20 Mac 2023, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mengapa sempadan negara begitu mudah dibolosi dan mengapa Malaysia menjadi pilihan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)?

Dua persoalan ini pasti akan berlegar di benak rakyat Malaysia apabila isu PATI tidak pernah ada jalan penyelesaiannya. Memasuki negara ini secara haram, tinggal melebihi tempoh, meneroka dan membina penempatan haram, serta bebas melakukan aktiviti seperti berniaga, menunjukkan seolah-olah mereka kebal kepada undang-undang negara.

Jawapan yang sering kita dengar, sudah pasti ada pihak yang melindungi mereka, membawa masuk mereka secara haram dan mendapat imbuhan mudah dalam bentuk rasuah oleh agensi penguatkuasaan dikatakan antara punca mengapa isu PATI ini tidak pernah selesai.

Data Bank Dunia pada tahun 2017 menganggarkan bahawa antara 1.23 juta orang hingga 1.46 juta orang warga asing tanpa dokumen berada di Malaysia. Sementara itu, agensi berita Reuters pula melaporkan bahawa terdapat kira-kira dua juta lagi warga asing dengan dokumen sah. Itu data yang dikeluarkan mengambil tempoh enam tahun yang lalu dan berdasarkan kepada perkembangan semasa, jumlah PATI pada ketika ini mungkin jauh lebih besar jumlahnya dan jika dibiarkan pastinya akan menyumbang kepada lebih banyak kerugian kepada negara dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Di bawah program pengampunan dan pulang secara sukarela yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2021, sebanyak 90 ribu PATI telah dihantar pulang secara sukarela. Namun begitu, jumlah mereka yang tinggal secara haram dan enggan menyertai program tersebut besar kemungkinan jauh lebih tinggi. Hal ini dapat dilihat berdasarkan jumlah mereka yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah atau tinggal melebihi tempoh dalam beberapa operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Lebih menakutkan lagi apabila terbongkarnya beberapa penempatan haram yang dibina oleh PATI dengan kemudahan yang serba lengkap seolah-olah menunjukkan mereka tidak sama sekali berhasrat untuk kembali ke negara asal mereka. Ketika program tersebut dilaksanakan, kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM52 juta daripada denda yang dikenakan kepada PATI. Pada hakikatnya, kerajaan masih menanggung kerugian yang besar dalam bentuk hasil caj levi yang sepatutnya dibayar oleh pekerja berkenaan sekiranya mereka bekerja di negara ini secara sah.

Berdasarkan statistik  yang dikeluarkan oleh pihak Imigresen Malaysia, hasil daripada program tersebut, kerajaan mendapati bahawa anggaran kehilangan pendapatan negara mencecah RM100 juta hingga RM130 juta setahun dalam bentuk hasil caj levi yang sepatutnya dibayar oleh pekerja asing seandainya mereka memasuki dan bekerja secara sah di negara ini.

Sementara itu, Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang diumumkan pada 10 Januari 2023, mendapati sebanyak 194 793 PATI telah berdaftar dengan membabitkan 17 053 orang majikan. Permohonan yang diterima melalui program itu membabitkan sebanyak 55 peratus daripada sektor pembinaan, sektor perkhidmatan (28 peratus), sektor perkilangan (enam peratus), sektor pertanian (enam peratus) dan sektor perladangan (lima peratus).

Data terbaharu ini menunjukkan bahawa PATI masih menjadi satu isu yang membebankan kerajaan dan menggugat kedaulatan negara. Keberadaan mereka di negara ini secara haram sebenarnya banyak merugikan negara selain memberikan impak kepada masalah sosial dan imej negara. Lebih merugikan kerajaan apabila keberadaan PATI yang tidak terkawal menyebabkan kerajaan tidak memperoleh sebarang bentuk cukai atau lain-lain caj perkhidmatan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk tempatan. Malah mereka juga selesa menikmati segala kemudahan termasuk subsidi terhadap beberapa barangan kawalan yang khusus untuk rakyat di negara ini.

Serbuan ke atas dua buah penempatan haram PATI masing-masing di Nilai Spring dan Cyberjaya baru-baru ini menunjukkan bahawa isu ini perlu terus diberikan perhatian yang serius. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua penempatan ini sudah didiami lebih lapan tahun yang lalu dan yang lebih mengejutkan, penempatan ini turut dilengkapi dengan segala kemudahan termasuk sekolah yang menggunakan sukatan pelajaran dari negara asal mereka.

Terkini, sebuah lagi penempatan haram PATI di Bandar Ainsdale, Nilai, yang diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia turut didiami oleh rakyat warga Indonesia, membuktikan bahawa jumlah mereka sebenarnya masih tinggi dan satu usaha berterusan bagi membendung kemasukan PATI ke negara ini perlu dilakukan dengan segera.

Dalam hal ini, kita tidak sewajarnya dibuai dengan sentimen dan emosi kemanusiaan, sebaliknya perlu mendaulatkan undang-undang seperti mana yang dilakukan oleh negara luar terhadap pendatang asing yang memasuki dan tanggal di negara mereka secara haram. Mereka bukan sahaja dikenakan hukuman yang berat, malah disenaraihitamkan daripada memasuki negara tersebut.

Apa-apa yang berlaku di negara ini, seolah-olah  PATI tidak takut dengan penguatkuasaan undang-undang malah bebas hidup umpama warga tempatan. Lebih mencurigakan lagi bagaimanakah mereka begitu berani meneroka bidang perniagaan sehingga mampu menguasai sektor tertentu sedangkan rakyat tempatan terbeban dengan pelbagai masalah akibat ketidaktentuan ekonomi dan pascapandemik COVID-19 dan mereka juga berharap kepada pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan. Pada hari ini, kita dapat melihat bagaimana sektor perniagaan peruncitan sudah dikuasai sepenuhnya oleh warga Aceh, perkhidmatan gunting rambut dikuasai warga dari India, penduduk Melayu Selatan Thailand mendominasi kedai makanan dan warga Pakistan sinonim dengan penjualan karpet dan kain.

Hakikatnya, kewujudan mereka secara tidak langsung menutup ruang perniagaan kepada rakyat tempatan dan perkara ini perlu ditangani secara serius. Jika dibiarkan, tidak hairanlah jika satu hari nanti kota-kota besar terutama di Kuala Lumpur bakal menyaksikan rakyat tempatan hanya mampu berniaga kecil-kecilan di kaki lima yang berdepan dengan pelbagai risiko dan tindakan undang-undang sedangkan warga asing mampu membuka kedai sendiri, malah mampu menyewa lot kedai yang dahulunya dimiliki oleh kaum Cina.

Apakah senario ini yang ingin kita lihat? Apakah ini imej Malaysia yang hendak ditunjukkan kepada pihak luar? Kita tidak perlu menuding jari untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi apabila perkara ini dibiarkan tanpa adanya tindakan, pastinya akan menimbulkan beberapa tanggapan negatif rakyat tempatan terhadap pihak penguatkuasaan mahupun kerajaan.

Walaupun sudah banyak bukti wujudnya elemen rasuah dan mereka yang bersalah telah dijatuhkan hukuman, masalah ini masih belum bernoktah. Kakitangan awam yang terlibat secara langsung dalam menjaga kedaulatan negara perlu memikirkan kesan akan perbuatan mereka bukan sahaja kepada keselamatan negara tetapi juga kepada generasi akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.