Oleh Hisyam Basabah
17 Mac 2023, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepentingan nasional adalah sebuah manifestasi semangat nasionalisme yang didasari oleh kehendak dan keperluan rakyatnya. Kepentingan nasional juga meliputi set kepentingan bersama masyarakat yang mendiami sesuatu wilayah dan disatukan dalam sebuah ideologi politik yang sama. Kepentingan nasional ini merangkumi keperluan rakyat yang merangkumi politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, keterjaminan makanan, sumber alam dan teknologi demi memastikan rakyat di sesebuah negara mendapat segala yang diperlukan untuk terus hidup.

Maka, setiap kerajaan di sesebuah negara perlu memelihara dan memastikan kepentingan nasional di negara masing-masing terus terjamin tanpa digugat oleh mana-mana aktor dalam sistem antarabangsa. Dasar luar merupakan alat bagi sesebuah negara untuk memastikan kepentingan nasionalnya terjamin di arena antarabangsa. Melalui dasar luar yang mapan, kepentingan nasional yang merangkumi pelbagai bidang dapat terus dilestarikan dan bergantung pada kebijaksanaan sesebuah kerajaan menjalankan dasar luar bagi menjamin kepentingan nasional.

Apabila berbicara tentang kepentingan nasional, maka hal ini tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang dilema keselamatan yang mampu mengancam kelangsungan negara. Setiap negara mempunyai kepentingan nasional yang berbeza-beza dan cara mengendalikan dasar luar juga pastimya berbeza. Negara kuasa besar yang mempunyai keupayaan ketenteraan lazimnya menggunakan kaedah gun boat diplomacy terhadap negara-negara kecil selain kaedah cegah rintang terhadap negara yang mempunyai keupayaan setara atau hampir setara dengan mereka. Kaedah gun boat diplomacy diibaratkan sebagai dasar kebergantungan  negara-negara kecil kepada negara kuasa besar apabila negara kuasa besar menjadikan negara-negara kecil sebagai negara proksi atau negara penampan. Negara kecil seperti Kemboja atau Sri Lanka contohnya terpaksa menuruti China kerana China sebagai sebuah daripada negara kuasa besar telah banyak memperuntukkan bantuan dan pelaburan kepada mereka sehingga China mampu menjadikan Kemboja dan Sri Lanka sentiasa menuruti kehendak mereka.

Kaedah cegah rintang pula dijalankan oleh negara-negara kuasa besar bagi mengimbangi kekuatan ketenteraan negara-negara pesaing mereka agar ancaman berbentuk tradisional seperti ketenteraan tidak berlaku. Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini menggesa angkatan tentera bersenjatanya segera dimantapkan sehingga mampu menjadi pasukan bertaraf dunia, terutamanya selepas tindakan Amerika Syarikat yang semakin mengancam keselamatan mereka sejak kebelakangan ini. Ucapan beliau pada Kongres Tahunan ke-14 Parti Komunis China (CCP) itu menyusuli kenyataan Menteri Luar China, Qin Gang yang memberikan amaran mengenai kemungkinan berlakunya konflik China-Amerika Syarikat. Rentetan daripada itu, Xi Jinping berkata China perlu memaksimumkan keupayaan strategiknya dalam usaha menaiktarafkan keseluruhan kekuatannya secara sistematik bagi menghadapi risiko, melindungi kepentingan dan objektifnya. Kenyataan ini tertumpu pada dilema keselamatan China terhadap kedaulatan negara dan kepentingan nasionalnya, apatah lagi China kini muncul sebagai salah sebuah kuasa besar dunia yang berpotensi besar mencabar hegemoni Amerika Syarikat terutamanya di rantau Asia Pasifik.

Bagi Beijing, mereka merasakan diancam oleh Amerika Syarikat dan kepentingan nasionalnya berpotensi digugat. Sebagai mana China, Washington juga sudah pasti mengambi langkah yang sama dilakukan oleh China serta beranggapan Beijing juga mempunyai niat yang untuk mengganggu gugat kepentingan nasionalnya dan memecahkan dominasi hegemoninya di rantau Asia Pasifik.

Persaingan antara China-Amerika Syarikat kembali membawa kita kepada memori era Perang Dingin sekiranya dilema keselamatan antara kedua-dua buah negara ini terus memuncak. Dilema keselamatan yang didasari oleh kepentingan nasional mampu menatijahkan perlumbaan senjata yang pada akhirnya menjadikan landskap politik antarabangsa berada dalam suhu yang panas dan berpotensi berlakunya peperangan fizikal, apatah lagi kedua-dua buah negara mempunyai keupayaan senjata nuklear dan keupayaan ketenteraan yang canggih.

Negara lain dalam sistem antarabangsa perlu menjalankan peranan masing-masing melalui organisasi-organisasi antarabangsa bagi memberikan tekanan kepada kedua-dua buah negara agar mengendurkan dilema keselamatan masing-masing kerana dilema keselamatan yang dialami oleh kedua-dua buah negara kuasa besar ini sebenarnya berpunca daripada “dosa” yang pernah dilakukan oleh mereka terhadap negara lain. Dalam situasi ini,hanya orang bersalah sahaja yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Jika tidak, seluruh dunia terutamanya negara-negara kecil bakal menjadi mangsa kerana kebiasaannya pelanduk kerap kali mati di tengah-tengah pertarungan antara dua ekor gajah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.