20 Mac 2023, 19:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 24 Februari 2023, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan belanjawan bagi tahun 2023 yang merupakan belanjawan semakan yang baharu bagi tahun ini kerana belanjawan yang disediakan pada tahun lepas tidak terpakai kerana Parlimen telah dibubarkan sebelum belanjawan tersebut dapat diluluskan.

Antara beberapa aspek belanjawan ini, yang bertemakan ‘Membangunkan Malaysia Madani’, termasuklah jumlahnya adalah paling besar dalam sejarah negara,iaitu sebanyak RM388.1 bilion. Daripada jumlah tersebut, lebih RM289.1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM99 bilion untuk pembangunan dan RM2 bilion untuk kontingensi.

Terdapat pelbagai peruntukan dalam belanjawan ini yang mencerminkan usaha kerajaan untuk mentadbir ekonomi negara serta terus memajukannya. Dalam kalangan kementerian yang mendapat peruntukan yang signifikan, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM55.2 bilion, diikuti oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM36.3 bilion, Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM18.5 bilion dan disusuli oleh Kementerian Pertahanan sebanyak RM17.7 bilion.

Peruntukan yang besar juga diberikan kepada Kementerian Pertanian untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor ini dengan memberikan insentif, tanah, dana dan geran teknologi. Subsidi diberi kepada petani dalam sektor beras berjumlah RM1.6 bilion, di samping pemberian tunai sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan yang kesemuanya berjumlah RM228 juta.

Untuk membiayai semua perbelanjaan ini, kerajaan mengunjurkan akan memperoleh pendapatan berjumlah RM291.5 bilion. Sebahagian besar adalah daripada cukai, iaitu lebih RM205.6 bilion yang merupakan 11.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pendapatan sumber bukan cukai dianggarkan berjumlah RM67 bilion dan kebanyakan adalah dalam bentuk dividen dari Petronas, iaitu kira-kira RM35 bilion. Kerajaan juga dijangka menerima peruntukan berjumlah RM3 bilion dari KWAP dan RM5 bilion dividen dari Bank Negara Malaysia.

Sudah tentu pendapatan daripada sumber percukaian sangat bergantung kepada kemampuan rakyat Malaysia serta syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini membayar cukai. Kemampuan mereka pula sangat bergantung pada prestasi ekonomi negara. Jika ekonomi negara berkembang dengan pesat, kemampuan mereka akan bertambah. Jika berlaku sebaliknya, kemampuan mereka akan menurun dan kutipan cukai kerajaan juga akan menurun.

Namun begitu, ekonomi negara juga bergantung pada prestasi ekonomi dunia. Dalam hal ini, badan International Monetary Fund  (IMF) atau Tabung Kewangan Dunia melaporkan bahawa pertumbuhan ekonomi global akan masih berlaku pada tahun 2023, tetapi pada kadar yang lebih perlahan, iaitu 2.9 peratus berbanding dengan 3.2 peratus pada tahun 2022. Ramalan ini adalah berdasarkan andaian bahawa permintaan dalam ekonomi akan menjadi perlahan akibat beberapa faktor seperti konflik di Ukraine serta langkah Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menguncupkan ekonomi dalam usaha mereka menangani masalah inflasi yang agak serius di negara tersebut. Berdasarkan faktor di atas, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak antara 4 dan 5 peratus sahaja.

Oleh sebab jumlah pendapatan negara adalah hanya RM291.5 bilion berbanding dengan perbelanjaan sebanyak RM388.1 bilion, hal ini bermakna belanjawan ini merupakan belanjawan defisit kerana saiz defisit adalah lebih kurang 5 peratus berbanding dengan KDNK. Hal ini juga bermakna kerajaan akan terpaksa berhutang sebanyak RM96.6 bilion untuk mendapatkan dana tambahan untuk membiayai perbelanjaan. Oleh itu, jumlah hutang terkumpul kerajaan akan meningkat lagi menjadikan jumlahnya RM1.2 trilion (atau lebih daripada 60% berbanding dengan KDNK negara). Malah jika dicampurkan tanggungan lain, jumlahnya adalah sebanyak RM1.5 trilion atau 81% berbanding dengan KDNK.

Sementara itu, bayaran faedah (kerana ini hampir kesemua hutang kerajaan adalah berbentuk riba) dianggarkan melebihi RM46 bilion atau 16% daripada jumlah pendapatan negara. Ini merupakan jumlah yang sangat besar, iaitu lebih besar daripada peruntukan untuk Kementerian Kesihatan, selain melebihi jumlah dividen yang diperoleh oleh kerajaan dari Petronas.

Walaupun memang benar hutang kerajaan sekarang berjumlah lebih daripada RM 1 trilion itu akibat daripada tindakan berhutang oleh kerajaan sebelum ini, namun yang paling minima kita berharap boleh dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah tidak menambahkan lagi beban untuk hutang sedia ada kerana jumlahnya sudah menjadi tersangat besar.

Akan tetapi, apa-apa yang boleh kita andaikan ialah kerajaan perlu berasa bimbang jika perbelanjaan kerajaan dikurangkan daripada terus menambah hutang yang sedia ada. Pada masa yang sama, pengurangan kepada perbelanjaan kerajaan mungkin akan mengakibatkan ekonomi akan menguncup atau menjadi lebih perlahan. Walaupun situasi ini adalah baik untuk menjamin suasana ekonomi yang lebih stabil dalam tempoh jangka panjang, namun pada masa yang sama boleh menimbulkan reaksi negatif daripada rakyat dan boleh menjejaskan populariti kerajaan dalam kalangan pengundi.

Walau bagaimanapun, kita perlu mengingatkan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang pesanan Allah SWT dalam al- Quran (surah al-Baqarah ayat 276-279) apabila Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pengamal riba. Di samping itu, Allah SWT juga menyebut bahawa Dia akan menarik keberkatan daripada amalan riba dan menambah keberkatan kepada yang bersedekah. Sebagai rumusan, keadaan hutang negara yang semakin tinggi ini serta keadaan kita yang semakin terjebak ke dalam perangkap riba seharusnya membuatkan kita berasa bimbang tentang perkara yang akan berlaku terhadap negara pada masa akan datang.

Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.