15 Disember 2022, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada era 70-an dan 80-an, kata-kata “Anda adalah apa yang anda makan” memang popular, terutamanya dalam kalangan orang Barat. Petikan daripada artikel Alexander Schauss dan C. Simonson pada tahun 1979, Journal of Orthomolecular Psychiatry, Vol. 8 menunjukkan bahawa semenjak tahun 1970, peranan vitamin, bahan pengawet, gula dan diet dikaji, terutamanya yang membabitkan tingkah laku golongan remaja.

Kajian mengenai nutrisi sebagai punca perlakuan jenayah bertitik tolak daripada teori ketidakseimbangan biokimia. Menurut teori yang diasaskan oleh Louis Berman dalam bukunya The Glands Regulating Personality, tahun 1921, pelakuan jenayah mempunyai kesan secara langsung daripada gangguan terhadap keseimbangan biokimia seseorang. Sebagai contoh, kebanyakan penyelidik berpendapat bahawa tingkah laku skizofrenia yang sering menjadi faktor kelakuan jenayah berpunca daripada keabnormalan proses biokimia dalam badan.

Berdasarkan hasil kajian Leonard J. Hipchen dalam bukunya The Need for a New Approach to the Delinquent Criminal Problem, meskipun keabnormalan proses biokimia kerap dikaitkan dengan faktor selain daripada nutrisi (faktor genetik), nutrisi yang tidak elok juga dilihat sebagai penyebab utama terhadap ketidakseimbangan kimia.

Satu daripada punca ketidakseimbangan kimia ialah kekurangan nutrisi yang berkualiti ataupun diet yang tidak baik. Dalam hal ini, kajian mengenai hubungan antara tingkah laku jenayah dengan nutrisi turut menemukan satu lagi bidang kajian yang mengaitkan jenayah dengan kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi. Berdasarkan dapatan kajian serpihan ini, malnutrisi merupakan antara faktor penyebab pelakuan jenayah, terutamanya dalam kalangan golongan miskin. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak daripada keluarga miskin tidak mendapat makanan yang seimbang disebabkan oleh ketidakmampuan keluarga untuk membeli atau menyediakan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Akibatnya, mereka tidak dapat menerima vitamin yang secukupnya. Hatta, secara tidak langsung, masalah ini boleh mencetuskan keganasan dan kelakuan yang tidak rasional dalam kalangan kanak-kanak tersebut.

Fenomena ini turut dijelaskan oleh Macklin Fleming dalam artikelnya yang berjudul A Short Course in the Causes of Crime pada tahun 1979, menggariskan rasional – faktor kelaparan menyebabkan seseorang terjerumus ke arah tingkah laku jenayah. Teori ini relevan dengan contoh klasik oleh tokoh falsafah dan politik belanda Grotius, Hugo (tahun 1583 – 1645) yang mengatakan, “manusia mencuri roti untuk memberikan makanan kepada anak-anaknya”.

Hipoglisemia

Seterusnya, hubungan antara kandungan gula yang rendah dalam darah dengan perlakuan jenayah. Kajian ini bermula sejak tahun 1927, apabila J. La Barre dan pembantunya menjalankan beberapa siri uji kaji bagi mendalami peranan sistem deria sentral manusia dalam mengawal rembesan organ pankreas.

Berdasarkan kajian tersebut, didapati bahawa ketidakcukupan metabolisme gula (hipoglisemia) boleh menatijahkan kondisi, yakni tahap glukosa dalam darah tidak mencukupi bagi fungsian otak dan badan secara teratur. Hal ini penting kerana otak yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan kerasionalan dan kebolehan seseorang untuk membuat pertimbangan akan merudum. Meskipun diketahui bahawa otak hanya memiliki dua peratus hingga empat peratus daripada berat badan manusia, namun otak memerlukan 25 peratus daripada pembekalan glukosa dalam badan.

Menurut pakar nutrisi, hipoglesimia hakikatnya berpunca daripada amalan pemakanan gula yang diproses, seperti kanji dan bahan tambahan makanan yang tinggi. Amalan pemakanan yang tidak sihat ini menyebabkan berlakunya turun dan naik kandungan gula dalam darah yang ekstrem.

Menurut J. A. Yaryura Tobias dan F. Neiziroglu, dalam kertas kajian mereka berjudul Violent Behavior, Brain Dysrhythmia, Glucose Dysfunction and New Syndrome yang diterbitkan pada tahun 1975, simptom hipoglesimia dalam kalangan penjenayah dalam penjara atau pusat pemulihan sebenarnya satu perkara lumrah. Penyataan dalam kajian ini turut disokong oleh Hippchen yang mengamati bahawa orang yang mengalami simptom hipoglesimia berpotensi untuk melakukan perbuatan mencuri, merogol, arson (bakar harta benda), serangan dan homisid (bunuh). Hipchen turut berpendapat bahawa kebanyakan mereka yang pernah disabitkan kesalahan homisid dek penyakit mental paranoid skizofrenik turut mengalami hipoglesimia.

Kekurangan Vitamin

Amalan pemakanan pelbagai vitamin bagi pengekalan tahap kesihatan yang baik menjadi perkara lumrah dalam kalangan masyarakat global. Apatah lagi kekurangan pengambilan vitamin ini yang bukan sahaja mempengaruhi tatalaku manusia, bahkan membabitkan pelibatan diri dalam jenayah.

Susulan daripada itu, Hippchen menjalankan satu peninjauan yang berkaitan dengan hubungan antara kekurangan vitamin dengan delinkuen juvenil. Menurut beliau, kekurangan pengambilan beberapa jenis vitamin menjadi punca kepada pelanggaran undang-undang, termasuklah ponteng sekolah dan melarikan diri dalam kalangan remaja. Tambah beliau lagi, seseorang yang didapati kurang mengambil vitamin boleh mengalami gangguan pendengaran, penglihatan dan deria lain yang serius. Tidak terhenti di situ, defisit vitamin ini juga menyebabkan tingkah laku yang ganas dan tindakan antisosial.

Sebagai contohnya, kekurangan asid nikotin atau lebih dikenali sebagai vitamin B3 boleh menyebabkan badan manusia menghasilkan taraxein (sejenis protein) dalam kuantiti yang luar biasa. R. G. Heath, menerusi artikelnya bertajuk Effect on Behavior of Humans with the Administration of Taraxein yang diterbitkan pada tahun 1957, menyatakan bahawa taraxein boleh menyebabkan epinefrin, yakni sejenis hormon komunikasi sel saraf yang bertukar menjadi bahan toksik yang boleh menjana halusinasi dan skizofrenia.

Namun begitu, Hoffer mendedahkan melalui uji kajinya bahawa kebanyakan simptom skizofrenia sama dengan gejala pelagra, yakni kekurangan niasin atau vitamin B3. Menurut pengalaman Hoffer yang diperincikan dalam kertas kajian Biology and Crime oleh H.E. Kelly, tindakannya memberikan rawatan kepada pesakit skizofrenia dengan dos vitamin B3 yang banyak berjaya memulihkan mereka tanpa sebarang gejala penyakit mental itu.

Sementara itu, Bernheim dan Levine pula mengetengahkan kesimpulan daripada hasil uji kaji penyelidik lain dalam buku mereka berjudul Schizophrenia: Symptoms, Causes, Treatments pada tahun 1979 bahawa kegagalan pesakit skizofernia untuk mengawal penghasilan bahan halusinogen berpunca daripada kekurangan vitamin C dan vitamin E dalam badan.

Alkoholisme

Oleh itu, kajian tentang minuman alkohol tergolong di bawah teori nutrisi sebagai faktor  jenayah dan hubung kaitnya dengan kelakuan jenayah. Secara umumnya, bagi orang bukan Islam, alkohol dilihat sebagai minuman yang berkesan untuk mengurangkan perasaan malu seseorang, terutamanya ketika sedang bersosial.

Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila seseorang meminum alkohol, kandungan alkohol dalam darahnya akan memperlahankan fungsi sistem deria pusat dan pusat kawalan tindakan dalam otak dengan menyebabkan kehilangan oksigen pada bahagian dasar otak. Apabila pusat kawalan tindakan dalam otak menjadi perlahan, maka peminum alkohol akan bermula untuk bercakap banyak, aktif dan agresif. Dalam situasi seperti inilah seseorang itu lebih cenderung untuk melakukan jenayah.

Sebagai menyokong mekanisme dalaman ini, Russel Smith dalam artikel kajiannya Acholisme and Criminal Behavior menegaskan bahawa alkohol juga boleh menyebabkan kekejangan otak yang serius, hatta merembeskan hormon seakan-akan adrenalina. Lazimnya, penghasilan hormon tersebut dalam kadar yang banyak mengakibatkan tahap paranoia yang hiperaktif dan berbahaya. Dalam keadaan ini, seseorang akan hilang pertimbangan dan berkelakuan lebih agresif, hatta berpotensi untuk melakukan jenayah yang ganas.

Amalkan Pemakanan Sihat

Hasil daripada pelbagai dapatan penyelidik berhubung dengan teori nutrisi di sebalik perlakuan jenayah yang dikemukakan dalam penulisan ini, maka terbuktilah bahawa tingkah laku jenayah mempunyai hubungan secara langsung dengan pengambilan nutrisi. Malahan, menerusi kajian mengenai nutrisi ini ditemui pula peri pentingnya teori ketidakseimbangan biokimia. Turut dibincangkan dalam penulisan ini berkaitan dengan kesan kekurangan gula dalam darah, kekurangan vitamin dan alkoholisme yang merupakan antara fenomena penting dalam membuktikan kaitan antara nutrisi dengan kelakuan jenayah.

Oleh hal yang demikian, untuk mencegah pelakuan jenayah, seseorang itu, selain memahami dan mematuhi undang-undang jenayah, harus mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat, yakni makan makanan seimbang yang kaya dengan pelbagai vitamin dan kurangkan pengambilan gula yang telah diproses, bahan tambahan makanan dan makanan berasaskan kanji. Tidak cukup dengan itu, hindarilah daripada minuman alkohol bagi mengelakkan sebarang pelakuan jenayah yang bukan sahaja memberikan kesan kepada diri sendiri, malah orang sekeliling.

Penulis, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.