Oleh Abd. Razak Osman
5 Mac 2023, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Graduan yang mengikut kursus anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah dilatih untuk menjadi lebih cekap dalam semua bidang kerana ilmu yang dipelajari pasti bertambah jika graduan dapat menyambung pengajian ke tahap yang lebih baik. Graduan yang tamat latihan, akan menjadi individu yang hebat dengan kerjaya masing-masing apabila pandai menyesuaikan diri di mana-mana sahaja. Demikian ucapan urus setia konvokesyen tersebut, YM Raja Norraidah Raja Yaacob.

Sebahagian daripada graduan bergambar dengan pihak pengurusan Opa Sinergi Sdn. Bhd. selepas menerima sijil masing-masing.

Buat julung kalinya pada tahun ini, sebanyak 216 orang graduan telah menerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang disampaikan di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kedah, semalam.

Sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diberikan kepada graduan yang telah selesai mengikuti Kursus Kecantikan, Operasi Latihan Vokasional, Dandanan Rambut, Tadika/Taska, Bangunan, Urutan, dan beberapa kursus lain yang dikelolakan oleh Opa Sinergi Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah.

Menurut YM Raja Norraidah Raja Yaacob lagi:

Inilah kali pertama sijil kepada graduan diberikan setelah graduan menamatkan pengajian dalam bidang tersebut dengan penuh bersemangat dan yakin diri.

ADUN Bukit Selambau, Encik R. Summugam a/l Rengasamy menyampaikan penghargaan kepada YM Tunku Rizal Shah Tunku Muszaffar Shah di konvokesyen tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Encik R. Summugam a/l Rengasamy ketika berucap dalam majlis penyampaian sijil kepada peserta konvokesyen itu berkata, golongan belia mampu melakukan kerja dengan cemerlang bagi membangunkan negara setelah mempunyai kemahiran yang tinggi, hal ini termasuklah mempunyai ilmu dalam aspek berkaitan perpaduan dan kesejahteraan sosial.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Pengarah Urusan Opa Sinergi Sdn. Bhd., Encik Mohamad Idrus Abdullah Hudi, wakil kerabat diraja Negeri Kedah, YM Tunku Rizal Shah Tunku Muszaffar Shah, Penasihat Opa Sinergi Sdn. Bhd., Datuk J. C. Boon dan Wakil Rektor UiTM Kedah, Puan Rosliza Ismail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.