pembangunan yang dilaporkan disumbangkan kepada rakyat? Adakah rakyat menikmati keselesaan dan kesejahteraan?

Natijahnya, manfaat pembangunan tidak tersebar kepada semua kelas pendapatan. Secara umumnya, pendapatan semua lapisan masyarakat (B40, M40, dan T20) telah meningkat tetapi kadarnya tidak sama. Golongan T20, jelas lebih menikmatinya. Golongan berpendapatan B40 dan M40 tidak menikmati kejayaan pembangunan negara seperti golongan T20. Pastinya salah jika kita mahukan semua mempunyai pendapatan yang sama. Kepelbagaian tahap pendapatan tetap akan wujud dan turut menjadi faktor dorongan untuk bersaing, berusaha lebih gigih dan adalah kurang wajar untuk menyalahkan golongan T20.

Perkara yang perlu diperbaiki ialah perkara yang sampai dan boleh dicapai oleh kumpulan pendapatan menengah dan rendah, iaitu “kadar” peningkatan pendapatan rendah dan malar bagi golongan B40 dan M40. Dengan mengambil kira kenaikan kadar inflasi dan ragam penggunaan, berkemungkinan kehidupan mereka lebih tertekan. Polisi berbentuk bantuan boleh diteruskan tetapi tidak mampu  untuk menyelesaikan masalah. Penekanan kepada pengupayaan dan peluang menjana pendapatan perlu ditingkatkan. Strategi pertumbuhan berpendapatan rendah diperlukan. Sekiranya dibiarkan, ramai yang akan terperangkap dan ini akan menjadikan Malaysia sebuah “negara maju, tetapi rakyatnya tidak”.

Hampir separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang rentan mudah terjejas. Pendapatan tahap menengah Malaysia ialah RM5873. Tahap pendapatan ialah 2.5 kali dari Garis Kemiskinan, iaitu pada RM5520 yang dianggap rentan mudah jejas. Pandemik COVID-19 jelas memaparkan kerentanan ini. Sekitar 97% usahawan di Malaysia terlibat dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Sekitar 66% tenaga kerja Malaysia pula bekerja dengan PMKS dan sebahagian besar darinya (70%) adalah daripada perusahaan Mikro (kurang dari 5 pekerja) sangat rentan dan dalam sektor tradisional. Ramai golongan B40 juga terlibat dalam sektor informal, iaitu tiada pendaftaran perniagaan dan tiada perlindungan sosial.

Sektor perkhidmatan pula menyumbang 55% daripada ekonomi negara tetapi umumnya dipelopori oleh aktiviti lazim tidak bersifat canggih. Pertaruhan Malaysia menjadi hebat apabila banyak bersandarkan kepada sektor industri pembuatan (36% dari GDP) dan umumnya yang diraikan ialah kemasukan pelaburan asing FDI. Adakah cukup sekadar sektor pembuatan sahaja? Bagaimanakah pula dengan sektor yang lain? Profesor Dani Rodrik, sarjana pembangunan dari Harvard pernah menyatakan bahawa tiada negara boleh menjadi hebat selagi aktiviti ekonomi domestik dan penduduknya tidak hebat. FDI memang diakui penting, tetapi sekiranya FDI dikeluarkan, di manakah kedudukan Malaysia?

Polisi untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan PMKS perlu ditingkatkan. Adalah penting untuk menarik pelaburan asing (FDI), tetapi kemajuan pelaburan dan keupayaan perusahaan tempatan (DDI) mestilah menjadi agenda utama, setanding dengan FDI. Masalah buat majoriti rakyat ialah kehidupan yang tertekan dan tidak selesa. Kehidupan mereka hanya “cukup-cukup” sahaja. Benar kemiskinan masih wujud di Malaysia, iaitu kadar terkini dilaporkan sekitar 8.4%.  Menangani kemiskinan tetap penting tetapi setelah 65 tahun merdeka, majoriti masalah rakyat telah berubah kepada “tidak selesa”, bukan kemiskinan. Keresahan yang selalu dilaporkan ialah mengenai hidup tertekan dan tidak selesa yang menjurus dari kemiskinan.

Penggubal dasar perlu menilai “keselesaan” dengan lebih jelas. Sehingga kini, belum ada pentakrifan dan pengumpulan data rasmi yang menunjukkan tahap keselesaan. Penggunaan data golongan berpendapatan B40, M40 dan T20 tidak membantu. Data tersebut merupakan ukuran kelas ekonomi secara “matematik relatif”, namun tidak membawa makna kualiti kehidupan secara langsung, dan hal ini tetap ada walaupun di negara yang paling kaya di dunia. Keselesaan turut tertakluk pada lokasi dan tanggungan. Sebagai contoh, ukuran yang pernah dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan, isi rumah seramai empat orang memerlukan pendapatan sebanyak RM6810 di Lembah Kelang, sementara di Alor Setar ialah RM5350. Ertinya sebahagian daripada golongan M40 dan ke bawah masih belum dapat hidup dengan selesa. Mereka mungkin keluar dari kelas B40 tetapi hidup tidak selesa. Malah terdapat golongan yang mungkin berada dalam kategori M40 tetapi hidup tertekan.

Kesejahteraan mempunyai cakupan yang luas, melangkaui tahap pendapatan dan kuasa beli, dan bukan semuanya boleh diukur dengan nilai monetari. Perpaduan, keselamatan, toleransi kepelbagaian bangsa dan agama, kebahagiaan rumah tangga, keharmonian masyarakat, alam sekitar yang bersih, tadbir urus yang baik, kebebasan bersuara, jaminan hak asasi dan beberapa ukuran pembangunan yang lain adalah bersifat “awam”, tiada empunya mutlak adalah penting dalam menilai kesejahteraan. Umumnya, peningkatan pendapatan berkemungkinan membolehkan aspek kesejahteraan bersifat “awam” ini direalisasikan.

Sebagai kayu ukur, tahap pendapatan yang membolehkan kehidupan yang selesa wajar menjadi sasaran perancangan pembangunan ekonomi, bukan sekadar miskin atau kaya, tetapi tahap keselesaan. “Merdeka ekonomi” seharusnya dimanifestasikan oleh peningkatan kesejahteraan kehidupan. Belanjawan 2023 boleh menjadi medan perbicaraan aspek keselesaan ini. Negara Berpendapatan Tinggi yang bagaimana anda mahukan? Lagu patriotik Wawasan 2020-Malaysia,iaitu lagu bertemakan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 telah didendangkan hampir 30 tahun. Namun begitu, saban tahun kita mengukur pendapatan perkapita negara, dan sejauh manakah lagi untuk mencapai wawasan ini?

Wawasan 2020 sudah berlabuh. Matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi masih belum dicapai. Tanah yang luas, penduduk yang ramai, sumber asli yang banyak bukan lagi syarat utama sebuah negara menjadi hebat. Asas ekonomi yang canggih berupaya mengaplikasikan teknologi tinggi, disokong oleh ekosistem dan infrastruktur yang lengkap, kecekapan kerajaan, kestabilan politik dan kesediaan bakat yang hebat mempengaruhi daya saing negara.

Sepanjang 30 tahun, negara mengharungi empat krisis ekonomi yang merencatkan pertumbuhan; iaitu Krisis Ekonomi Asia Timur (1997/98), Krisis Dot.Com (2001), Krisis Kewangan Global (2008/09) dan terkini Krisis Pandemik COVID-19 (2020/21).  Pendapatan per kapita meningkat dari USD2400 pada tahun 1990 ke USD10570 pada tahun 2020. Negara telah ketinggalan sebanyak 17% berbanding dengan pendapatan tinggi. Jarang-jarang sekali kita bertanya, bagaimanakah negara berpendapatan tinggi yang kita mahukan? Bagaimanakah corak kehidupan yang kita idamkan untuk Malaysia apabila status negara berpendapatan tinggi tercapai?

Adakah kita mahu menjadi seperti Amerika Syarikat? Jika disentuh mengenai perbandingan kos, Amerika Syarikat yang merupakan negara berpendapatan tinggi, kerana  pendapatan pertengahannya ialah A.S.$ 61 937, iaitu sekitar A.S.$5162 sebulan. Jika mengikut “angka” (tidak dilihat dari segi mata wang) nilai tersebut lebih kurang menyamai Malaysia, iaitu RM5873 pendapatan pertengahan bulanan. Terkini, akibat COVID-19, kadar kemiskinan di Amerika ialah 11.4%, iaitu jauh lebih tinggi dari Malaysia, iaitu 8.4%. Kos perubatan adalah sangat mahal dan sekitar 56% rakyat Amerika mempunyai insurans. Selebihnya, sakit biasa “dirawat sendiri” dan membeli ubat tidak terkawal melalui ubat belian kaunter di farmasi. Bagi ubat terkawal, hanya doktor yang boleh memberikan preskripsi dan juga hanya boleh dibeli daripada ahli farmasi berdaftar. Adakah sistem ini lebih baik?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.