7 Januari 2023, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Menteri Pendidikan pada Disember lalu, YB Fadhlina Sidek terus komited untuk memastikan bahawa kualiti pendidikan negara akan terus terjamin. Antara pendekatan yang dibawa oleh beliau adalah dengan memperkenalkan tujuh teras utama yang menjadi nadi kementerian tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dalam sesi temu bual program Sembang Didik yang disiarkan melalui DidikTV pada malam tadi, pengalaman beliau selama 20 tahun sebagai aktivis dan juga peguam telah membantu beliau menerajui KPM dengan lebih efisien. Hal ini dapat dilihat apabila beliau telah menjadikan tempoh dua minggu ketika beliau mula-mula menerajui KPM sebagai fasa mendengar setiap permasalahan dan isu yang wujud dalam kalangan pemegang taruh di KPM.

Sebagai usaha untuk memastikan KPM terus komited memberikan pendidikan untuk semua, maka tujuh teras utama telah diperkenalkan pada 15 Disember 2022 yang memberikan penekanan terhadap semua pemegang taruh seperti pelajar, guru dan ibu bapa. YB Fadhlina Sidek turut mengatakan bahawa keutamaan kerajaan pada hari ini adalah berkaitan dengan taraf ekonomi dan isu kos sara hidup. Oleh itu, isu kemiskinan yang dihadapi dalam kalangan pelajar, terutama golongan B40 amat dititikberatkan.

YB Fadhlina Sidek mengulas lanjut tentang kemiskinan yang tidak boleh ditakrifkan dalam konsep satu hala sahaja, namun harus dilihat secara multidimensi. Hal ini  demikian kerana kemiskinan turut merangkumi kemiskinan dari segi kemiskinan peranti, kemiskinan nutrisi dan kemiskinan ruang belajar.

Sembang Didik menampilkan YB Fadhlina Sidek membicarakan tentang tujuh teras utama yang dibawa oleh KPM.

“Oleh itu, kerjasama dengan kementerian lain untuk menangani masalah kemiskinan amat diperlukan. KPM telah bekerjasama baik dengan semua kementerian kerana pendidikan merupakan nadi negara. Selain itu, kerjasama dengan komuniti juga penting dalam menyokong isu pendidikan negara,” ulas beliau ketika program Sembang Didik yang dikendalikan oleh Nisa Kay dan Akhmal Nazri sebagai pengacara.

Selain isu kemiskinan, isu komunikasi antara kementerian dengan sekolah juga merupakan perkara penting untuk memastikan komunikasi tersebut lebih cekap dan telus. Antara langkah yang diambil oleh KPM adalah dengan memperkenalkan portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Portal Aduan Buli. Melalui portal tersebut, kesemua aduan dapat dibuat dan ditangani dengan lebih efektif dan berkesan.

Tambah beliau, Portal Aduan Buli bukan sahaja memberikan manfaat kepada guru, namun turut memberikan manfaat kepada pelajar kerana mereka boleh menyalurkan aduan dan berhubung secara langsung. Hingga kini, jumlah aduan yang diterima melalui Portal Aduan Buli telah melebihi 260 aduan dan KPM sedang menangani kesemua aduan tersebut secara efektif dan segera. Beliau turut memberikan jaminan kepada semua pemegang taruh bahawa setiap aduan akan ditangani tanpa kompromi.

YB Fadhlina Sidek turut menerangkan bahawa setiap sekolah mempunyai permasalahan yang tersendiri. Sebagai contoh, isu kepadatan pelajar dalam sesebuah sekolah, terutamanya di bandar. Oleh itu, pendekatan holistik harus dibuat seperti penempatan di sekolah baharu untuk mengurangkan jumlah kepadatan pelajar.

Sebagai kementerian yang peka terhadap setiap permasalahan berkaitan dengan pendidikan negara. YB Fadhlina Sidek turut mengatakan bahawa KPM telah menyalurkan sebanyak RM50 juta untuk penyelenggaraan pasca banjir yang melanda negara baru-baru ini. Hal tersebut amat penting untuk memastikan sekolah tersebut selamat untuk pelajar dan guru.

Dalam sesi bual bicara tersebut, beliau turut mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan aspek karamah insaniah yang ditekankan dalam tujuh teras utama KPM. Konsep karamah insaniah tersebut menerangkan konsep menyatukan antara segmen Rukun Negara dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Apabila kita berbicara tentang karamah insaniah, kita inginkan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dirangkul bersama-sama dalam konteks karamah insaniah. Dalam konteks tersebut, konsep manusiawi turut diperkenalkan, iaitu setiap pelajar mempunyai perasaan empati dan kasih sayang antara satu sama lain.

Selain menjaga kebajikan pelajar, kebajikan guru juga menjadi fokus utama dalam teras utama yang dibawa oleh KPM. Antara isu kebajikan guru yang saban tahun menjadi fokus KPM adalah berkaitan dengan bebanan yang dihadapi oleh guru. Oleh itu, antara langkah awal yang telah diumumkan pada 15 Disember 2022 adalah dengan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, yang akan memfokuskan secara terus berkaitan dengan masalah bebanan guru.

Beliau turut berkata,

Pendidikan mempunyai jumlah pemegang taruh yang besar kerana setiap pihak berpandangan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan akan menentukan watak bangsa dan pendidikan akan menentukan masa depan negara. Oleh itu, KPM akan mendapatkan pandangan dan saranan daripada setiap pemegang taruh untuk menambah baik fungsi KPM.

Tujuh teras utama yang akan diberikan tumpuan penuh oleh KPM adalah seperti yang berikut:

  1. Menjadikan komunikasi antara kementerian dengan sekolah lebih cekap dan telus;
  2. Menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti;
  3. Memberikan perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40, termasuklah aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran;
  4. Memberikan perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan masalah literasi dan numerasi;
  5. Memberikan fokus terhadap kebajikan guru;
  6. Memperkukuh usaha ubah suai dan naik taraf sekolah, termasuklah bangunan daif di Sabah dan di Sarawak; dan
  7. Meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.