Oleh Hisyam Basabah
24 Februari 2023, 19:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kerjasama ASEAN-India telah bermula semenjak tahun 1990, namun hubungan tersebut tidak lebih daripada sebuah hubungan diplomatik normal. Walaupun negara anggota ASEAN telah mempunyai hubungan diplomatik dengan India, namun hanya hubungan bilateral yang memberikan keuntungan terhadap negara terbabit.

Bermula pada tahun 1996, hubungan normal antara ASEAN dengan India telah berubah ke arah kerjasama strategi antara kedua-dua belah pihak kerana terdapatnya tuntutan struktur antarabangsa dan domestik dalam kalangan negara anggota ASEAN dan India. ASEAN dianggap begitu penting bagi India kerana melalui ASEAN, India dapat meneroka peluang yang lebih besar terutamanya dalam bidang ekonomi, manakala bagi ASEAN pula, India merupakan rakan kerjasama strategik bagi bidang ekonomi, strategik, politik dan teknologi.

Sidang Kemuncak Belia ASEAN-India merupakan satu daripada kaedah dalam mewujudkan hubungan dan kebergantungan yang lebih erat antara ASEAN dengan India. Kerjasama ini perlu diperkukuh dan mempunyai kesinambungan agar kerjasama sedia ada ini bersifat lestari dan tidak jumud kepada generasi tertentu. Kerjasama antara ASEAN dengan India ini perlu disuburkan dengan penglibatan belia dalam isu-isu strategik kerjasama ASEAN-India kerana melalui cara ini, belia di ASEAN akan didedahkan dengan dasar-dasar baharu dan sedia ada antara kedua-dua pihak.

Melalui sidang kemuncak yang diadakan baru-baru ini di Hyderabad, India, para delegasi dari negara anggota ASEAN dan India telah membincangkan pelbagai isu strategik berhubung dengan kepentingan kedua-dua pihak. Sidang Kemuncak Belia ASEAN-India ini bertujuan untuk menyerlahkan lagi hubungan antara ASEAN dengan India agar terus kekal dan mempunyai kesinambungan antara para pemimpin ASEAN dan India pada masa ini dengan kepimpinan ASEAN dan India pada masa hadapan.

Ruang dan peluang telah diberikan dengan seluas-luasnya kepada golongan belia untuk berpartisipasi dalam menentukan pembangunan dan masa hadapan negara serantau. Melalui ASEAN, peranan belia telah diiktiraf dengan mengambil kira pandangan dan aspirasi mereka dalam pembentukan dasar serantau dengan mewakili negara masing-masing, program pembangunan, partisipasi pada peringkat antarabangsa dan kepercayaan terhadap tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Hal ini ditonjolkan melalui sidang kemuncak ini apabila para delegasi belia dari seluruh negara anggota ASEAN dan India begitu kritikal dalam memberikan pandangan, mengutarakan soalan dan mencari penyelesaian terhadap setiap wacana ketika sidang kemuncak ini berlangsung.

Pengukuhan kerjasama ASEAN-India di rantau Indo-Pasifik menjadi tema utama kepada sidang kemuncak pada kali ini dengan memberikan tumpuan terhadap aspek hubungan antara komuniti, perkaitan sejarah dengan budaya, tadbir urus dan politik, kesukarelawanan dan pembangunan kemahiran dan kerjasama serantau melalui etos sepunya.

Peranan belia ASEAN ini akan lebih signifikan sekiranya para delegasi yang mewakili negara masing-masing mempunyai asas dan latar belakang yang bersesuaian dengan mauduk tema dan wacana yang dibincangkan dalam sidang kemuncak ini. Sudah pasti, untuk mewakili negara dalam sidang kemuncak yang membicarakan tentang isu-isu kontemporari sebegini perlu didasari dengan pemikiran diplomatik dan kefahaman yang luas tentang cabang ilmu dalam aspek hubungan antarabangsa. Maka, belia yang mempunyai latar belakang dalam bidang ini perlu diberikan lebih ruang dan peluang untuk mewakili negara ke persidangan sebegini kerana mereka akan lebih faham akan tema dan wacana yang dibincangkan.

Menyedari hakikat tersebut, kerjasama ASEAN-India ini mempunyai prospek masa depan yang sangat luas kerana kedua-dua pihak, iaitu ASEAN dan India begitu serius dalam memastikan apa-apa yang telah disepakati ketika Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-India (SAIFMM) yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India pada 15-17 Jun 2022 pada tahun lalu yang memfokuskan keamanan, kemajuan dan kemakmuran sejagat dapat direalisasikan dengan jayanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.