16 Mac 2023, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apakah yang dimaksudkan dengan sikap bertimbang rasa? Secara falsafahnya hal tersebut bermaksud keupayaan minda kita untuk melihat dan mentafsir perkara yang berlaku seperti pergerakan dan saiz secara logik akal. Selain itu, hal ini juga membawa maksud rasa semula jadi yang terdapat dalam diri manusia terhadap manusia lain. Dengan kata lain, sikap bertimbang rasa ialah cara kita memahami dan mempunyai sikap sensitiviti terhadap orang lain. Sebagai contoh, Apabila membaca isu yang terdapat dalam media sosial seperti Facebook atau Twitter, kita sering melihat kebanyakan masyarakat kurang menghayati sikap ini dalam diri mereka.

Individu yang tidak bertimbang rasa ini merupakan orang yang tidak memikirkan kesusahan orang lain dan hanya mementingkan diri mereka sendiri. Umpamanya, apabila kita berjiran, kita perlulah menghormati antara satu sama lain. Isu ini boleh dilihat di kawasan kejiranan apabila sesetengah individu dengan tanpa rasa bersalah meletakkan kereta mereka di hadapan pintu pagar rumah jiran yang lain sehingga jiran tersebut sukar untuk keluar masuk dalam rumah sendiri. Sikap tidak bertanggungjawab ini amat menyusahkan jiran tersebut jika merekamengalami kecemasan pada waktu tersebut.

Sikap tidak bertimbang rasa ini bukan sahaja berlaku di kawasan kejiranan sahaja, malah boleh berlaku di mana-mana sahaja. Antara contoh lain yang boleh dilihat termasuklah semasa berada di jalan raya. Ada sesetengah manusia yang suka memotong barisan apabila berlaku kesesakan jalan raya. Mereka sanggup menggunakan laluan kecemasan untuk memotong barisan kerana ingin cepat sampai ke destinasi. Sikap ini tidak patut diamalkan kerana individu terbabit sewajarnya bersabar apabila menghadapi situasi sedemikian. Hal ini demkian kerana bukan dirinya sahaja yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pada waktu itu.

Apabila berada di kawasan kolej atau rumah sewa pula, lain pula ragam manusia yang berlaku. Dalam situasi ini, ada rakan serumah yang tidak menghormati rakan serumah yang lain seperti membuat bising apabila rakan lain sedang melakukan tugasan atau sedang tidur, membawa haiwan ke dalam rumah sehingga menyebabkan rakan lain tidak selesa dengan kehadiran haiwan tersebut di dalam rumah serta sikap penghuni rumah yang pengotor. Perkara sebegitu sebenarnya boleh difikir menggunakan akal yang dikurniakan oleh Tuhan, namun manusia menganggap itu perkara kecil dan remeh yang tidak memberikan kesan terhadap individu di sekelilingnya.

Beberapa sikap bertimbang rasa yang perlu kita amalkan dan ambil peduli, iaitu:

1. Mengucapkan terima kasih apabila diberi pertolongan

Ucapan terima kasih sangat mudah diucapkan, tetapi bukan semua individu begitu senang untuk mengucapkannya apabila telah diberi pertolongan. Ucapan ini merupakan perkara asas yang perlu dilakukan oleh semua orang apabila mendapat pertolongan, memperoleh hadiah atau sebagainya. Ucapan terima kasih menandakan kita menghargai seseorang itu, walaupun mereka sekadar memberikan sekecil-kecil bantuan

2. Beratur semasa menunggu giliran

Bersabar dan tunggulah giliran anda.Tidak kira di mana-mana kita berada, sama ada di atas jalan raya semasa berlaku kesesakan lalu lintas, di kedai, beratur semasa menaiki bas atau kenderaan awam. Jangan memotong barisan semata mata untuk memudahkan urusan diri sendiri sehingga menyebab orang lain terpaksa menunggu dengan lebih lama.

3. Perlahankan suara dalam situasi tertentu

Apabila berada di kolej atau rumah sewa, latihlah diri untuk perlahankan suara atau muzik yang sedang didengari jika melihat rakan serumah sedang tidur, berehat ataupun mengulangkaji pelajaran. Setiap individu perlukan ketenangan dan suasana yang sunyi apabila sedang belajar atau berehat. Jadilah individu yang mempunyai sensitiviti terhadap orang sekeliling.

4. Parkir kenderaan di tempat yang sesuai

Jangan parkir kenderaan di petak orang kurang upaya (OKU) atau di hadapan pintu pagar rumah jiran sehingga mengganggu urusan harian mereka. Letaklah kenderaan di tempat yang sesuai dan tidak memudaratkan orang lain.

5. Lepas makan, kemaslah meja

Situasi ini sering dikaitkan apabila seseorang itu berada di kedai makan, iaitu selepas selesai menjamah hidangan. Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita cuba meringankan tangan dengan membantu kemaskan semula pinggan yang telah digunakan. Mungkin sesetengah orang beranggapan bahawa hal ini tidak perlu dilakukan kerana menganggapnya sebagai tugas pekerja di kedai makan tersebut dan mereka dibayar gaji untuk melakukan kerja-kerja sebegitu. Namun begitu, tidak salah rasanya jika kita membantu mereka dengan menyusun pinggan dan mengelap meja yang mengandungi sisa makanan. Perkara itu mampu meringankan beban dan membuatkan mereka tersenyum apabila melihat kerja mereka dipermudahkan.

6. Tidak merokok di kawasan larangan

Walaupun terdapat papan tanda yang menunjukkan mengenai kawasan larangan merokok, namun masih banyak pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut. Maka, elakkan merokok di kawasan larangan seperti kedai makan, pusat membeli belah atau di dalam kenderaan awam. Asap rokok boleh mengganggu keselesaan orang sekeliling terutamanya kanak-kanak, orang yang mempunyai penyakit asma dan alahan terhadap asap.

Sikap bertimbang rasa ini sangat penting untuk diamalkan. Hal ini boleh membawa kepada terjadinya pergaduhan, bermasam muka dan putus silaturrahim jika sikap ini tidak diamalkan. Hal ini akan menjejaskan hubungan seseorang itu dengan kawan serumah, jiran tetangga, saudara-mara dan orang sekeliling. Seseorang yang bijak bukan sahaja perlu menonjol dalam lapangan akademik semata-mata, malah juga harus mengamalkan sikap ini dalam kehidupan. Seseorang yang berpendidikan dan berjawatan tinggi, namun tidak mempunyai adab juga tidak memberikan apa-apa kebanggaan untuk diri individu tersebut. Malangnya kita jarang-jarang menghargai sikap timbang rasa yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak kerana kita kerap menilai seseorang itu dari tahap pendidikan, jawatan dan pangkat yang mereka miliki.

Terdapat beberapa cara yang praktikal untuk meningkatkan sikap ini dalam diri antaranya termasuklah:

1. Belajar untuk membuat refleksi diri

Cara terbaik untuk menerapkan adab dan etika dalam diri ialah dengan merenung kembali setiap perbuatan yang telah dilakukan. Fikirlah sama ada perbuatan yang dilakukan itu betul dan sesuai untuk dilakukan atau sebaliknya. Refleksi dapat membantu kita belajar melakukan perkara yang perlu dilakukan, perkara yang tidak boleh dilakukan serta cara baharu untuk melakukan sesuatu.

2. Bersikap tegas

Buatlah keputusan menggunakan akal fikiran dan jiwa. Sebelum melakukan sesuatu perkara, eloklah difikirkan sama ada baik atau buruknya perkara tersebut. Kita perlu bersikap tegas dengan diri sendiri untuk mencegah daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan kesusahan, kemarahan dan masalah kepada orang lain, contohnya membuat keputusan untuk memilih parkir yang sesuai dan bukan menggunakan parkir OKU .

3. Membina perspektif

Letakkan diri kita di tempat orang lain dengan cara melihat diri sendiri dari perspektif orang lain jika kita melakukan tindakan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Belajarlah daripada pandangan dan perspektif orang lain serta fikirlah sebelum melakukan setiap perbuatan.

Sikap bertimbang rasa boleh difikirkan dengan logik akal dan tidak perlu dipaksa. Oleh hal yang demikian, jadilah masyarakat yang mempunyai tahap timbang rasa dan adab yang tinggi supaya kehidupan kita lebih harmoni tanpa mengundang permasalahan dengan orang lain.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.