24 Januari 2023, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kos sara hidup yang semakin meningkat di negara kita jelas menghimpit dan menekan kehidupan masyarakat. Mahasiswa merupakan antara golongan yang tidak terkecuali daripada dibelenggu oleh masalah ini. Golongan ini yang masih tidak mempunyai pendapatan sendiri dan hanya mengharapkan bantuan atau biasiswa pengajian terpaksa mengikat perut dan mencatu perbelanjaan mereka. Bahkan, berdasarkan rekod sistem MyMoheS Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), lebih 30 000 atau 2.6 peratus daripada lebih 1.1 juta orang mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) gagal menamatkan pengajian pada tahun 2020 dan 2021. Walaupun terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan tersebut, masalah kewangan juga merupakan antara faktor yang turut menyebabkan mahasiswa di negara ini gagal menamatkan pengajian mereka.

Jika tidak, mana mungkin pada Julai lalu, segelintir mahasiswa Malaysia telah melakukan protes jalanan di IPT masing-masing bagi menyuarakan isu peningkatan kos sara hidup dan inflasi makanan yang turut memberkan impak kepada golongan mahasiswa. Protes tersebut tercetus akibat lonjakan harga barang keperluan dan pemansuhan subsidi terhadap beberapa barangan sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, golongan masyarakat yang merungut dan menunjukkan solidariti lebih terarah kepada mereka yang telah berkeluarga tetapi kini para mahasiswa juga lantang melakukan protes berkaitan dengan isu ini. Hal ini disebabkan inflasi makanan yang terjadi di negara kita menjadi beban dan cabaran baharu kerana segelintir mahasiswa dikatakan mengikat perut dan menahan lapar pada setiap malam kerana mereka terpaksa berjimat cermat.

Mahasiswa daripada keluarga berstatus pendapatan B40 merupakan golongan yang paling teruk menerima tempias daripada krisis inflasi makanan. Hal ini dikatakan demikian kerana keluarga mereka juga turut bergelut untuk mencari pendapatan harian sehingga tidak mampu untuk membantu anak mereka yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup di kampus. Hal ini menyebabkan segelintir mahasiswa menyuarakan pendapat agar proses pembelajaran mereka diteruskan secara dalam talian ketika fasa peralihan ke endemik ini supaya isu ikat perut dalam kalangan mereka dapat diselesaikan. Mahasiswa kini juga perlu mencari pekerjaan sampingan di luar kampus supaya dapat menampung perbelanjaan mereka sepanjang tempoh pengajian akibat kenaikan harga barang keperluan, terutamanya makanan asas. Hal ini demikian kerana bantuan atau biasiswa kewangan yang diterima oleh mahasiswa pada masa ini hanya mencukupi bagi melangsaikan bayaran yuran pembelajaran peperiksaan dan kolej kediaman sahaja.

Desakan dan tekanan hidup yang dihadapi oleh mahasiswa gara-gara peningkatan kos sara hidup perlu diberi perhatian serius kerana mampu menjejaskan tumpuan terhadap pengajian mereka selain mengundang stres sedangkan mereka merupakan generasi pewaris masa hadapan negara. Selaras dengan inisiatif yang dikemukakan oleh pihak KPT, kebanyakan IPTA telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan memperkenalkan menu makanan serendah RM3.50 untuk mengelakkan para mahasiswa daripada berlapar. Bukan itu sahaja, terdapat juga IPTA yang memberi baucar makanan percuma bernilai RM5 sehari kepada pelajar daripada keluarga B40. Walau bagaimanapun, mahasiswa juga perlu berusaha mengubah gaya hidup mereka dalam usaha untuk menangani peningkatan kos sara hidup agar mereka lebih bersedia apabila beralih ke alam pekerjaan nanti. Golongan mahasiswa juga perlu mengamalkan prinsip kesederhanaan dalam menguruskan perbelanjaan seharian mereka terutamanya dalam keadaan ekonomi yang dijangka tidak menentu dengan mengutamakan keperluan berbanding dengan kemahuan.

Situasi ekonomi yang tidak menentu dengan kenaikan harga makanan sememangnya memerlukan para mahasiswa mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi kerana literasi kewangan mampu mempengaruhi kehidupan seseorang dalam menguruskan wang yang dapat memberikan impak yang positif dalam kehidupan mereka. Namun begitu, pengurusan kewangan peribadi masih lagi tidak menjadi subjek khas yang diajar di sekolah mahupun IPT di negara kita sedangkan di negara-negara maju, literasi kewangan merupakan antara subjek yang diberikan perhatian sejak peringkat awal lagi. Para pelajar menengah atas di Amerika Syarikat contohnya perlu mengambil ujian literasi ekonomi, iaitu “The Test of Economic Literacy” kerana di negara tersebut, literasi ekonomi dianggap begitu penting untuk individu, isi rumah, firma dan juga negara. Walaupun mahasiswa belum mempunyai pendapatan sendiri, tetapi sebenarnya mereka juga perlu didedahkan dengan pengetahuan pengurusan kewangan yang betul agar mereka mampu menggunakan wang bantuan atau biasiswa secara cekap dan berhemah.

Bahkan, terdapat kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa sebahagian besar golongan mahasiswa menghabiskan pinjaman atau biasiswa pengajian yang diterima oleh mereka sebelum semester berakhir. Situasi ini disifatkan sebagai kurangnya tahap literasi kewangan golongan tersebut sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan pada penghujung semester. Kegagalan ini menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa berhempas pulas melakukan beberapa kerja sambilan bagi mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan mereka di kampus. Akibatnya, mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika kuliah dijalankan kerana keletihan. Tambah menyedihkan, mahasiswa menggunakan wang tersebut untuk menjalani gaya hidup secara berlebihan dan tidak mengukur baju di badan sendiri. Sebagai contoh, mereka menggunakan wang tersebut dengan membeli telefon pintar mewah. Memang tidak dinafikan bahawa telefon pintar kini merupakan sebahagian daripada keperluan mahasiswa untuk digunakan bagi melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) masing-masing tetapi bukanlah wajib untuk memiliki telefon pintar yang terlalu mahal demi mengikut trend terkini.

Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir daripada mahasiswa yang suka bergaya dengan mengikuti fesyen terkini sehingga berlakunya pembaziran. Di samping itu, ada pula mahasiswa yang gemar berbelanja berlebihan dengan makan di restoran mewah. Tidaklah menjadi kesalahan untuk berbuat demikian jika mereka mampu, tetapi menyedihkan apabila mereka terpaksa mengikat perut pada penghujung semester gara-gara tindakan mereka berbelanja mengikut nafsu. Perkara terbaik adalah dengan merancang perbelanjaan sebaik-baik sahaja wang bantuan atau biasiswa pengajian mereka diterima. Sebenarnya, pada zaman serba canggih ini, mahasiswa boleh menggunakan pelbagai aplikasi dalam telefon pintar seperti Buku Bajet, “Money Manager”, “eZ Budget Planner” dan lain-lain lagi yang boleh dimuat naik secara percuma untuk mencatatkan perbelanjaan masing-masing. Budaya mencatat dan merekodkan setiap perbelanjaan perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada amalan rutin mahasiswa agar mereka tidak kehabisan wang pada hujung semester. Rutin ini juga bagi mengelakkan mahasiswa daripada berhutang demi memenuhi keperluan mereka.

Peningkatan kos sara hidup dan inflasi makanan di negara kita sejak kebelakangan ini sememangnya antara cabaran baharu buat golongan mahasiswa di negara kita. Mahasiswa sebagai peneraju masa hadapan perlu lebih bijak mengatur perbelanjaan masing-masing agar tidak terhimpit pada penghujung semester pengajian. Perkembangan teknologi juga membolehkan mereka membuat pekerjaan yang mudah seperti “dropship” dalam menambah pendapatan mereka bagi menangani isu ini. Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan mahasiswa, mereka juga sebenarnya tidak boleh berpeluk tubuh semata-mata. Mahasiswa perlu meningkatkan tahap literasi kewangan masing-masing dalam suasana ekonomi negara yang masih lagi dalam proses pemulihan pada masa ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.