Oleh Sylvia Chan
28 Februari 2023, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terdapat pelbagai tanggapan bahawa hanya generasi tua tidak mahir tentang teknologi dan lebih mudah ditipu. Namun begitu, The Straits Times melaporkan bahawa generasi muda lebih terdedah kepada aktiviti penipuan berbanding dengan kumpulan umur yang lebih tua. Sejak tahun 2017, rakyat Malaysia telah mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM3.3 bilion akibat penipuan jenayah siber.

Jenayah penipuan bukanlah sesuatu perkara baharu, tetapi kaedah penipuan telah berkembang sejak 15 tahun yang lalu dan menjadi semakin berleluasa sejak pandemik COVID-19. Menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 98 607 kes jenayah siber telah dilaporkan antara tahun 2017 dan tahun 2021, dengan penipuan e-dagang (23 011 kes), diikuti oleh penipuan pinjaman haram (21 008) dan penipuan pelaburan (6 273 kes).

Belia, terutamanya pelajar universiti, dianggap sebagai sasaran yang lebih mudah kerana mereka lebih bersemangat untuk meneroka peluang baharu dan kurang kesabaran untuk menyelidiki sebarang tawaran, termasuklah risiko dan terma dan syarat tawaran. Golongan ini juga lebih cenderung untuk tidak tahu atau kurang mahir tentang cara-cara untuk kekal selamat daripada jenayah penipuan, terutamanya apabila mereka sedang melayari internet. Hal ini menjadikan mereka mangsa jenayah penipuan tanpa disedari.

Bukan itu sahaja, individu dalam kesempitan atau golongan muda yang terdesak untuk mendapatkan wang melalui cara mudah lebih senang terpedaya dan terperangkap sebagai keldai akaun tanpa menyedari akaun mereka terbabit dengan aktiviti penipuan kewangan. Golongan yang berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun kerap terjebak dengan sindiket ini atas faktor ketiadaan kerja tetap, terutamanya apabila dijanjikan wang dengan cara mudah. Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan bahawa sebanyak 19 345 aduan membabitkan kerugian sebanyak RM75.4 juta berkaitan dengan jenayah penipuan kewangan telah dilaporkan dalam tempoh 2020 hingga 2021. Penipuan tertinggi yang dicatatkan membabitkan pelaburan internet dan melibatkan kerugian sebanyak RM20 juta, manakala aduan berkaitan dengan penipuan telefon menyebabkan kerugian RM14 juta. Hal ini diikuti dengan kesalahan menyalahgunakan logo pegawai BNM (RM3 juta), dan kerugian sebanyak RM6 juta disebabkan oleh 1500 penipuan pancing data yang telah diterima.

Dalam tempoh dua tahun itu juga, kira-kira 1236 aduan diterima berkaitan dengan penipuan pinjaman bank dengan kerugian sebanyak RM2 juta. Disebabkan kes-kes sebegini, program celik kewangan amatlah penting untuk dilaksanakan terutamanya bagi dimanfaatkan oleh golongan muda kerana belia Malaysia merupakan kumpulan umur yang kritikal dalam memastikan pembangunan negara.

Apakah program celik kewangan dan kepentingannya terhadap golongan belia di Malaysia?

Program celik kewangan merupakan satu daripada inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pengurusan wang dan laporan kredit. Kebanyakan program sebegini turut memberikan pendedahan berkaitan dengan jenis jenayah kewangan secara dalam talian.

Menurut tinjauan Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan yang berumur kurang daripada 25 tahun dan antara 25 tahun hingga 44 tahun merupakan golongan yang paling banyak disahkan bankrap. Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia merupakan golongan berkenaan ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan

 

Tabiat berkenaan disifatkan berbahaya kepada golongan muda jika dibiarkan berterusan tanpa pemilikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan yang utuh. Keupayaan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian bagi memastikan kita mampu memenuhi keperluan kewangan semasa dan akan datang. Tambahan pula, rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat perlu dibekalkan dengan pengetahuan kewangan agar mereka mampu menguruskan simpanan dan perbelanjaan dengan saksama, melabur dengan bijak, dan meminjam secara bertanggungjawab sejajar dengan matlamat dan keadaan kewangan masing-masing, termasuklah untuk tujuan persaraan.

Dengan itu, People System Consultancy (PSC) mengambil inisiatif dengan melancarkan program risikan kewangan dengan harapan usaha ini dapat membantu dalam mempertingkat status literasi kewangan dalam segenap lapisan masyarakat dan terhadap pewujudan perubahan tabiat dalam jangka masa panjang

Kaji selidik oleh BNM menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan rakyat Malaysia pada ketika ini boleh ditambah baik. Institusi tersebut mendedahkan beberapa perkara yang membimbangkan tentang rakyat Malaysia, antaranya termasuklah tahap pengetahuan kewangan, aktiviti simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupan, dan perancangan untuk persaraan.

Oleh itu, terdapat beberapa pendekatan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian, dan diri sendiri bagi mengukuhkan tahap literasi kewangan dalam masyarakat. Sebagai contoh, pihak kerajaan diseru untuk mengambil inisiatif dalam meningkatkan kerjasama antara sektor kerajaan dengan swasta dalam membina pendekatan mereka terhadap literasi kewangan rakyat Malaysia. Hal ini boleh dilakukan melalui kolaborasi dengan institusi perbankan dan NGO untuk mengadakan program celik kewangan dalam usaha memastikan pelaksanaan pendekatan yang lebih berkesan dan mantap. Terdapat pelbagai program berkaitan dengan celik kewangan diadakan sehingga kini yang telah berjaya meraih perhatian golongan belia, sekali gus membuktikan bahawa usaha sebegini mampu meningkatkan kepekaan dalam berbelanja, selain mendorong mereka untuk lebih cakna dalam aspek sosialisasi kewangan, kemahiran teknologi kewangan, dan kawalan kendiri.

Selain itu, institusi pengajian tinggi di Malaysia boleh bertindak mengadakan program celik kewangan sekurang-kurangnya setahun sekali. Bagi menarik perhatian dan minat golongan anak muda, pihak penganjur boleh menyelitkan aktiviti pertandingan dan kuiz ataupun memberikan hadiah dan buah tangan kepada peserta. Pihak institusi pengajian tinggi juga boleh menjemput institusi perbankan utama seperti Maybank, CIMB, BSN, RHB dan lain-lain bagi memperkasa inisiatif tersebut sesuai dengan objektif program.

Walau bagaimanapun, pihak yang harus menunjukkan sikap bertanggungjawab yang paling tinggi dalam menguruskan kewangan ialah diri sendiri. Setiap individu boleh memupuk semangat menyimpan wang dalam tabung ataupun melakukan transaksi pelaburan secara dalam talian yang telah diiktiraf, seperti ASB, Tabung Haji, EPF dan lain-lain.

Semua pihak harus peka dengan modus operandi jenayah penipuan yang pada kebiasaannya berlaku apabila seseorang itu bersikap tamak, tidak meluangkan masa untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa-apa produk kewangan yang ditawarkan, atau terburu-buru mengikut orang lain. Melalui program celik kewangan, para peserta program diseru untuk mengambil langkah berhati-hati apabila berhadapan dengan pelaburan yang memerlukan rekrut, bersifat samar-samar dan tidak telus, ditawarkan oleh entiti yang tidak dikenali atau tidak mempunyai kredibiliti, terlalu bergantung pada reputasi, dan menjanjikan pulangan yang terlalu baik untuk menjadi kenyataan.

Masyarakat juga akan lebih cenderung untuk mempunyai perancangan kewangan yang kurang mantap sekiranya tidak didedahkan kepada program celik kewangan dengan lebih awal. Tanpa perancangan kewangan yang baik, seseorang individu mungkin terjurus untuk berbelanja melebihi kemampuan dan menampung perbelanjaan dengan menambah jumlah hutang.

Kaji selidik Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 mendedahkan bahawa tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh antara tahun 2019 dan tahun 2020. Hampir separuh daripada responden mengatakan bahawa mereka masih lagi berbelanja mengikut pendapatan yang diperoleh atau lebih, manakala baki responden mendedahkan mereka berkemungkinan tidak mampu bertahan lebih dari tiga bulan dengan menggunakan simpanan sekiranya hilang pekerjaan. Oleh itu, orang ramai haruslah sedar dan berusaha untuk tidak berbelanja secara terburu-buru sehingga menyebabkan diri menjadi papa kedana. Mereka juga tidak perlu mempunyai simpanan menggunung yang tinggi atau sebaliknya untuk melakukan sebarang pelaburan sehingga menyebabkan kehilangan segalanya sekiranya ditipu.

Menyedari betapa pentingnya perancangan kewangan dan ilmu literasi kewangan, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam membuat perbelanjaan dan merancang kewangan dengan cermat agar tidak terjerumus dengan hutang dan penipuan. Maka itu, orang ramai disarankan agar mempelbagaikan pegangan aset kerana sesuatu aset itu bersifat dinamik dan nilainya mungkin turun atau naik pada satu-satu masa.

Selain itu, langkah proaktif seperti pengambilan pelan perlindungan takaful untuk diri dan aset juga disarankan di samping menambah simpanan yang sedia ada. Hal ini mampu memperkukuh jaminan masa depan seseorang untuk menghadapi apa-apa juga kemungkinan yang mungkin berlaku sama ada baik atau buruk kerana perkara sebegini memerlukan aktiviti pengaliran wang keluar masuk. Sedarlah bahawa setiap perubahan dan tindakan bermula daripada kita semua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.