Oleh RYAN SOFEA
3 Mac 2023, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat, sebilangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wang caruman mereka sebagai alternatif bagi penyelesaian jangka pendek terhadap masalah tersebut. Oleh itu, kerajaan terus dirayu untuk melihat semula permohonan kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP bersasar bagi mereka yang masih mempunyai simpanan.

Walaupun kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan semasa pencarum dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup sekarang, namun hal tersebut dilihat sangat diperlukan pada ketika ini bagi sebilangan pencarum, selain dilihat sebagai “penyelamat segera” bagi mendapatkan tunai secara mudah demi kelangsungan hidup dan melepasi halangan yang ada.

Baru-baru ini, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) menyarankan kerajaan menimbang semula kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP dari RM10 000 hingga RM30 000 secara sekali gus, yang menurut Presidennya, Khairul Anuar Othman, bertujuan untuk mengelakkan pencarum terputus perbelanjaan tunai kerana jelas beliau, masih ada pencarum yang terkesan oleh tempias pandemik COVID-19. Ada dalam kalangan pencarum pada ketika ini mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman bank yang perlu diselesaikan. Tidak kurang juga pencarum yang kehilangan pekerjaan dan belum memperoleh pekerjaan baharu selepas diberhentikan ketika penularan pandemik itu memuncak sedangkan mereka mempunyai komitmen kewangan yang tinggi. Ada juga dalam kalangan pencarum yang baru memulakan pekerjaan serta memerlukan sumber kewangan dan ada juga yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan selepas kehilangan pekerjaan.

Kenyataannya, bukan setakat bebanan kos sara hidup yang meningkat yang perlu dihadapi, namun lebih daripada itu. Maka, timbulnya suara-suara di sebalik kewajaran kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP perlu dibenarkan sekali lagi kerana tekanan kelangsungan kehidupan yang begitu memuncak dan mendesak. Ada yang berpendapat jika kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP dibenarkan sekali lagi, hanya sebilangan kecil pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi akan mendapat manfaat, manakala sebahagian besar pencarum yang benar-benar memerlukan wang tidak akan mendapat manfaat kerana caruman mereka sudah terlalu rendah. Ada pula yang berpendapat sebahagian besar pencarum yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan persaraan di bawah RM10 000 yang dianggap berada pada paras tenat dan jika kemudahan pengeluaran wang caruman tersebut dibenarkan sekali lagi,apakah yang akan tinggal untuk bekalan mereka menjelang usia emas kelak?

Menurut data terkini KWSP, jumlah pencarum dengan simpanan bawah RM10 000 masih pada paras 51.5 peratus atau sebanyak 6.67 juta pencarum setakat akhir tahun 2022. Pada ketika ini, jumlah pencarum KWSP bawah usia 55 tahun ialah kira-kira 13.1 juta, sementara jumlah keseluruhan pencarum ialah sebanyak 15.7 juta. Daripada 13.1 juta pencarum yang berusia 55 tahun dan ke bawah, hanya sebilangan kecil, iaitu 2.6 peratus atau 350 000 pencarum mencapai paras kecukupan simpanan, iaitu pada paras ideal. Hal ini bermakna, 97.4 peratus atau 12.75 juta pencarum yang berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal untuk bersara dengan selesa bagi yang tinggal di bandar utama. Persoalannya, aspek manakah yang lebih penting untuk dipertimbangkan, sama ada keperluan kewangan semasa atau keperluan kewangan masa depan? Sama ada dibenarkan ataupun tidak dibenarkan kemudahan pengeluaran wang caruman KWSP sekali lagi, hal ini tetap tidak akan menjanjikan kehidupan persaraan bermaruah kepada sebahagian besar pencarum. Nasib dan masa depan alam persaraan sebahagian besar pencarum masih berada di awang-awangan.

Untuk rekod, sekiranya kemudahan pengeluaran wang caruman KWSP dibenarkan sekali lagi, keadaan ini akan menjadi pusingan kelima pengeluaran awal KWSP dalam tempoh tiga tahun. Kemudahan pengeluaran sebelum ini di bawah skim i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas membabitkan keseluruhannya berjumlah RM145 bilion oleh 8.1 juta pencarum, yang sebahagian besar daripadanya ialah Bumiputera dengan 5.1 juta atau 76 peratus. KWSP mendedahkan, empat pengeluaran awal tersebut, menyebabkan pengurusan dana persaraan itu ‘terlepas’ peluang untuk mengembangkan aktiviti pelaburannya. Walau bagaimanapun, hal ini masih terkawal dan tidak memberikan kesan ketara terhadap portfolio pelaburan pengurus dana persaraan itu kerana prestasi pelaburan KWSP dan pemberian dividen lebih dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku dalam pasaran global dan domestik dan masih kekal mencabar dan tidak menentu. Jumlah itu hanya mewakili 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset di bawah pengurusan KWSP yang kini mencecah RM1 trilion dan masih dianggap jumlah yang kecil dan tidak menjejaskan prestasi KWSP.

Bagi tahun 2021, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.45 bilion, sementara sebanyak 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah agihan RM6.27 bilion, menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.

Pada ketika ini, jumlah pencarum KWSP yang aktif adalah sekitar 8.4 juta, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah pengurusan dana persaraan itu. Jumlah ahli yang mencarum secara sukarela juga telah meningkat kepada 398 000 pada tahun 2022 berbanding dengan 197 000 sebelum ini. Selain itu, pendaftaran majikan baharu juga telah meningkat sebanyak 30 peratus kepada 94 000 pada tahun 2022 berbanding dengan 72 000 sebelum ini. Oleh itu, mengapakah sukar bagi KWSP untuk membenarkan kemudahan pengeluaran awal kelima sedangkan berjuta pencarum terus melabur dalam dana persaraan itu? Mengapakah ada pihak yang terus mempertikaikan soal pengeluaran saki baki simpanan pencarum sedangkan mereka benar-benar memerlukannya? Pengeluaran itu seharusnya dibenarkan berikutan  membabitkan simpanan milik pencarum sendiri dan mereka sedar tabungan masa depan akan menyusut kesan daripadanya.

Pada masa ini, jumlah pencarum yang terkesan semakin ramai, ada yang diisytiharkan sebagai bankrap dan mengalami kemurungan sehingga menjejaskan kesihatan mental mereka. Hal ini melibatkan usaha untuk meneruskan kelangsungan dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya dengan pengeluaran wang caruman tersebut, pencarum dapat bertahan dengan belanjawan yang “cukup-cukup makan” untuk beberapa bulan yang mendatang. Ditambah pula dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), sekali gus menyebabkan tekanan inflasi semakin tinggi kepada pencarum yang terkesan di negara ini. Keadaan itu menyebabkan pencarum semakin sengsara dan menjadi semakin terbeban dengan peningkatan harga barang, kos sara hidup dan komitmen ansuran yang lain.

Bagi pakar ekonomi, golongan paling terkesan dengan langkah kenaikan OPR berkenaan melibatkan golongan yang diberikan moratorium penangguhan pembayaran pinjaman sebelum ini. Kesan itu dirasai apabila mereka terpaksa membayar semula pinjaman dengan nilai lebih tinggi. Dalam erti kata yang lain, bagi individu yang meminjam, hal tersebut meninggalkan kesan kerana menjadikan kos pinjaman semakin tinggi. Maknanya, seseorang itu terpaksa menambah bayaran untuk membayar balik pinjaman. Lebih membimbangkan termasuklah apabila sebanyak 20 peratus kumpulan isi rumah M40 yang mempunyai pendapatan antara RM4850 hingga RM10 959 telah beralih kepada B40, manakala 12.8 peratus golongan T20 yang mempunyai pendapatan RM15 000 ke atas bertukar status kepada M40 disebabkan ketidaktentuan situasi ekonomi sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Pada hakikatnya, walaupun kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan semasa pencarum dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup sekarang, namun ada yang berjaya membina sesuatu daripadanya sehingga mampu keluar daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi ketika ini. Yang jelasnya, kehidupan sebahagian daripada jumlah pencarum semakin terdesak dan sekecil-kecil jumlah wang yang ada daripada bantuan simpanan sendiri yang digelar “angsa bertelur emas” itu amat bernilai tinggi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.