Oleh Firdaus Mul
13 Januari 2023, 23:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sektor pendidikan merupakan antara sektor terpenting dalam sesebuah negara. Hal ini demikian kerana, kemampanan dan keberkesanan sistem pendidikan akan menjamin mutu pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda di sesebuah negara. Lebih-lebih lagi terhadap sistem pendidikan di Malaysia yang mempunyai hala tujunya yang tersendiri, yakni ingin melahirkan generasi muda yang berminda kelas pertama dan mampu berdaya saing mengikut corak kepentingan dan tuntutan semasa.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa dalam usaha untuk mewujudkan dan melahirkan sistem pendidikan yang berkualiti di negara ini, masih wujud beberapa cabaran dan rintangan, ditambah pula dengan arus pembangunan dan permodenan di Malaysia yang pada akhirnya menjadikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaku pemegang taruh utama sistem pendidikan perlu bergerak lebih proaktif dan komprehensif bagi memastikan kemampanan dan keberkesanan sistem pendidikan di Malaysia terus terjamin.

Menyentuh tentang perihal cabaran dalam sektor pendidikan, malam ini dalam siri rancangan Naratif Khas anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dengan membawa penonton untuk menyaksikan perkongsian Menteri Pendidikan dalam bual bicara bertajuk “Mendepani Cabaran Sektor Pendidikan” yang dipengerusikan oleh Ismail Adnan. YB Fadhlina Sidek membuka tirai bicaranya dengan menegaskan iltizam kerajaan berkenaan dasar pendidikan yang digagaskan oleh KPM.

“Ketika ini tumpuan negara tertumpu pada isu ekonomi dan juga kos sara hidup. Oleh itu, semua kementerian tidak terkecuali perlu berdepan dengan isu ini, temasuklah KPM. Oleh sebab itu, apabila berbicara tentang hala tuju, KPM telah menggariskan tujuh aspirasi,” jelas YB Fadhlina Sidek ketika memulakan bicara.

Menurut beliau, kementeriannya akan meneruskan dasar-dasar sedia ada, dengan tumpuan ekonomi dan kos sara hidup diberi keutamaan, tetapi tidak meminggirkan soal aspirasi tersebut. Tujuh aspirasi ini mengambarkan keseluruhan pergerakan, hala tuju, dan cabaran yang  akan hadapi oleh KPM sepanjang tahun 2023 dan pada masa hadapan.

Beliau juga menjelaskan bahawa KPM merupakan antara pemegang taruh terbesar di negara ini dengan menaungi lebih 400 ribuorang guru, lima juta kanak-kanak, 10 ribu buah sekolah dan 10 ribu buah perpustakaan.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau,

Kita mempunyai satu dimensi sistem pengurusan terbesar dari segi pemegang taruh dan ibu bapa, guru-guru yang kita kasihi dan juga kanak-kanak. Oleh itu, apakah maknanya apabila kita menyebut tentang pemegang taruh ini? Konsultasi dan musyawarah harus berlaku dan sepanjang saya berada di KPM, saya telah membuka ruang untuk semua pihak datang ke KPM untuk berbincang dan meneliti setiap isu.

Bicara beliau dilanjutkan lagi dengan menyentuh perihal peruntukan kepada KPM pada setiap tahun dan disifatkan sebagai antara kementerian di Malaysia yang menerima peruntukan tertinggi.

Jelas beliau,

Ramai yang menyangkakan disebabkan KPM diperuntukan satu jumlah peruntukan yang besar, maka peruntukan itu harus dilihat untuk menguruskan semua urusan pembangunan dan berkaitan dengan penyelengaraan sekolah semata-mata. Saya harus perbetulkan naratif itu kerana peruntukan sebanyak 82 peratus itu adalah untuk membayar gaji sahaja. Kita mempunyai 400 ribu orang guru, pegawai di jabatan tertentu dan selebihnya itu barulah diperuntukkan untuk program pembangunan.

Beliau juga menjelaskan bahawa, selain daripada cabaran isu sekolah daif yang menjadi tumpuan di kawasan luar bandar, kepadatan pelajar dalam sesebuah sekolah di kawasan bandar juga akan menjadi keutamaan KPM.

Soal pembangunan ini bukan hanya tertumpu pada fasilitet yang daif, malah turut melibatkan isu lain yang unik pada setiap sekolah. Kefahaman ini sangat diperlukan supaya kita saling mendokong soal pembangunan daif, penyelengaraan dan isu di setiap sekolah yang kita lihat secara berbeza.

Menyentuh tentang perihal sistem pendidikan negara pula, beliau menyifatkan bahawa pihak KPM tidak mahu melihat sistem pendidikan di negara ini hanya tertumpu pada soal akademik semata-mata, namun harus bersangkut-paut dengan pembinaan karakter seseorang pelajar, yakni menjadikan penilaian terhadap golongan pelajar itu dengan penilaian yang lebih holistik.

“Antara perkara yang menjadi keutamaan saya, termasuklah proses latihan untuk guru. Hal ini dikatakan demikian kita perlu memperkukuhkan dan memperjuangkan dalam semua segmen, lebih-lebih lagi berkaitan dengan belanjawan untuk memastikan guru mendapat latihan yang secukupnya dan tahap professionalisme mereka dipertingkatkan. Maknanya, kita akan memfokuskan mengenai guru-guru yang akan menguasai satu zaman yang fenomena, yakni zaman digital. Inilah antara perkara yang kita sedang lakukan, demi mengukuhkan Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan. Dasar ini saya fikir sangat penting pada ketika ini dari segi penglibatan dan juga perkembangan semasa”. tegas beliau.

Beliau juga mengakui akan isu kekurangan infrastruktur dan akses ketersampaian jaringan Internet dalam sektor pendidikan, lebih-lebih lagi dalam usaha membentuk Dasar Pendidikan Digital. Namun begitu beliau bertegas, “Kita perlukan dasar ini (Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan) kerana dasar ini akan menjadikan infrastruktur dilengkapkan dan tidak akan menyebabkan mana-mana pihak akan ketinggalan, iaitu apabila apabila kita mempunyai dasar, maka infrstruktur perlu diwujudkan dan harus dipersiapkan. Apabila kita mempunyai dasar tertentu, maka peranti juga harus lengkap. Kita sedang dalam proses menyediakan semua perkara tersebut, kerana perkara ini juga merentas kementerian yang lain. Persiapan itu kita sedang lakukan dan kita mahu pastikan dalam tempoh yang terdekat, contohnya pada tahun 2030 kelak kita mahu semuanya sudah lengkap,” tegas beliau.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru di Malaysia, atas jasa dan pengorbanan yang mereka lakukan, demi memastikan kelangsungan pendidikan di negara ini. Beliau juga menjelaskan bahawa KPM sentiasa mengutamakan permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru di Malaysia, lebih-lebih dengan isu beban guru dan tugas perkeranian yang sememangnya bukan tugas seorang guru kerana tumpuan utama seorang guru ialah terhadap pengisian proses pengajaran dan pembelajaran. Tambah beliau, isu tersebut menjadi isu tumpuan KPM pada ketika ini untuk diselesaikan dan memohon sedikit masa bagi membentuk penyelesaian secara holisitik dan berkesan.

Pada akhir sesi rancangan, beliau sempat menyatakan harapan dengan menjelaskan “kualiti guru mesti dipertingkatkan, kemudian peningkatan potensi dan karakter pelajar mesti dikembangkan dan kita mahu melihat bahawa pendidikan karakter menjadi tumpuan dalam konteks merapatkan jurang pendidikan.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.