Oleh Nik Azman Nm
21 Mac 2023, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Besar harapan semua pihak, sama ada rakyat atau pemimpin antara kedua-dua buah negara bersempadan, iaitu Malaysia-Thailand untuk menamatkan konflik antara puak pemisah Melayu-Islam dengan kerajaan Thailand yang telah memakan masa berpuluh-puluh tahun lamanya.

Hal ini penting untuk mencapai keamanan dan menyelesaikan konflik puak pemisah di wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduknya Islam. Sejak tercetusnya konflik pada tahun 2004, lebih 7300 jiwa telah terkorban dalam pertempuran antara pasukan Thailand dengan puak pemisah. Sementara itu, 13 500 orang tercedera dalam kes keganasan yang berlaku di serata wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch sebuah badan pemikir tempatan.

Puak pemisah telah berjuang menuntut empat buah wilayah, iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan Sanggora yang majoritinya penduduk Melayu Muslim. Wilayah ini adalah sebahagian daripada kerajaan Kesultanan Pattani yang diserahkan kepada Thailand dalam Perjanjian Bangkok 1909 oleh British.

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam lawatannya ke Thailand baru-baru ini berjanji akan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan konflik di Selatan Thailand.

“Saya hadir ke sini dengan mesej yang amat jelas bahawa kerajaan Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan bagi menyelesaikan apa-apa jua konflik. Kami akan menggunakan hak kami sebagai rakan dan keluarga bagi kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Thailand, serta ASEAN, bagi meluahkan kebimbangan kami, dan pada masa yang sama kami sedar bahawa isu di Selatan Thailand merupakan isu dalam negara Thailand,” jelas beliau.

Tegas beliau, adalah menjadi kewajipan Malaysia sebagai jiran dan keluarga yang baik untuk melakukan apa-apa sahaja yang diperlukan untuk memudahkan proses perdamaian. Oleh sebab itulah Malaysia bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima, iaitu seorang pesara ketua angkatan tentera untuk membantu. Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-Ocha telah membincangkan isu tersebut dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan bagi kedua-dua negara.

Beliau berharap dengan pelantikan mantan Ketua Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator untuk proses tersebut dan menyatakan tugas Malaysia sebagai tetangga dan keluarga yang baik untuk melakukan apa-apa yang diperlukan untuk proses tersebut. Prayuth juga berikrar bahawa kerjasama ini akan membantu mengatasi masalah di daerah yang bergolak, khususnya pembangunan ekonomi yang lebih besar menerusi peningkatan jalinan hubungan antara kedua-dua negara.

Penganalisis hubungan antarabangsa juga berharap di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, situasi ini akan memberikan nafas baharu kepada usaha rundingan damai yang dijalankan antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemisah di Selatan Thai dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai perantara, terutamanya kerana minat mendalam beliau terhadap isu dan wilayah berkenaan yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.

“Sebab itulah kami telah bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima semua daripada mantan panglima angkatan tentera yang telah bersara, yang dikenali untuk melaksanakan tugas dan mencari jalan membantu usaha perdamaian,” tegas Perdana Menteri. Dato’ Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada satu daripada inisiatif dasar luar negara pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan menukar fasilitator Malaysia bagi rundingan damai yang disertai wakil kerajaan Thailand dan pihak pemberontak yang diketuai Barisan Revolusi Nasional (BRN). Beliau menggantikan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator rundingan damai itu dengan Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang merupakan mantan Panglima Tentera Darat Malaysia. BRN merupakan puak pemisah paling berpengaruh di wilayah tersebut yang berjuang untuk mewujudkan sebuah negara merdeka bagi orang Melayu-Islam yang membentuk majoriti di wilayah selatan itu.

Antara gerakan puak pemisah yang lain ialah Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP), Gerakan Islam Pattani (GIP) dan beberapa lagi pertubuhan kecil.

“Saya secara peribadi dikenali oleh banyak rakan-rakan di wilayah selatan, dan kita akan berusaha menangani defisit kepercayaan ini, serta kebimbangan mengenai isu agama dan budaya,” jelas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Prayuth yang menerajui sesi taklimat bersama-sama Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengesahkan mengenai kerjasama kedua-dua negara dalam isu Selatan Thailand menurut satu kenyataan bersama. Prayuth telah bersetuju untuk memperkukuh jalinan kerjasama dalam pengurusan keselamatan sempadan bagi memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram lain.

Kedua-dua pemimpin berkenaan turut mengulangi mengenai peri pentingnya mempromosikan keamanan dan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara dengan mempertingkatkan lagi pembangunan sosioekonomi yang mampan, seimbang dan inklusif di wilayah-wilayah sempadan. Dalam laporan Bernama, Profesor di National War College di Washington (AS) yang juga Profesor di Georgetown University, Dr. Zachary Abuza berkata, Perdana Menteri telah mengambil langkah bijak dengan melantik bekas panglima tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator baharu. Sebagai bekas ketua angkatan tentera, tentera Thailand akan lebih selesa berbincang dengan tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dr. Zachary Abuza menyifatkan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat tentang konflik di Selatan Thailand dan sentiasa mahu melakukan perkara yang betul untuk menyelesaikan konflik itu. Namun begitu, terpulanglah kepada kerajaan Thailand sama ada bersetuju memberikan autonomi atau pemerintahan sendiri di selatan negara itu, terutamanya selepas berlakunya rampasan kuasa oleh tentera pada tahun 2014, memandangkan kini pemusatan lebih kepada aspek politik negara itu.

Menurut media yang sama, Kerajaan Thailand dan BRN sedang merangka draf perjanjian termasuklah gencatan senjata agar rundingan damai dapat diteruskan dengan lebih lanjut. Dalam satu kenyataan, BRN berkata draf itu mengandungi syarat seperti gencatan senjata dan jaminan keselamatan dan kekebalan wakil BRN yang akan kembali ke tanah air untuk mengadakan konsultasi dengan penduduk tempatan.

Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan bahawa agama bukan punca kepada keganasan di Selatan Thailand.

“Keganasan yang berlaku di Selatan Thailand berlaku berikutan tindakan radikal segelintir individu yang mahu melakukan keganasan atas nama agama,” jelas beliau ketika perjumpaan dengan wakil-wakil penganut agama Buddha dari empat buah wilayah di Selatan Thailand di Wat Chang Hai di Khok Pho, Pattani. Beliau menyatakan bahawa Malaysia sentiasa komited dalam memudah cara kerajaan Thailand dan masyarakat Pattani di wilayah sempadan Selatan Thailand melalui meja rundingan.

Beliau dilaporkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeneral Wanlop Ruksanaoh yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP).

“Walaupun konflik di Selatan Thailand merupakan isu dalaman Thailand, namun Malaysia sebagai jiran yang mempunyai hubungan erat mahu memudah cara dan membantu menyelesaikan konflik itu,” jelas beliau. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin turut menyarankan bahawa semua pihak menyokong proses rundingan damai antara pihak kerajaan Thailand dengan BRN yang bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10. Proses itu bermula apabila bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Thailand. Berikutan itu, satu Konsensus Am (General Consensus) antara kerajaan Thailand dengan BRN termeterai pada 28 Februari 2013.

Menurut laporan media tempatan, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa Malaysia akan menyerahkan kebijaksanaan kedua-dua pemimpin tersebut dalam pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara yang akan menjadi kepentingan bersama dan strategik bagi kedua-dua pihak. Beliau berpandangan demikian sebagai mengulas harapan besar banyak pihak untuk melihat Malaysia yang berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai itu, terutamanya peranan Perdana Menteri sendiri untuk membantu dalam memangkinkan proses rundingan damai di Selatan Thailand itu.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.