Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKewujudan aplikasi sosial secara dalam talian pada hakikatnya adalah untuk memudahkan komunikasi dan membentuk jaringan atau rangkaian dalam kalangan pengguna agar dapat berkongsi maklumat, menyebarkan pengetahuan atau membuat promosi atau hebahan tentang sesuatu barangan dan perkhidmatan. Dengan adanya kepelbagaian aplikasi ini, komunikasi bukan sahaja boleh dilakukan secara nyata, tetapi juga secara bersemuka tanpa mengira masa dan lokasi. Perkongsian ilmu di laman sosial misalnya tidak hanya terhad pada penulisan, sebaliknya melalui pendekatan video, agar sesi pembelajaran menjadi lebih segar, interaktif dan bermanfaat.
Berita atau isu terkini boleh disampaikan secara terus tanpa menunggu siaran berita di televisyen, manakala usahawan ataupun peniaga boleh memanfaatkan laman sosial dengan mengiklankan produk mereka. Di samping itu, mereka juga boleh berkongsi testimoni daripada pengguna atau pelanggan terdahulu tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk menampung kos pengiklanan yang tinggi menerusi media arus perdana seperti radio dan televisyen seperti kebiasaannya pada suatu masa dahulu.
Senario sebegini secara tidak langsung telah membuka dimensi baharu kepada pengguna agar berupaya memanfaatkan teknologi untuk mengatur langkah bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing yang tinggi dalam mengharungi era kemajuan globalisasi yang serba kompetitif ini. Dengan kata lain, pengguna bukan sahaja perlu celik teknologi, namun pada masa yang sama perlu celik ilmu agar bijak menggunakan saluran yang betul sehingga dapat memberikan faedah berganda dalam kehidupan.
Selain celik teknologi dan celik ilmu, pengguna juga perlulah celik etika, iaitu dengan mempunyai kesedaran terhadap etika penggunaan laman sosial khususnya berkaitan dengan hal ehwal komunikasi dan interaksi. Jujur, amanah, bersopan santun dan bercakap benar merupakan antara beberapa ciri asas yang seharusnya menjadi amalan ketika berkomunikasi dalam laman sosial. Realitinya, peningkatan aduan berkaitan dengan salah guna media sosial telah diterima sepanjang tahun 2022 sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 31 Januari 2023 yang lalu.
Berdasarkan statistik yang diterima dari Biro Aduan agensi tersebut, sebanyak 518 kes telah dilaporkan pada tahun 2022 berbanding dengan 412 kes pada tahun 2021. Aduan mengenai aplikasi WhatsApp mempunyai jumlah kes yang tertinggi, iaitu sebanyak 204 kes, diikuti oleh Facebook sebanyak 130 kes, Instagram sebanyak 68 kes, TikTok sebanyak 13 kes, dan Twitter hanya enam kes. Aduan tersebut meliputi jenayah buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi, kes penipuan cinta, hantaran yang menyinggung agama dan pelbagai isu yang ditularkan sehingga mengganggu ketenteraman dan menimbulkan kegusaran awam.
Jumlah kes yang meningkat ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap penyalahgunaan platform media sosial dan sebagai langkah membendungnya, pengguna digesa agar mengambil berat tentang penglibatan dan tingkah laku mereka dalam talian. Dengan kata lain, pengguna perlulah menjadi rakyat dan warganegara yang baik dengan melahirkan sifat yang terpuji ketika berkomunikasi atau ketika menggunakan aplikasi media sosial kerana sebarang perbuatan negatif akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan negara.
Oleh itu, konsep kawal selia kendiri amat penting kerana hal tersebut boleh membantu mengurangkan penciptaan dan peningkatan kandungan yang memudaratkan di laman media sosial. Walaupun pengguna media sosial diberi kuasa untuk memilih jenis kandungan yang ingin dipaparkan di media sosial, namun pada hakikatnya mereka perlu mengambil langkah kawal selia kendiri terhadap sebarang kandungan yang tidak sesuai dengan menggunakan fungsi sekat, redam, nyaikut dan membuat laporan sekiranya wujud elemen yang boleh mengancam privasi kehidupan dan keselamatan diri. Pengguna juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab agar tidak melibatkan diri dengan penyebaran bahan atau kandungan bersifat negatif yang mampu memberikan ancaman dan kegusaran kepada orang lain. Dengan cara itu, ekosistem yang selamat dapat diwujudkan di laman media sosial dan memudahkan pengguna untuk berkomunikasi dengan baik dan mengambil faedah daripada kandungan-kandungan yang dipaparkan.
Tokoh pemikir yang sangat terkenal di dunia Islam dan Barat, Abu Hamid Muḥammad bin Muḥammad Al-Ṭusi Al-Ghazali yang lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali (1058–1111) menggariskan 20 perkara yang perlu diberi perhatian dalam hal ehwal komunikasi sebagaimana yang dibahaskannya dalam karya yang paling berpengaruh, Ihya’ Ulumuddin. Komunikasi atau lisan di sisi Imam Al-Ghazali pada hakikatnya termasuk antara nikmat pemberian Allah SWT yang mempunyai medan yang luas, yang tidak mempunyai jalan yang berkesudahan dan terbatas. Namun begitu, perkara tersebut boleh menarik manusia sama ada ke lapangan kebajikan atau kejahatan bergantung kepada kecenderungan manusia dalam menggunakan dan memanfaatkannya.
Perkara pertama yang perlu dipelihara ketika berkomunikasi menurut Imam Al-Ghazali ialah tidak berkata-kata pada sesuatu yang tidak berfaedah atau dengan kata lain menjaga lisan dengan sebaik-baiknya. Beliau memetik kata-kata Imam Mujahid yang mendengar bahawa Saiyidina Ibnu Abbas R.A. pernah berkata tentang lima perkara yang lebih disukainya melebihi daripada kuda yang sudah disiapkan untuk ditunggangi. Perkara tersebut ialah pertama, tidak berkata-kata mengenai hal yang tidak penting kerana baginya, jika banyak berkata-kata walaupun terhadap sesuatu yang penting tetapi sekiranya tidak diletakkan pada tempat yang betul, pada akhirnya akan menimbulkan kesulitan.
Perkara kedua ialah tidak bertengkar dengan orang yang lemah lembut dan orang yang bodoh kerana orang yang lemah lembut akan membalas kemarahan dalam hatinya manakala orang yang bodoh akan menyakiti dengan lisannya, manakala ketiga, menyebut perihal teman, iaitu tentang sesuatu yang disukainya sebagaimana mereka suka menyebut tentang diri kita dan memaafkannya sebagaimana mereka suka memaafkan kita. Perkara keempat, bergaul dengan teman dengan cara yang disukai sebagaimana mereka suka bergaul dengan kita; dan kelima, tidak melakukan sesuatu perbuatan melainkan dengan menyedari bahawa perbuatan yang baik akan dibalas dengan pahala dan perbuatan yang jahat akan mendapat dosa dan akan menerima pembalasan kelak.
Perkara yang kedua ialah tidak berbicara secara berlebihan kerana perkara tersebut juga merupakan sesuatu perbuatan yang tercela. Menurut Imam Al-Ghazali, perkara ini turut termasuk dalam berbicara tentang sesuatu perkara yang tidak penting atau yang mendatangkan faedah kerana telah menambah perbicaraan melebihi keperluan. Orang yang mementingkan sesuatu pada mulanya mungkin akan menyebutkannya dengan perkataan atau ayat yang pendek, tetapi kemudian mula membesarkan, menetapkan dan kemudiannya melarat dengan mengulang-ulangnya. Sebagaimana yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali tentang ucapan Imam Hasan Al-Basri yang menyatakan bahawa manusia yang banyak perkataannya nescaya akan banyak pula bohongnya. Hal ini terkait dengan keadaan manusia yang banyak hartanya, maka banyak pula dosanya dan manusia yang buruk akhlaknya, maka banyak pula seksaan terhadap dirinya.
Perkara ketiga yang perlu diberi perhatian ialah tidak bercakap kosong tentang perkara yang batil. Imam Al-Ghazali mengklasifikasikan batil sebagai perbuatan maksiat yang merangkumi kisah tentang wanita, keadaan atau tempat meminum arak, tempat orang fasik, kesenangan orang-orang kaya, keperkasaan Raja-raja, tempat-tempat rasmi yang tercela dan hal ehwal mereka yang tidak disukai yang melibatkan percakapan tentangnya merupakan sesuatu yang terlarang. Oleh sebab itulah Imam Al-Ghazali menegaskan agar meninggalkan perbicaraan yang tidak penting kerana lambat laun seseorang itu akan bersenang-lenang untuk memperkatakan tentang kehormatan orang lain, menambah perisa pada cerita dan merosakkan jalan cerita yang sebenar kerana kesemuanya itu akan membawa kepada kebatilan dalam perbicaraan.
Perkara keempat dalam etika komunikasi ialah tidak berbantah-bantahan atau bertengkar. Imam Al-Ghazali mencela orang yang berbantah-bantahan kerana tiap-tiap penentangan terhadap perkataan orang lain, pada akhirnya akan melahirkan kekurangan padanya. Oleh itu, cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan membenarkan sahaja jika kata-kata itu memang benar atau jika kata-kata itu ternyata bohong dan tidak menyangkut tentang hal ehwal agama, maka lebih baik berdiam sahaja. Adapun penggerak kepada pertengkaran adalah dengan mempunyai keinginan yang tinggi dalam melahirkan kelebihan pengetahuan yang ada pada dirinya dan menyerang orang lain dengan tujuan menzahirkan kekurangannya. Keinginan yang tinggi untuk melebih-lebihkan pengetahuan yang ada dalam diri dan pada masa yang sama merendah-rendahkan pendapat orang lain menghimpunkan sifat sombong dan suka menyakiti merupakan sifat yang sangat tercela yang harus dijauhi kerana boleh membinasakan diri sendiri.
Perkara kelima adalah dengan tidak mendatangkan permusuhan dengan orang lain. Permusuhan merupakan sifat tercela kerana mampu menimbulkan gelombang untuk memperoleh kesempurnaan hak sesuatu yang dimaksudkan. Asalnya mungkin bermula daripada perbantahan atau pertengkaran maka atas sebab itulah kedua-dua sifat itu dilarang dan perlu dijauhi. Kesan buruk daripada permusuhan ialah perkara tersebut akan memenuhi dada dan mengobarkan kemarahan. Kemudian, timbullah hasad dengki dan pada akhirnya berasa gembira apabila maruah atau kehormatan lawan dapat dijatuhkan. Maka atas sebab itulah permusuhan dikatakan sebagai permulaan kepada kejahatan yang seterusnya.
Perkara keenam yang dilarang adalah dengan tidak berkata-kata tentang sesuatu yang bukan di bawah keahliannya atau perkara-perkara yang boleh membangkitkan nafsu. Hal ini demikian kerana kata-kata yang dipaksa-paksa atau dibuat-buat atau sengaja difasihkan untuk melahirkan rasa seronok tetapi tidak mempunyai tujuan atau pengetahuan di dalamnya akan menjauhkan diri daripada kecerdikan dan boleh memudaratkan orang lain.
Perkara ketujuh adalah berkaitan dengan kekotoran lisan, iaitu dengan mengeji dan memaki orang lain. Penggerak kepada kekejian adalah dengan maksud untuk menyakitkan orang lain dan lazimnya diperoleh hasil daripada pergaulan dengan orang-orang yang fasik dan orang-orang yang suka mencela orang lain apabila kebiasaan mereka adalah dengan memaki orang lain.
Perkara kelapan yang juga merupakan lanjutan daripada perkara ketujuh adalah dengan tidak mengutuk orang lain. Perkara ini selaras dengan kenyataan Saiyidina Ibn Umar r.a yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali yang menyatakan bahawa orang yang sangat dimarahi Allah SWT ialah orang yang mencela kemudiannya mengutuk orang lain. Menurut Imam Al-Ghazali, mendekati sifat mengutuk ini adalah dengan mendoakan sesuatu yang tidak baik kepada manusia lain.
Perkara kesembilan adalah dengan meninggalkan syair dan nyanyian yang tidak mempunyai hikmah atau mempunyai kandungan yang dibenci dalam agama. Perkara ini termasuklah perkataan yang sia-sia dan susunan ayat yang boleh membangkitkan hawa nafsu yang boleh memberikan kesan negatif kepada pemikiran.
Perkara kesepuluh ialah menjauhi senda gurau yang berlebihan kerana seseorang itu akan mewarisi sifat banyak tertawa sekiranya berlebih-lebihan dalam bergurau. Sifat banyak tertawa akan mematikan hati dan mewarisi kedengkian dalam sesetengah keadaan. Ketawa berlebihan juga akan melalaikan diri daripada akhirat. Selain itu, senda gurau yang berlebihan boleh menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan seseorang.
Perkara seterusnya ialah tidak mengejek atau memperolok-olokkan orang lain. Hal ini demikian kerana jika dilakukan, perkara tersebut boleh memalukan seseorang melalui kekurangannya dengan cara yang boleh menyebabkan seseorang itu ditertawakan, malah boleh menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Oleh itu, perbuatan tersebut dilarang kerana boleh menyakiti hati dan menyinggung perasaan orang lain.
Antara lain, perkara yang perlu diketahui dan dijauhi termasuklah dengan tidak membuka rahsia, iaitu dengan menjaga hak sebagaimana yang telah diamanahkan oleh orang lain. Membuka rahsia merupakan satu pengkhianatan kerana hal tersebut akan menjadi haram jika disebarkan dan merupakan perbuatan yang sangat dicela jika rahsia itu disampaikan kepada orang lain.
Perkara seterusnya adalah dengan tidak memungkiri janji. Perkara ini perlu diberi perhatian berat kerana memungkiri janji akan menyebabkan seseorang itu tergolong dalam kumpulan orang yang munafik. Terdapat empat tanda orang-orang yang munafik, iaitu pertama, apabila berbicara dia berdusta; kedua, apabila berjanji, dia menyalahi; ketiga, apabila diamanahkan, dia mengkhianati; dan keempat, apabila bermusuh-musuhan, dia menzalimi.
Tambahan pula, seseorang itu tidak seharusnya berdusta pada perkataan dan sumpah yang telah dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana berdusta merupakan tanda atau sifat orang munafik dan orang yang berdusta termasuk dalam kalangan orang yang zalim di mana tempatnya adalah dalam neraka. Orang yang berdusta juga dianggap sebagai orang yang zalim kerana wujud pengkhianatan dalam perbicaraannya.
Perkara seterusnya yang dianggap penting dalam penjagaan lisan ialah menjauhi diri daripada kejahatan mengumpat. Antara sebab yang boleh mendatangkan kejahatan tersebut ialah pertama, untuk melepaskan kemarahan; kedua, dorongan dari kawan-kawan agar melondehkan kehormatan orang lain; ketiga, bersengaja untuk memburukkan orang lain untuk mengalihkan kesaksian yang diketahui oleh orang tersebut; keempat, melepaskan diri daripada sesuatu kesalahan dengan meletakkan kesalahan tersebut pada orang lain; kelima, untuk membanggakan diri dengan cara merendahkan orang lain; keenam, dengki dan sakit hati kepada orang lain; ketujuh, menyatakan kekurangan yang ada pada orang lain dengan tujuan menarik perhatian ramai; dan kelapan, mempermainkan kehormatan orang lain dengan tujuan menghina dan mempersendakannya.
Seterusnya, antara perkara yang perlu dijauhi ialah menabur fitnah. Imam Al-Ghazali dalam menghuraikan maksud fitnah ini telah memetik pendapat ahli falsafah yang mengatakan bahawa bercakap tentang sesuatu yang tidak benar kepada orang yang tidak bersalah akan menjadikan timbangannya itu lebih berat daripada langit manakala pembuat fitnah itu lebih hina daripada anak yatim. Kesan fitnah sangat dahsyat kerana boleh membawa kepada kerosakan sesama teman, mencerai-beraikan ahli keluarga, memutuskan tali persaudaraan dan mengajak orang ramai untuk mengeji orang yang tidak bersalah.
Selain itu, sikap talam dua muka atau lidah bercabang juga perlu dijauhi kerana termasuk dalam kategori munafik yang memberikan mudarat yang besar di atas dunia dan balasan dosa yang berat di akhirat. Orang yang memiliki sifat ini mempunyai hati yang busuk walaupun luarannya kelihatan baik kerana tujuan utamanya adalah untuk mengambil untung daripada dua pihak yang sedang bertelagah. Dia memuji satu pihak dan mencela satu pihak lagi agar pihak yang dipujinya dapat memberikan imbuhan kepadanya dan begitulah sebaliknya kepada pihak yang satu lagi.
Dalam memelihara lisan, Imam Al-Ghazali juga mengingatkan supaya tidak memuji secara berlebihan yang tidak kena pada tempatnya kerana boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada yang dipuji tetapi juga yang memuji. Bahaya kepada pemuji adalah apabila dia sanggup berdusta semata-mata untuk mendapatkan habuan untuk dirinya, misalnya memuji pemerintah untuk mendapatkan habuan jawatan, pangkat, gelaran, dan harta; dan memuji seseorang untuk mendapatkan perhatian atau kecintaan seseorang tanpa menyelidik latar belakang orang itu sama ada zalim atau fasik. Manakala bahaya kepada orang yang dipuji ialah mereka akan menjadi megah atau sombong dengan pujian yang diterima dan tidak mahu meningkatkan prestasi diri kerana berasa diri telah hebat dan berada di kedudukan yang teratas.
Seterusnya, menurut Imam Al-Ghazali, perkara yang berkaitan dengan urusan agama perlu diteliti dan perlulah berhati-hati. Hal ini demikian kerana kesalahan dalam membicarakan sesuatu boleh menyebabkan seseorang itu tergelincir daripada agama seperti menyekutukan Tuhan tanpa sedar dan berbahas dalam bidang agama tanpa mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya, misalnya membicarakan sifat-sifat Tuhan sehingga akhirnya membawa kepada kekeliruan dan kebingungan dalam dirinya sendiri.
Walaupun perkara yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali ini telah pun melewati hampir 1000 tahun yang lalu, namun peringatan yang disampaikannya kekal relevan hingga ke hari ini, memandangkan perkara seperti inilah yang paling banyak berlaku dalam media sosial pada masa ini sehingga membawa kepada isu moral dalam kalangan masyarakat. Kesimpulannya, dalam konteks kawalan kendiri, maka wajarlah peringatan ini diberi perhatian dan diamalkan agar anasir negatif dapat dijauhi di samping mampu membentuk persekitaran komunikasi yang kondusif dan sejahtera.