13 Februari 2023, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat menuju ke arah kemodenan dari semasa ke semasa. Malaysia juga sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, agama dan bangsa. Pada era globalisasi kini, peningkatan populasi transgender dalam negara sangat membimbangkan masyarakat. Transgender merujuk individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau keterampilan yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka. Golongan transgender yang semakin meningkat dan giat menjalankan kegiatan atau amalan songsang dan perlakuan yang bertentangan dengan jantina, terutamanya di lorong-lorong gelap dan sunyi.

Kebanyakan daripada mereka mengakui tentang amalan songsang dan menonjolkan lagi orientasi seksual dan identiti diri tanpa rasa malu. Sebagai contoh, kemunculan usahawan terkenal yang semakin aktif menonjolkan diri mereka di media sosial tanpa ada rasa malu malah berasa bangga dengan perilaku diri mereka. Walaupun kegiatan mereka tidak diterima oleh kebanyakan masyarakat, tetapi masih ada segelintir pihak yang memberikan sokongan dek telatah mereka yang menghiburkan.

Menurut laporan sebuah akhbar arus perdana, (2018), JAKIM telah mendedahkan populasi transgender dengan merekodkan peningkatan kepada 30 000 orang individu pada tahun tersebut berbanding dengan pada tahun 1988, iaitu sebanyak 10 000 orang individu. Peningkatan populasi ini menambahkan kebimbangan pelbagai pihak dan sudah pastinya akan memberikan impak yang negatif terutamanya kepada generasi yang akan datang. Malaysia merupakan sebuah negara yang berpegang teguh kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan. Setelah isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dibangkitkan, Malaysia telah mengambil langkah efektif dalam mengendalikan isu yang berkaitan dengan LGBT khususnya transgender. Pada masa yang sama, pelbagai pihak telah tampil untuk mengetengahkan isu ini sebagai suatu perkara yang perlu diambil peduli. Hal ini dikatakan demikian kerana perilaku mereka sememangnya salah dari segi norma masyarakat mahupun dari sudut agama. Namun begitu, perkara ini tidak diterima dan dipandang serong oleh sesetengah masyarakat termasuklah daripada golongan itu sendiri. Populasi transgender kebanyakannya terdiri daripada golongan muda kerana mereka mempunyai akses lebih luas kepada Internet dan media sosial.

Antara faktor atau punca berlakunya peningkatan populasi transgender ialah pengaruh rakan sebaya. Faktor mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan keadaan sekeliling mendedahkan individu itu kepada golongan transgender. Segelintir daripada golongan ini telah terdedah dari segi gaya hidup, perbuatan dan amalan sejak kecil sehingga ke alam dewasa sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Segelintir kanak-kanak terdedah dengan gaya hidup sedemikian kerana mereka sudah terbiasa dengan kehidupan orang sekeliling yang melakukan kegiatan songsang tersebut. Pendedahan yang diterima daripada golongan transgender menyebabkan mereka ingin mencuba untuk melakukan perbuatan songsang yang melibatkan jantina yang sama. Rakan sebaya juga bermaksud kumpulan yang boleh mempengaruhi secara langsung atau tidak langsung dalam kalangan rakan sebaya yang lain. Rakan sebaya sangat berpengaruh dalam melakukan aktiviti harian secara berkumpulan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih cenderung untuk mempengaruhi kepercayaan, nilai dan tingkah laku seseorang, sehingga menyebabkan individu itu akan terjebak dengan kegiatan songsang yang dilakukan oleh rakan-rakan yang lazimnya sudah terbiasa dengan kegiatan songsang. Seseorang itu mungkin digalakkan mengikut rakan sebaya mereka dengan mengubah sikap, nilai atau tingkah laku mereka untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang berpengaruh.

Faktor didikan ibu bapa juga sangat penting kerana terdapat ibu bapa terlalu sibuk dengan dunia pekerjaan sehingga alpa untuk meluangkan masa bersama-sama anak-anak. Kesibukan ibu bapa menyebabkan anak-anak tidak mendapat didikan yang sewajarnya. Sebagai contoh, golongan remaja mudah terpengaruh dengan sesuatu yang ada di sekeliling mereka. Media sosial yang begitu mudah untuk diakses dengan hujung jari sahaja mempengaruhi minda mereka untuk melihat perkara yang terpapar di media sosial. Ibu bapa sewajarnya menitikberatkan didikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu lebih meluangkan masa bersama anak-anak. Kebanyakan ibu bapa sering sibuk dengan urusan mereka sehingga anak-anak merasa terpinggir sehingga mereka mengambil tindakan di luar jangkaan. Hal ini perlu diambil peduli bagi mengelak anak-anak terjerumus ke jalan yang boleh merosakkan mereka. Didikan yang sempurna daripada pelbagai aspek mampu membentuk tingkah laku yang positif dalam diri anak-anak. Hal ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan Mohamad Ramzi et al. (2020) yang menyatakan bahawa terdapat banyak punca atau faktor yang membawa kepada perlakuan (LGBT), iaitu faktor ibu bapa, rakan sebaya, media massa teknologi dan masyarakat sekeliling

Malaysia dilaporkan berada dalam senarai 72 buah negara yang mempunyai jenayah homoseksualiti. Hal ini demikian bermakna negara perlu berwaspada dan cakna akan isu ini. Peningkatan golongan ini bukan sahaja menimbulkan isu kepada masyarakat, malah turut menimbulkan masalah kepada negara. Personaliti semula jadi juga boleh menjadi faktor yang mempengaruhi kepada peningkatan transgender. Personaliti berkaitan rapat dengan perlakuan tingkah laku individu kerana personaliti akan menentukan siapa diri kita dan cara kita bergaul dengan orang sekeliling. Kebanyakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyatakan bahawa kegiatan mereka bermula sejak berada di sekolah berasrama, terutamanya bagi remaja lelaki yang berusia 15 tahun dan ke atas kerana belum matang dan tidak dapat membezakan jenis sentuhan terhadap mereka. Sebahagian masyarakat bersikap tidak ambil tahu dan menerima keadaan transgender, namun tidak menyokong kegiatan tersebut secara terbuka. Namun begitu, golongan transgender ini dianggap bertentangan dengan agama Islam dan identiti serta ekspresi gender mereka tidak diiktiraf di sesetengah negara. Mereka yang terlibat dengan golongan ini jelas menunjukkan perlakuan gaya hidup songsang sebagai gaya dan corak mereka sendiri.

Selain itu, peningkatan populasi transgender ini juga disebabkan oleh kurangnya penghayatan agama dalam diri. Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim menyatakan bahawa walaupun pendidikan agama diberikan sejak kecil, namun kecenderungan ke arah golongan transgender tetap berlaku jika tidak mengamalkan kehidupan beragama. Hal ini demikian terjadi menyebabkan mereka mudah terjerumus kerana tidak dapat membezakan perkara baik atau tidak baik. Merujuk statistik yang dinyatakan oleh Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Dr. Mohd Izwan Mohd Yusof, dalam tempoh 20 tahun, jumlah golongan transgender menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus, iaitu sebanyak 30 000 orang pada tahun 1988 dan kebanyakan daripada golongan ini bekerja sebagai pekerja seks. Menurut beliau lagi, peningkatan itu boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor, mungkin salah satu aspeknya melibatkan media sosial yang ada pada hari ini. Golongan muda mempunyai akses lebih banyak terhadap Internet dan media sosial.

Peningkatan populasi transgender yang kian rancak mengikut peredaran zaman moden ini memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengatasinya. Ibu bapa sewajarnya meningkatkan lagi kemahiran keibubapaan bagi mencegah gejala seksual, pengaruh rakan sebaya, waima menyekat maklumat yang tidak sahih. Sesetengah ibu bapa terlalu yakin dan mempercayai anak-anak sehingga mereka tidak sedar akan tingkah laku yang dilakukan oleh anak-anak mereka.Pihak kerajaan juga perlu mengambil langkah efektif seperti menyekat penularan rakaman video, drama atau iklan yang mengandungi unsur-unsur negatif kerana anak-anak terutamanya dalam kalangan remaja sangat mudah terpengaruh dan mengikuti perkara atau kegiatan yang dilihat dalam sosial media. Tidak lupa juga tanggungjawab sebagai masyarakat yang sepatutnya tidak menyokong pihak yang melibatkan golongan transgender. Dapatan kajian “Integrated Bio-BehavioralbSurveilance” (IBBS) antara tahun 2012 dan 2014 membuktikan kadar jangkitan penyakit dalam kalangan populasi transgender meningkat daripada 4.8 peratus pada tahun 2012 kepada 5.6 peratus pada tahun 2014.

Oleh hal yang demikian, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dan rapat dengan anak-anak di rumah perlu memainkan peranan yang penting dengan memantau setiap tingkah laku serta pergerakan anak-anak mereka selain memberikan perhatian yang sepenuhnya supaya anak-anak tidak merasa kurang kasih sayang sehingga boleh terjebak dalam kancah yang tidak sihat. Kurangnya kasih sayang daripada keluarga terutamanya ibu bapa akan menyebabkan anak-anak merasa tersisih dan mereka akan cuba mencari perhatian dengan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan ibu bapa. Sekiranya mereka terlibat dengan kegiatan negatif ini, mereka seharusnya diberi pengajaran atau tindakan supaya lebih bijak menilai mana yang baik mahupun buruk. Sekiranya masalah ini tidak dibendung sejak dari awal lagi, isu ini bukan sahaja mendatangkan kesan negatif kepada generasi akan datang, malah masyarakat dan negara turut menerima tempiasnya. Kestabilan negara bermula daripada kemakmuran masyarakat yang harmoni dan tidak terlibat dengan perkara yang akan mendatangkan keburukan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.