Oleh Aninah Janang
11 April 2023, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sentiasa percaya bahawa hubungan yang erat antara agensi itu dengan rakan media di negara ini akan mampu menyebarluaskan maklumat berkaitan HASiL yang seterusnya akan mempertingkat tahap kesedaran dan tanggungjawab  dalam kalangan pembayar cukai di negara ini.

“Peranan media amat diperlukan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada pembayar cukai” – YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi.

Perkara itu dinyatakan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, dalam ucapan alu-aluannya dalam Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media 2023, yang diadakan di Hotel Sunway Putra, pada petang tadi.

“Antara HASiL dengan media, hubungan kita sangat erat. Kami tidak pernah melupakan peranan media dalam usaha membantu HASiL untuk menyebarluaskan maklumat bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembayar cukai di negara ini, khususnya terhadap undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” ucap YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom.

Berlandaskan hubungan yang baik itu, HASiL berharap kerjasama tersebut akan terus diperkukuh dan media terus menjadi penghubung  dalam menyalurkan maklumat dan pengetahuan yang tepat kepada pembayar cukai. Pada masa yang sama juga, peranan HASiL sebagai agensi pemudah cara akan dapat terus diperluas kepada syarikat dan individu pembayar cukai.

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi meraikan rakan media dalam Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media 2023. Yang turut hadir ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan Editor Dewan Masyarakat, Abd. Kadir Mohd. Ayub.

“Kita sudah lama dikenali sebagai agensi yang menguatkuasakan undang-undang percukaian di negara ini, tetapi tidak banyak yang mengetahui bahawa HASiL merupakan agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat. HASiL sebenarnya menyediakan perkhidmatan untuk memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai. Dalam hal ini, jika pembayar cukai tidak faham, HASiL akan berusaha memberikan kefahaman kepada mereka. Apa-apa yang mereka tidak ketahui, HASiL akan membantu mereka,” ucap YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom.

Tambahnya lagi, usaha ini adalah untuk meningkatkan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan pembayar cukai.

Jika kepercayaan terhadap HASiL itu tinggi, kita percaya bahawa kadar pematuhan terhadap perundangan akan berada pada tahap yang terbaik

 

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom turut mengajak lebih banyak pembayar cukai di negara ini untuk menyertai Program Pengakuan secara Sukarela  yang akan diadakan bermula pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024. Ujarnya, “Program ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan mengambil peluang bagi melaporkan pendapatan mereka tanpa sebarang penalti.

Dalam majlis yang sama, HASiL turut menyerahkan cenderamata kepada lebih daripada 50 rakan media dari pelbagai agensi termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.