22 Februari 2023, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apa itu Hak Cipta

Hak cipta ialah suatu hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pemunya karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332), pemunya hak cipta mempunyai hak eksklusif untuk melakukan pengeluaran semula sesuatu karya dalam apa-apa bentuk bahan, melakukan penyampaian kepada masyarakat awam, membuat pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam, melakukan pengedaran salinan-salinan kepada awam melalui penjualan atau pemindahan pemunyaan lainnya; dan melakukan penyewaan secara komersial kepada masyarakat awam.

Pemunya hak cipta juga mempunyai hak untuk menghalang sebarang penggunaan karya hak ciptanya tanpa kebenaran tertakluk pada Akta Hak Cipta 1987. Sebarang penggunaan karya tanpa kebenaran ialah suatu pelanggaran sivil dan jenayah hak cipta dan boleh dikenakan tindakan di mahkamah. Maka, sebarang penggunaan karya hak cipta hendaklah mendapatkan keizinan bertulis daripada pemunya hak cipta.

Definisi dan Latar Belakang “Orphan Work”

“Orphan Work” boleh ditakrifkan sebagai karya hak cipta yang dilindungi, namun pemunya karya tersebut tidak dijumpai atau dikesan. “Orphan Work” juga merupakan karya-karya yang wujud, tetapi penggunaan secara sah tidak tersedia melalui lesen atau penjualan oleh sebab pemunya hak cipta tersebut tidak dapat dikenal pasti untuk proses mendapatkan keizinan penggunaan karya tersebut.  Di Malaysia, tiada definisi jelas berkaitan “Orphan Work” sama ada boleh dikategorikan sebagai karya tanpa nama “Anonymous Work” atau “Unknown Work”, iaitu karya yang tidak diketahui.

Berbeza daripada karya hak cipta sedia ada, “Orphan Work” juga merupakan suatu karya hak cipta yang wujud dan dilindungi, namun pemunya karya tersebut tidak dapat dikesan atau dihubungi melalui apa-apa cara atau pembuktian dokumen. Permasalahan baharu timbul apabila kebenaran bagi penggunaan karya tidak dapat diperoleh daripada pemunya hak cipta untuk tujuan pengkomersialan karya tersebut. Akta Hak Cipta 1987 juga tidak memperuntukkan undang-undang yang membenarkan pengkomersialan karya tersebut melainkan dengan mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta.

Prinsip “Orphan Work

Secara amnya, pihak yang berminat dan ingin menggunakan karya-karya hak cipta hendaklah mendapatkan kebenaran daripada pemunya kepada sesuatu karya sebelum karya tersebut digunakan. Penggunaan karya tanpa kebenaran merupakan pelanggaran hak cipta yang mana pengguna karya “Orphan Work” tersebut boleh diambil tindakan undang-undang sivil atau undang-undang jenayah oleh pemunya karya.

Kebenaran untuk menggunakan “Orphan Work” ini adalah untuk mengelakkan timbulnya pertikaian antara pemunya “Orphan Work” dengan pengguna karya sekiranya pemunya muncul menuntut haknya terhadap penggunaan komersil. Sesuatu karya hak cipta “Orphan Work” yang tidak diketahui identiti pencipta atau pemunyanya berkemungkinan masih dalam tempoh perlindungan hak cipta atau karya telah pun berada di domain awam atau “public domain”. Penggunaan “Orphan Work” yang masih dalam tempoh perlindungan hak cipta secara amnya memerlukan kebenaran daripada pemunya karya manakala karya domain awam atau “public domain” ialah karya hak umum dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa kebenaran.

Selain itu, sesuatu karya boleh menjadi karya “Orphan Work” disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya:

  • Tiada maklumat mengenai pencipta atau pemunya;
  • Karya-karya telah diterbitkan tanpa nama (anonymous) atau nama samaran (pseudonym);
  • Karya-karya tidak pernah diterbitkan;
  • Identiti pemunya telah diketahui, tetapi tidak dapat dikesan atau telah meninggal dunia; dan
  • Identiti pencipta telah diketahui tetapi waris tidak dapat dikesan.

Keperluan Penggunaan

Oleh sebab identiti pemunya karya “Orphan Work” tidak dapat dikesan dan dikenal pasti, hal ini boleh menyukarkan pengguna yang ingin menggunakan karya “Orphan Work” mendapatkan kebenaran untuk menggunakan karya tersebut dan boleh menimbulkan beban kepada pengguna yang berkemungkinan akan berhadapan dengan tindakan mahkamah disebabkan oleh pelanggaran hak cipta. Hal ini akan berlaku sekiranya pemunya karya “Orphan Work” muncul menuntut haknya pada masa hadapan sebagai pemunya hak eksklusif di bawah perundangan hak cipta.

Penulis merasakan bahawa keperluan untuk kemasukan peruntukan baharu “Orphan Work” adalah perlu dan patut mengambil kira permintaan oleh orang awam. Kaedah dan prosedur yang sesuai perlu dilaksanakan sebagai satu daripada penyelesaian kepada isu “Orphan Work”  bagi memudahkan pengguna yang tidak dapat mengesan pemunya karya tersebut setelah usaha dan carian yang munasabah telah dilaksanakan sebelum hasil karya tersebut dapat digunakan.

Pihak yang berkepentingan khususnya institusi pendidikan, perpustakaan awam dan swasta, pihak arkib, muzium, institusi pembelajaran, sains dan profesional secara asasnya perlu menyimpan karya hak cipta atau maklumat yang dilindungi hak cipta untuk kegunaan orang ramai. Apabila karya tersebut disimpan, maka proses untuk mendapatkan keizinan penggunaan karya akan menjadi lebih mudah memandangkan pengguna hanya perlu merujuk institusi dan organisasi terlibat untuk tujuan penggunaan secara komersil.

Oleh itu, penggubalan dasar dan suatu peruntukan baharu bagi menyelesaikan masalah penggunaan “Orphan Work” yang berlaku di Malaysia adalah penting agar dapat membantu mengurangkan konflik dan pertikaian antara pemunya karya yang tidak dapat dijumpai dengan pengguna karya selepas pengkomersialan sesuatu karya tersebut. Selain itu, cadangan penggubalan prosedur baharu “Orphan Work” yang sesuai ini boleh dikemukakan untuk dilaksanakan sebagai memberi faedah kepada ekonomi perundangan di samping menjadikan penggunaan karya “Orphan Work” dapat dilesenkan dan digunakan daripada terbiar dan menjadi satu daripada sumber pendapatan pengguna dan pemunya atau waris karya “Orphan Work” bagi membangun industri kreatif semasa.

Faedah kepada Pengguna dan Pemunya Karya Hak Cipta Orphan Work

Antara faedah “Orphan Work” adalah seperti berikut:

  • Memperkasakan faedah ekonomi.

Secara tidak langsung pengkomersialan karya “Orphan Work” oleh pengguna dapat memberikan pendapatan kepada pemunya hak cipta melalui bayaran royalti atau apa sahaja fi yang munasabah yang akan dikenakan hasil daripada penggunaan karya tanpa kebenaran tersebut.

  • Meningkatkan nilai komersil karya berhak cipta

Jika sesuatu karya “Orphan Work” itu dibiarkan tanpa diambil manfaat, karya tersebut akan menjadi tidak berguna dan tidak akan menyumbang kepada nilai komersil. Dengan kewujudan peruntukan baharu ini, karya “Orphan Work” dapat diperkenalkan dan dikomersialkan secara meluas pada peringkat industri domestik dan antarabangsa.

  • Menggalakkan penggunaan hasil karya berhak cipta oleh pihak ketiga

Selain menghubungkan karya “Orphan Work” dengan pemunya hak cipta, pihak ketiga secara tidak langsung dapat menggunakan karya “Orphan Work” ini tanpa halangan dan kekangan selagi tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Amalan di Negara Luar

  • Pelaksanaan di Jepun

Undang-undang Hak Cipta Jepun membenarkan pengguna memohon kepada Pesuruhjaya Badan Hal Ehwal Kebudayaan (Agency for Cultural Affairs), Pejabat Hak Cipta Jepun untuk menggunakan beberapa jenis karya “Orphan Work” seperti buku, filem dan rakaman bunyi. Pemohon mestilah telah berusaha terlebih dahulu mencari pemunya karya. Sekiranya pemohon masih gagal, pemohon perlu membayar deposit pampasan pemunya karya tersebut melalui badan yang dilantik oleh kerajaan. Amaun pampasan bagi setiap permohonan akan diputuskan oleh Badan Hal Ehwal Kebudayaan dengan persetujuan Majlis Kebudayaan (Council of Culture) dan kadar pampasan adalah berdasarkan pada kadar royalti yang bersesuaian (ordinary royalty rate) dan tempoh penggunaan bagi tempoh tertentu. Selepas itu, pemohon boleh menggunakan karya tersebut secara komersil tanpa halangan.

  • Pelaksanaan di Kanada

Di Kanada, pemohon boleh menggunakan karya “Orphan Work”  jika pencipta sesuatu karya hak cipta hanya tidak dapat dikesan dan selepas carian munasabah (Diligent Search) dibuat oleh pengguna. Pengguna hanya perlu memohon kepada Copyright Board of Canada bagi mendapatkan lesen untuk mengguna pakai karya tersebut. Copyright Board of Canada akan menentukan fi lesen atau royalti yang akan dikenakan, tempoh pelesenan dan bagaimana karya tersebut boleh diguna pakai. Hasil kutipan penggunaan kemudiannya akan disalurkan terus kepada badan yang mewakili pemunya yang tidak dijumpai tersebut melalui badan pelesenan.

  • Pelaksanaan di Hungary

Hungary hanya membenarkan penggunaan karya-karya “Orphan Work” bagi pengguna atau pemohon juga hanya selepas pencarian dibuat. Pengguna yang ingin menggunakan karya tersebut perlu melampirkan bukti pencarian dan membayar pampasan untuk tujuan penggunaan karya tersebut. Pihak kerajaan akan menentukan penggunaan tersebut sama ada diluluskan atau pun tidak. Jika lulus, kerajaan akan menetapkan tempoh lesen penggunaan tersebut hanya terpakai tidak melebihi lima tahun dan hanya sah di Hungary sahaja, manakala hak penggunaan tersebut terus akan diberikan kepada pemohon dan tidak boleh dipindah milik kepada orang lain.

Hala Tuju Orphan Work di Malaysia

Pada masa ini, tiada peruntukan perundangan hak cipta yang khusus berkaitan dengan “Orphan Work”. Sebagai langkah permulaan mewujudkan karya “Orphan Work”  ini, kajian secara terperinci mengenai pelaksanaan undang-undang dan amalan negara luar yang mempunyai peruntukan terhadap karya “Orphan Work” dan sistem pengurusan terhadap karya tersebut boleh dijalankan bagi membangunkan sistem yang bersesuaian di Malaysia.

Keperluan untuk mewujudkan peruntukan baharu ini boleh mengikut amalan yang bersesuaian dengan persekitaran industri hak cipta di Malaysia dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan pengguna dan pemunya hak cipta secara keseluruhannya. “Orphan Work” ini juga dijangka boleh memberikan pulangan baik kepada negara, pengguna, pencipta dan industri kreatif secara keseluruhannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.