Oleh Abd. Razak Osman
2 April 2023, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Kelab Sukan Renang Rahmah yang pertama di Malaysia dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Akuatik Sungai Petani dilancarkan di Pekarangan Kolam Air, Kelab Sungai Petani, Kedah pada hari ini.

Kelab tersebut hanya mengenakan bayaran RM5 sebagai bayaran menggunakan kolam renang tersebut dan memberikan peluang kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas untuk mempelajari aktiviti sukan renang dengan lebih baik lagi.

Tiga kanak-kanak menunjukkan kad keahlian Kelab Akuatik Sungai Petani pada pelancaran Majlis Kelab Sukan Renang Rahmah di Pekarangan Kolam Air, Kelab Sungai Petani, Kedah pada hari ini.

Kelab tersebut turut mempunyai seorang jurulatih bertauliah, iaitu M. Karunamurthy yang memiliki Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) oleh Institut Sukan Negara (ISN) yang sedia mengajar latihan berenang kepada ahli kelab tersebut. Usaha tersebut sekali gus memberikan peluang kepada lebih banyak anak muda untuk menceburkan diri dalam sukan renang di negara ini. 

Pengarah Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kedah, Encik Affendi Rajini Khan ketika melancarkan kelab renang itu berkata, langkah yang diambil oleh pihak berkenaan untuk menjayakan konsep Rahmah dalam bidang sukan merupakan usaha yang amat baik sekali.
Tambah beliau,
“Saya kagum dengan usaha tersebut. Diharapkan agar insiatif tersebut  akan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, termasuklah untuk menaik taraf tempat tersebut.”
Pengerusi kelab itu, YBrs. Dr. Sritharan Rao berkata, usaha yang dilakukan dapat memberikan kebaikan kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, hal ini merupakan kelab sukan pertama di negara ini yang memperkenalkan konsep Rahmah dan selepas ini sudah tentu ada kelab lain yang akan berbuat demikian.
“Saya amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan dan hingga ke hari ini, kira-kira 100 orang kanak-kanak telah menjadi ahli kelab sukan renang itu,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda, Encik Kamarul Azlan Abd Hamid.
YBrs. Dr. Sritharan Rao (kiri) bersama-sama Encik Affendi Rajini Khan dan Encik Kamarul Azlan Abdul Hamid.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.