Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangProses memahami dan menghayati merupakan sesuatu yang berbeza. Perbezaan itu pula bergantung pada tahap khalayak untuk menaakul mesej dan pemikiran yang ingin disampaikan oleh “penenun karya”. Pada pandangan penulis, memahami cerita boleh dicernakan oleh sesiapa sahaja, iaitu faham melalui fikiran, misalnya tahu tentang watak perwatakan, watak utama, watak antagonis, plot cerita, latar masa dan latar tempat, serta jalur ceritanya.
Namun begitu, hal ini berbeza daripada proses menghayati, kerana hal ini merupakan sesuatu yang lebih tinggi tahapnya berbanding dengan “faham”, yang bukan sahaja melalui fikiran, malah mendalaminya dengan jiwa dan perasaan yang benar-benar tulus dan jujur. Sebaik-baik karya yang diperakukan oleh ramai orang, tetap juga mempunyai kelompangan dan kelemahan dalam beberapa aspek. Misalnya, lebih baik ditiadakan dan digugurkan lakonan yang menggunakan perkataan kesat, sumpah seranah walaupun pada hakikatnya situasi tersebut merujuk pada hal benar-benar berlaku dalam masyarakat setempat.
Hal ini menjadi fokus peneliti, pemerhati dan penulis setelah menyaksikan hasil seni Sabri Yunus yang sinonimnya dengan panggilan Pok Ya, dikenali melalui telefilem Pok Ya Cong Codei dan drama bersiri Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti. Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam sesi tayangan khas filem Duan Nago Bogho baru-baru ini meminta “Jagalah seni budaya, kerana seni itu merupakan jiwa bangsa, dan identiti negara. Seni merupakan elemen penyatuan dalam membentuk komuniti yang harmoni. Tanpa seni, kita akan mundur, tandus dan hilanglah sesuatu yang paling berharga”.
Sebagai penonton yang meneliti filem ini, Sabri bukanlah sosok pengkarya yang mementingkan aksi pergelutan dan tumbuk menumbuk (watak baik-watak jahat), tetapi skrip dan isi keseluruhan cerita yang menjadi garapan utama. Asas penting melalui filem tersebut adalah berkaitan dengan tema keseluruhan, iaitu perjuangan seni, maruah seni, martabat seni yang perlu dipertahankan, dikekalkan, dan dihayati oleh bangsanya.
Makyung merupakan identiti seni persembahan di Kelantan menjadi teras utama dalam filem tersebut, selain memperlihatkan seni persembahan dikir barat oleh anak jati Kelantan. Begitulah dengan penerapan dalam Duan Nago Bogho yang mengangkat seni sebagai darah daging kehidupan, akal dan jiwanya. Perjuangan seni kekal diteruskan dan diperjuangkan walaupun seseorang itu merupakan seorang perantau, dan tidak lagi bermastautin di negerinya sendiri.
Duan, watak utama- bukan seorang gengster, samseng, namun merupakan seorang yang mempunyai prinsip dan ketebalan jati diri sebagai orang seni yang bermaruah. Wataknya juga menonjolkan hubungan kesetiaan dalam bersahabat dan gedebe, iaitu seorang yang pemarah, namun bertindak dengan kewarasan dan suka memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Terkesan juga apabila Duan memarahi seorang rakannya semasa melakonkan watak peran, iaitu watak humor dalam pementasan makyung, “Kita bawa watak lucu dan kelakar. Akan tetapi watak lucu bukan bermakna ‘tiket’ untuk main-main kerana ada serius dan disiplinnya.”
Apakah itu Nago Bogho dan mengapakah diberikan perlambangan sebegitu? Nago Bogho ialah nama yang menjadi sebutan di Kelantan, iaitu sejenis ular tedung. Menurut kepercayaan di sesetengah daerah di Kelantan, Nago Bogho merupakan ular tedung yang berwarna hitam, tidak terlalu panjang seperti ular tedung selar atau tidak pendek seperti ular tedung senduk, namun mempunyai kepanjangan yang sederhana. Apabila ular ini diancam wilayah atau sarangnya, haiwan berbisa ini akan mengejar mangsa dan berdiri tinggi sehingga ekornya sahaja yang kelihatan mencecah tanah.
Selain itu, di sesetengah tempat, Nago Bogho dikatakan sebagai ular yang besar, panjang, dan bukaan mulut yang luas serta bentuknya seperti ular tedung selar yang warna badannya kuning kemerah-merahan atau perang tua dan mampu menyembur bisanya dari jarak jauh. Haiwan ini juga dikatakan mempunyai sifat yang tidak menghiraukan kehadiran manusia, namun sekiranya diganggu, Nago Bogho akan menjadi sangat agresif, dan mencari peluang untuk mematuk dan menyerang mangsa. Sekalipun diancam dengan senjata, haiwan tersebut tidak akan berundur dan tetap melawan. Oleh hal yang demikian, sifat haiwan inilah yang digambarkan oleh watak Duan, iaitu seorang yang berani berhadapan dengan pelbagai situasi bahaya, bilangan musuh yang banyak dan bersenjata (pisau, parang, dan senjata api-pistol).
Barangkali, terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan mengapakah Sabri Yunus cenderung membawa cerita budaya dan seni Kelantan atau kearifan tempatan di negeri Pantai Timur? Secara asasnya, beliau merupakan anak jati Kelantan dan sering merantau ke negeri lain dengan membawa semangat sayangkan seni dan budaya negeri kelahirannya. Selain itu, setiap pengarah atau penenun karya mempunyai identiti yang tersendiri dan hal ini merupakan ciri keistimewaan yang perlu ada bagi setiap pengkarya.
Maka, cetusan karya daripada Sabri ini memberikan satu inspirasi dan semangat bahawa, negeri lain juga perlu mempertahankan seni warisan budaya agar tidak ditelan dek zaman. Pengekalan tradisi seni budaya diibaratkan seabgai usaha untuk mempertahankan sebuah sejarah negara kerana seni budaya dari setiap negeri wujud sejarah asal usulnya, tokoh dan pewarisnya, kisah perjuangan keaslian seninya, serta terkandung falsafah bagi setiap seni persembahan. Sarawak terkenal dengan permainan sape, bermukun dan bergendang; Kelantan selain daripada makyung terdapat juga dikir barat, kertuk, gendang ubi dan wayang kulit; persembahan belota dan dabus di Perak; Johor pula terkenal dengan persembahan kuda kepang; tarian labi-labi dan tarian piring di Pahang; Perlis pula terkenal dengan persembahan alu bunyi, tarian canggung dan, hadrah, berendoi, beduan, tarian cinta sayang, gendang Perlis, selampit dan awang batil. Manakala masyarakat orang asli pula terkenal dengan tarian sewang.
Melalui filem ini, digambarkan bahawa seni persembahan merupakan medium dan alat penyatuan semua bangsa, Melayu, Cina dan India. Hal ini dipaparkan melalui watak wanita India yang menjadi watak Pak Yung semasa pementasan persembahan makyung, manakala wanita Cina yang membuat kajian pasal seni persembahan makyung bagi kajian Doktor Falsafah.
Mesej yang tersirat di sebalik filem ini adalah berkaitan rapat dengan keluasan makna seni dan penerimaan seni secara terbuka. Satu daripadanya termasuklah seni persembahan dari pelbagai negeri boleh dihidupkan oleh sesiapa sahaja (merentas sempadan kenegerian), dan tidak perlu berasa rugi apabila wujudnya minat dalam masyarakat atau individu yang bukan berasal dari negeri yang sama. Malah, hal ini dikatakan mampu untuk menyuburkan perkembangan seni budaya agar dapat dihayati secara mendalam oleh generasi muda, selain mampu membentuk perpaduan yang erat dan akrab dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, budaya dan agama.