Oleh Fadhli Ali
21 Januari 2023, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Sama ada anda membaca untuk keseronokan atau untuk menambahkan ilmu, membaca pasti memberikan “sesuatu” kepada pembacanya. Hal ini pastinya bergantung pada jenis dan topik yang dibaca, jika ilmu yang dibaca mendatangkan kebaikan, maka pembacanya akan mendapat ilmu yang berguna, jika sebaliknya, maka ilmu itu juga mampu menjejaskan pembacanya.

Misalnya, seseorang pembaca membaca untuk mendapatkan ilmu dalam bidang kulinari. Hal ini merangkumi teknik masakan yang betul yang pada akhirnya akan menghasilkan masakan yang enak. Daripada kemahiran yang dipelajari melalui pembacaannya, seseorang itu berpeluang untuk memasarkan masakannya dan mungkin akan membolehkannya menceburi bidang perniagaan. Hal ini berbeza daripada seseorang yang membaca cara memproses bahan terlarang seperti dadah. Jika ilmu yang diperolehnya digunakan untuk memproses dadah, pada akhirnya nanti hal itu akan menjerumuskannya ke kancah jenayah.

Membaca menambahkan dan memperkayakan kita dengan ilmu pengetahuan. Namun begitu, sebagai pembaca, seseorang haruslah bijak memilih bahan bacaan yang dibacanya. Menyedari bahawa membaca bahan bacaan yang berkualiti  dapat menjadikan seseorang itu berjaya dan menjadi bangsa yang maju,  banyak pihak mengukur tahap pembacaan sesebuah negara dengan mengaitkannya dengan kemajuan dan pembangunan sebuah tamadun bangsa.

Maka itu, akhbar Independent pada tahun 2016 merumuskan  bahawa India mendahului negara di dunia sebagai negara yang paling banyak membaca. Rakyat di negara tersebut dipercayai membaca dengan putara tempoh 10 jam seminggu. Jika dihitung, jumlah tersebut diyakini cukup untuk menghabiskan sebuah buku dan memulakan membaca buku yang baharu dalam minggu yang sama!

Berada pada kedudukan kedua ialah Thailand yang memperuntukkan tempoh sembilan jam seminggu untuk membaca. Berada pada kedudukan ketiga ialah China dengan purata membaca lapan jam seminggu. Keadaan ini dirumuskan oleh kebanyakan pakar di negara maju sebagai sesuatu yang membanggakan apabila dianggarkan purata membaca kedua-dua buah negara tersebut adalah sejam sehari.

Di manakah kedudukan Malaysia? Sehingga tahun 2022, purata membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah, iaitu kurang daripada tiga jam seminggu. Kadar tersebut sememangnya jauh lebih rendah berbanding dengan India, Thailand dan China. Menurut kajian profil membaca yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2005 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim, namun tabiat membaca masih lagi rendah berbanding dengan 40 judul buku setahun di negara maju.

Daripada kajian tersebut, sebanyak 76 peratus atau 18 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas boleh diklasifikasikan sebagai sasaran pembaca buku yang berdaya beli untuk pasaran buku. Namun begitu, sebanyak 22 peratus (5.5 juta) dalam kumpulan usia sama menyatakan langsung tidak berminat mahupun peduli dengan buku dan sumber bacaan yang ada. Angka 5.5 juta merupakan purata responden yang dikaji dan menyatakan tidak membeli walaupun sebuah buku sepanjang tahun. Daripada jumlah itu, hanya 16 peratus (3.7 juta) pembaca masih mengamalkan budaya meminjam buku di perpustakaan dan sebanyak sembilan peratus mengakui meminjam buku daripada rakan. Hal ini menjadi jawapan apabila Malaysia tidak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index.

Banyak pihak yang menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia malas membaca. Banyak juga yang mengaitkan kemalasan ini dengan faktor budaya membaca yang tidak dipupuk dari kecil dengan cuba membandingkannya dengan budaya di Jepun. Tidak kurang juga yang menyalahkan pihak lain atau kempen membaca yang dikatakan tidak mendatangkan hasilnya.

Benarkah Rakyat Malaysia Malas Membaca?

Menurut Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), Mohd Khair Ngadiron dakwaan rakyat Malaysia malas membaca kurang tepat setelah melihat julan buku secara dalam talian yang mencatatkan peningkatan khususnya ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.

“Apabila Perintah Kawalan Perrgerakan  berakhir, kita dapat melihat sendiri sambutan hangat terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang mencecah 1.3 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya, manakala Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pula memikat 250 000 orang,” ujar Mohd Khair pada Januari lalu. 

Tambahnya lagi, ada pihak yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia suka membeli buku tetapi tidak membacanya. Namun bagi Khair, minat terhadap buku itu boleh mendorong mereka untuk membaca. Jika tidak membeli buku, bagaimana mereka mahu membaca?

“Andai kata buku yang dibeli disimpan di rak, jika pembeli tidak membacanya ahli keluarga mereka boleh membaca buku itu. Malah menerusi pembelian itu minat membaca boleh dikembangkan. Perkara yang paling penting minat terhadap buku itu perlu ada dahulu sebelum membeli atau membaca buku,” katanya. Tambahnya lagi, berdasarkan kejayaan PBAKL dan SIBF, rakyat di negara ini masih lagi suka membaca buku fizikal.

“Ada dakwaan buku fizikal semakin dilupakan. Kalau terbit pun jualannya tidak mencapai tahap yang memuaskan dan menyebabkan rangkaian kedai buku yang terkemuka banyak ditutup di seluruh negara. Sebenarnya, buku fizikal ada peminat tersendiri. Di Malaysia kita mempunyai lebih daripada 30 juta penduduk, tidak dinafikan golongan yang lebih muda lebih selesa menggunakan gajet seperti telefon pintar, tetapi gajet ada kekangan tersendiri menjadikan buku fizikal tetap ada penggemarnya,” katanya.

Hal ini katanya memberi petunjuk yang jelas bahawa masih ada ruang yang luas untuk mengembangkan lagi industri buku tempatan. Namun hal itu perlu dimulakan dengan mendapat kerjasama dengan agensi berkaitan seperti  Perpustakaan Negara Malaysia untuk mewujudkan sinergi bersama.

Menurutnya lagi, langkah pertama untuk itu ialah Malaysia memerlukan data yang betul untuk membuat kajian mengenai industri buku dan usaha untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat. Data yang kurang tepat ujarnya akan mewujudkan persepsi yang tidak baik misalnya kedai buku kononnya ditutup kerana rakyat tidak suka membaca. Walhal kedai buku indie bersaiz kecil dan diusahakan oleh anak muda kekal mendapat sambutan yang hangat. Malah pemain industri daripada luar negara turut membuka cawangan kedai buku mereka di Malaysia, misalnya Tsutaya Books di Bukit Jalil.

Justeru katanya, beliau sangat yakin dengan kemampuan industri buku. Malah pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 bakal memberikan harapan yang besar kepada penggemar buku kerana keperibadian Anwar sebagai pembaca tegar. Tambah Khair lagi, buku merupakan sumber ilmu. Maka itu, perlu ada peruntukkan daripada kerajaan untuk memastikan semua generasi di seluruh pelosok tanah air mendapat bahan bacaan yang selayaknya.

Maka itu, sekiranya Malaysia ingin mengecap kejayaan seperti negara maju – Jerman, Jepun dan China, bangsa Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma dengan menjadikan amalan membaca sebagai satu daripada budaya kerana bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya. 

Tuntasnya, langkah awal menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030 yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya disemarakkan oleh semua pihak dengan merentas kementerian. Berbaki tujuh tahun sahaja lagi, impian itu harus dijelmakan bermula dari sekarang dan selari dengan agenda Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri untuk mengangkat semula martabat negara agar dihormati di seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.