Sungai Petani – Sebanyak 28 orang mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) di Masjid Muhibbudin Sungai Pasir, Jalan Batu Lintang, Sungai Petani, Kedah pada hari ini.
Program yang disertai oleh mahasiswa dari kumpulan Kesatria Negara 2 (P4HBU 121B sesi Oktober 2022-2023) tersebut merupakan program anjuran Unit Kokurikulum Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Ketua Program OPKIM, Puan Nur Adlin Hadhirat Mahadi berkata, antara aktiviti yang disusun untuk program pada hari ini, termasuklah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar masjid dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Menurut beliau lagi, melalui penganjuran program seperti ini, mahasiswa dapat mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat dan membangkitkan kesedaran untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada masyarakat.
“Apabila tidak mempunyai ilmu yang secukupnya, para pelajar sukar untuk melaksanakan aktiviti OPKIM di tempat lain.”
Sebelum melakukan kerja-kerja di Masjid Muhibbudin Sungai Pasir, para peserta telah diberi taklimat mengenai perjalanan aktiviti gotong-royong tersebut. Wakil peserta, Saudara Aniq Ihtisyam Mohd Saupi, telah memimpin bacaan doa bersama-sama dengan ahli jawatankuasa masjid yang lain.
Puan Nur Adlin Hadhirat Mahadi berharap supaya aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih kerap agar selepas tamat pengajian nanti, mahasiswa mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di luar sana.