16 Mac 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghimpunkan pelbagai pihak, termasuklah ahli akademik, penerbit, persatuan penulis, yayasan, dan penjual buku dalam usaha mencari kaedah terbaik memperkukuh program merakyatkan buku di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang pada 15 Mac 2022.

Persidangan Meja Bulat dengan tema “Merakyatkan Buku: Bersama Membangun Malaysia Madani” ini juga menjadi landasan perbincangan lebih meluas pada Persidangan Buku Kebangsaan dan Persidangan Buku Antarabangsa yang akan diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan Mei nanti.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa menyampaikan ucap utama menekankan kepentingan menyediakan kerangka perancangan kerja yang komprehensif. Kerangka tersebut meliputi lima tahap utama, iaitu, penilaian kritis, pemetaan, pelaksanaan, promosi dan peneguhan prasarana.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Sementara itu, Setiausaha Agung ABIM, Encik Fazril Saleh pula melihat konsep merakyatkan buku ini dari aspek penciptaan kecenderungan minat dan suka kepada buku. Dengan kecenderungan yang diwujudkan secara terancang dapat mengajak rakyat turut serta secara tidak langsung. Kecenderungan ini pula haruslah dijana secara berterusan, bukannya aktiviti bermusim.

Encik Fazril Saleh, Setiausaha Agung ABIM.

Pengarah Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq memfokuskan enam Rukun Malaysia Madani sebagai tonggak merakyatkan buku. Rukun tersebut, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan yang sangat bertepatan dan relevan sebagai usaha transformasi bermula dari peringkat akar umbi rakyat Malaysia.

Pengarah Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ir Ts. Dr. Mohamed Thariq.

Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Encik Sakri Abdullah pula mencadangkan lima tindakan penting bagi merakyatkan buku. Tindakan tersebut meliputi pembentukan jawatankuasa, pembentukan terma rujukan, pembelian hak cipta penerbit asing, pembiayaan penuh untuk bahasa asing dan bidang keutamaan negara, serta menanggung kos terjemahan dan pertukaran judul. Tindakan ini haruslah digerakkan secara bersepadu tanpa meminggirkan mana-mana tindakan.

Encik Sakri Abdullah, Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Selain itu, Profesor Dr. Roosfa Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan tentang keperluan pembentukan minat dan budaya membaca yang utuh dalam kalangan masyarakat bagi menggerakkan kitaran ekonomi penerbitan buku. Menurut beliau, usaha merakyatkan buku akan terbantut sekiranya buku gagal disampaikan sedekat-dekatnya kepada rakyat.

Profesor Dr. Roosfa Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, Encik Adi Irwan Dato’ Haji Azhar menyatakan kepentingan aspek jualan buku sebagai usaha merakyatkan buku. Beliau mencadangkan supaya peruntukan pembelian buku oleh pihak sekolah harus digunakan untuk pembelian buku.

Encik Adi Irwan Dato’ Haji Azhar, Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Intech Media, Encik Mohd Rishi Rossn menyatakan bahawa usaha merakyatkan buku ini tidak boleh lagi dilakukan secara fizikal semata-mata sebaliknya perlu memberikan tumpuan kepada pembacaan digital, seperti melalui e-buku.

Pengerusi Eksekutif Intech Media, Encik Mohd Rishi Rossn.

Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia, Encik Keith Thong mengulas tentang jualan kandungan. Menerusi koleksi data raya, pelbagai kandungan yang bersesuaian dengan semua rakyat dapat dipenuhi bagi merakyatkan buku tanpa apa-apa batasan.

Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia, Encik Keith Thong.

Profesor Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said dari Majlis Profesor Negara pula menerangkan kepentingan untuk beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam program merakyatkan buku. Takrifan buku tidak seharusnya dihadkan kepada suatu yang berjilid dan berkertas, sebaliknya turut mengiktiraf himpunan tulisan dalam bentuk digital sebagai sebuah buku.

Profesor Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said dari Majlis Profesor Negara.

Yang Berbahagia Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan penutupannya menyatakan bahawa hasil persidangan ini turut menjadi input penting kepada DBP. Menurut beliau, “Hasil pada hari ini dapat membantu kami menjalankan agenda buku negara, agenda bahasa negara dan agenda sastera negara”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.