Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBuku memainkan peranan penting dalam memajukan kehidupan manusia dari segi memahami trend, konsep dan fenomena baharu. Melalui buku, manusia dapat memajukan kesarjanaan dengan menyediakan asas yang muktamad untuk penyelidik membuat kerja-kerja awal, membincangkan implikasi akademik dan amalan yang berkaitan serta memberikan pandangan baharu dalam bidang tertentu yang muncul dengan pantas.
Buku juga boleh dianggap sebagai artifak budaya kerana kandungannya merentas tradisi, bangsa serta generasi untuk sepanjang zaman. Penggunaan buku bukan sahaja memberikan impak dan perjalanan pengetahuan untuk setiap generasi, tetapi juga turut menghubungkan generasi dari satu abad ke abad yang lain. Menerusi buku, khazanah keintelektualan disimpan dan diperturunkan kepada ahli keluarga, saudara-mara, rakan sekerja, jiran tetangga dan masyarakat. Dengan itu, penulisan buku dianggap sebagai sesuatu yang istimewa kerana buku memberikan peluang kepada pembaca untuk mendekati dan menyentuh tamadun di seluruh dunia dalam pelbagai cara dari segi rohani dan intelek. Dari sisi yang lain, buku disifatkan sebagai harta yang tidak ternilai kerana di dalamnya terkandung ekspresi pengetahuan yang disatukan untuk dikongsi dengan orang lain.
Peri Pentingnya buku dalam bidang kesarjanaan adalah kerana buku juga memberi peluang dan ruang untuk bukan sahaja bekerja dengan rakan sebaya dan rakan sekerja, tetapi menjangkau komuniti akademik yang lebih luas dengan menyatukan pelbagai topik penyelidikan, idea, perdebatan dan pandangan kritikal yang melihat topik yang sama daripada kanta yang berbeza, atau memberikan pandangan antara disiplin.
Kebanyakan ahli akademik bekerja dalam bidang yang tidak memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada buku disebabkan mereka mempunyai pandangan yang berat sebelah dan cenderung untuk menulis dalam artikel penyelidikan empirikal dan berwasit, walhal penulisan dalam buku bukan sahaja dapat meluaskan kandungan, malah juga boleh menyokong lebih banyak konteks dalam penyelidikan yang mungkin terhad atau tidak dapat disentuh dalam artikel penyelidikan. Oleh sebab itu, buku dalam kategori penyelidikan menyediakan saluran untuk sorotan literatur disebabkan oleh sifatnya dalam melengkapkan artikel penyelidikan dan kekal memudahkan penerokaan idea dan konsep yang lebih mendalam dan boleh digunakan untuk membina kajian penyelidikan baharu.
Bagi pelajar kedoktoran dan sarjana, buku menjadi sumber yang membolehkan mereka mengembangkan pemahaman dengan lebih mendalam dan lebih menyeluruh tentang topik penyelidikan. Buku sebegini kebiasaannya mengambil masa yang lebih lama untuk ditulis berbanding dengan artikel penyelidikan biasa, namun amat penting dan berfungsi sebagai rujukan untuk pelbagai topik berbanding dengan artikel penyelidikan yang boleh diibaratkan seperti satu binaan ringkas. Hal ini disifatkan sedemikian kerana format buku dapat memberi ruang kepada pengarang untuk menyelami dengan lebih mendalam tentang perkara dan peralihan kepada aliran baharu yang muncul. Mendokumentasikan aliran dan menyelaraskannya dengan kajian terdahulu akan membolehkan idea-idea yang berpotensi muncul sehingga dapat menambah asas pengetahuan dalam bidang tersebut. Sekiranya fakulti diperlukan untuk menambah pangkalan pengetahuan melalui penyelidikan, maka buku pula memungkinkan atau membenarkan penemuan yang berpotensi daripada kajian penyelidikan atau tentang apa-apa yang berlaku di tempat kerja. Oleh itu, buku bukan sahaja dapat meluaskan pangkalan pengetahuan malah juga membolehkan seseorang membahaskan tentang apa-apa yang berlaku di lapangan.
Adapun di sisi pelajar umum, buku dianggap sebagai satu keperluan sama seperti kudapan. Selain boleh diakses dengan mudah, buku dalam konteks akademik sering menyertakan kajian kes yang menjadikan kandungannya lebih mudah untuk dihadamkan. Kandungan yang berisi pengalaman peribadi bukan sahaja dengan segera dapat menarik minat pelajar tetapi pada masa yang sama dapat memupuk minat dan mencurahkan ilham sehingga menghasilkan perasaan yang luar biasa kepada mereka melalui dorongan semangat dan kreativiti dalam sesuatu bidang yang diceburi.
Penerbitan buku menyerlahkan kepakaran seseorang itu dalam disiplin ilmu tertentu sehingga diiktiraf oleh mereka yang berada dalam bidang yang sama. Dari perspektif ahli akademik, pengiktirafan daripada sarjana yang berada dalam disiplin atau bidang yang sama adalah sangat penting kerana hal ini menjadi bukti kewibawaan seseorang dalam disiplin atau bidang tersebut. Pada hakikatnya, keseluruhan proses penerbitan itu sendiri merupakan satu pengiktirafan kepada penulis kerana isi kandungannya terlebih dahulu akan disemak oleh mereka yang berkelayakan dalam disiplin tersebut sebelum diterima oleh penerbit untuk diluluskan, diikuti dengan termeterainya kontrak perjanjian. Jika penerbitan buku dapat membantu pengarang membina profil dan rangkaian mereka, penyuntingan buku pula merupakan cara terbaik untuk membina hubungan dengan pasukan pembangun yang bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran organisasi tetapi turut menawarkan peluang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak lain dalam lapangan penerbitan, di samping turut membina rangkaian keintelektualan.
Penerbitan buku yang disunting memerlukan perjalanan global apabila ahli-ahli dalam pasukan pembangun akan berkongsi kepakaran mereka sekali gus mewujudkan pembangunan budaya kerja multidimensi. Pemikiran yang terhimpun dalam satu koleksi ini membolehkan ilmu tersebar dalam bentuk penerbitan yang berupaya menyediakan laluan kepada pembelajaran sepanjang hayat. Oleh sebab itu, buku yang disunting dianggap lebih dinamik dan mempunyai mobiliti kerana mengandungi ciri-ciri kebolehcapaian buku yang tersedia untuk orang awam dan khusus, mengatasi kertas jurnal yang hanya tersedia untuk khalayak khusus. Oleh itu, penerbitan buku sebegini dapat menyediakan laluan komunikasi yang lebih luas merentas disiplin yang bernilai dan bermanfaat, baik kepada orang awam mahupun kepada ahli akademik kerana berupaya meningkatkan pertumbuhan dan kebebasan berfikir.
Antara faedah buku dari sudut kepenggunaannya tanpa mengira mana-mana disiplin atau bidang ilmu ialah:
Buku dapat menambahkan pengetahuan dan meningkatkan daya pemikiran manusia. Menerusi buku, konsep yang berbeza dapat didedahkan dan pelbagai warna budaya di seluruh dunia dapat diperkenalkan. Buku menerusi pembacaan terhadapnya dapat menyuntik kesedaran tentang kepelbagaian masyarakat dan tamadun yang terdapat di seluruh dunia apabila seseorang itu dapat meneroka masa lalu, kini dan masa hadapan di samping dapat menyelesaikan pelbagai masalah.
Dengan membaca, ingatan visual dapat diaktifkan. Ketika ingatan tersebut diaktifkan, cerita akan tergambar di hadapan mata dan sekiranya pembacaan dilakukan dengan lebih kerap, maka secara spontan pembaca akan menghafal isi kandungan buku tersebut. Dengan kata lain, buku merupakan medium terpenting untuk meningkatkan daya ingatan.
Membaca buku merupakan ubat yang paling mujarab untuk menghilangkan tekanan. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan membaca, seseorang itu akan dibawa ke dunia imaginasi. Dunia ini bukan sahaja dapat meringankan beban tetapi juga dapat memupuk kreativiti. Pada masa yang sama, hal ini dapat memberi inspirasi dan mendorong pembaca untuk mengubah kehidupan menerusi aura dan tenaga yang positif.
Membaca buku merupakan satu daripada kaedah terpantas untuk meningkatkan perbendaharaan kata. Semakin banyak seseorang itu membaca, maka semakin banyak pula perkataan baharu yang dipelajari. Apatah lagi jika seseorang itu membaca mengenai subjek yang berbeza, maka lebih luas pula perbendaharaan kata yang diperoleh.
Selain dapat menghilangkan tekanan, membaca buku juga dapat mendidik jiwa untuk memberikan tumpuan dalam kehidupan secara semula jadi. Hal ini disifatkan sedemikian kerana proses membaca menjadikan seseorang itu lebih fokus dan dapat mendisiplinkan diri. Dengan itu, prestasi diri akan meningkat dan secara tidak langsung dan kualiti kehidupan juga akan bertambah baik.
Bukan sesuatu perkara yang pelik apabila seseorang itu dapat menguasai pelbagai bahasa hanya dengan membaca buku. Dengan membaca buku, seseorang itu bukan sahaja seolah-olah seperti berada di luar negara tetapi pada masa yang sama boleh mempelajari bahasa yang terdapat di negara itu. Untungnya membaca ialah apabila kemahiran bahasa dapat ditingkatkan dan bonus sekiranya seseorang itu dapat berkomunikasi dengan baik ketika berhadapan dengan penutur bahasa tersebut.
Membaca buku boleh membina pemahaman dan menambah kesedaran mengikut situasi. Dengan itu, seseorang yang membaca akan sentiasa berfikir dan pada masa yang sama mencari jalan penyelesaian. Dengan kata lain, seseorang dapat meningkatkan kemahiran menganalisis apabila individu tersebut berusaha untuk menyelesaikan masalah setelah situasi yang difahaminya diterjemahkan kepada realiti.
Buku juga boleh mendorong seseorang berfikir secara positif menerusi kandungan yang bermotivasi. Dengan cara itu, jiwa akan menjadi lebih tenang, lebih kuat dan berkeyakinan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Buku turut mengalami transformasi, iaitu dari fizikal kepada digital, namun sebagaimana yang dinyatakan oleh Stora Enso, sebuah syarikat yang menghasilkan rumusan yang berasaskan kayu termasuk kertas; buku fizikal tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri. Menurutnya semakin banyak aplikasi digital diperkenalkan, maka semakin tinggi nilai yang dimiliki oleh sebuah buku fizikal. Kenyataan itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukan oleh syarikat itu bersama sebuah syarikat penyelidikan Opticom International pada tahun 2018 bagi meninjau pasaran buku fizikal dan buku digital khususnya dalam format e-buku dan buku audio di 13 buah negara terpilih yang mewakili benua Asia, Eropah dan Amerika Utara.
Dalam kajian tersebut didapati bahawa e-buku dan buku audio lebih bersifat pelengkap atau pilihan kepada pengguna. Hal ini adalah kerana penjualannya lebih tertumpu pada segmen pendidikan dan profesional. Buku fizikal masih lagi dianggap sebagai keperluan kerana apabila seseorang memegangnya, buku fizikal tersebut dapat memberikan suatu perasaan yang berbeza berbanding dengan buku digital yang hanya boleh “ditonton”. Nilai sesebuah buku fizikal terakam dalam bentuk pengalaman khususnya dari sudut “sentuhan” apabila dapat merasai sendiri muka hadapan, kualiti kertas yang digunakan, dan jenis kulit yang digunakan.
Bagi sesetengah orang yang mementingkan nilai sentimen, buku fizikal merupakan suatu perkara yang mesti ada. Selain melalui sentuhan, nilai sentimen turut meliputi pengendalian objek tertentu dalam masa dan tempat tertentu. Perasaan mengeluarkan buku dari rak buku juga termasuk dalam nilai sentimen kerana dapat memberi keyakinan dan pengalaman yang unik kepada pembaca atau pemilik buku tersebut. Peminat buku fizikal tidak melihat buku sebagai ukuran kepada kualiti semata-mata kerana buku juga turut melibatkan rekod atau catatan tentang sejarah dan masa tertentu. Buku fizikal dilihat seolah-olah seperti bernyawa kerana kandungannya ibarat darah yang mengalir daripada minda kepada tangan dan sentuhan dari kulit ke kulit.
Sememangnya buku memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Tidak kira sama ada dalam format fizikal mahupun digital, fungsi buku tetap tidak berubah, iaitu menjadi wadah kepada pelestarian ilmu. Buku yang baik bukan sahaja akan memajukan bangsa, malah turut mempengaruhi corak pemikiran sesuatu bangsa untuk menggerakkan negara ibarat kata-kata penakluk terkenal Perancis, Napoleon Bonaparte bahawa empat orang penulis lebih ditakutinya berbanding dengan 1000 laras senapang kerana kuasa dan pengaruh yang ada pada kandungan sesuatu buku itu.