Oleh Khader Ahmad
26 April 2023, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lirik lagu yang berbunyi “Berlalulah sudah Ramadan, sebulan berpuasa. Tiba Syawal kita rayakan dengan rasa gembira...’ sudah tidak asing lagi bagi kita. Mungkin ungkapan ini boleh menggambarkan kegembiraan yang dapat dirasai oleh ramai umat Islam setelah sebulan berpuasa. Ketibaan hari raya disambut dengan penuh riang dan gembira. Segala persediaan untuk menyambut perayaan tersebut telah disediakan dengan persediaan yang sebaik-baiknya mengikut kemampuan masing-masing. Masing-masing berusaha untuk memastikan agar dapat memakai pakaian baharu, menyediakan juadah hari raya, melakukan persiapan rumah, selain ada yang menyediakan kenderaan baharu dan sebagainya. Semua itu, tidak lain tidak bukan ialah sebagai satu gambaran kepada kegembiraan yang amat bermakna untuk disambut setiap tahun.

Imam al-Syafi’e dalam Kitab al-Umm ada menyebut bahawa beliau sangat menyukai seseorang yang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari raya, iaitu pada hari Jumaat (hari raya setiap minggu) dan dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta tempat yang diadakan suatu majlis (contohnya majlis perkahwinan). Dia digalakkan untuk memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.

Namun demikian, bagi segelintir umat Islam, kegembiraan yang dirasakan itu berbeza daripada maksud bahawa bukan semata-mata gembira untuk menyambut perayaan sahaja. Bukan pula kerana dengan hari raya, banyak juadah disediakan, anak dan cucu pulang ke kampung halaman dan berkumpul beramai-ramai, atau kerana rumah telah dicat semula dan mendapat kenderaan baharu. Akan tetapi, dengan melihat kepada sesuatu yang lebih jauh bermakna iaitu “kebebasan daripada segala dosa” atau dalam erti kata lain merayakan jiwa yang telah dibersihkan setelah menghadapi proses penyucian diri dan pengharapan kepada Allah SWT sepanjang bulan Ramadan. Sehingga ada yang menitiskan air mata kegembiraan apabila diberikan kesempatan sehingga penghujung bulan bagi mengharungi proses penyucian tersebut dengan baik. Tidak dinafikan ada yang menanggung rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan bulan tersebut dan tidak lagi dapat menikmati keberkatan bulan tersebut.

Melihat pada situasi yang dijelaskan itu, ada dua keadaan manusia ketika menyambut hari raya. Ada yang melihatnya sebagai satu “kebebasan” yang tidak lagi terikat dengan pantang larang, tiada lagi halangan untuk makan dan minum, atau melakukan apa-apa sahaja kerana tidak ada lagi perkara yang membatasinya. Jadi, hari raya adalah satu “kegembiraan” kepadanya kerana telah melepasi fasa tersebut. Seolah-olah sebulan berada dalam bulan Ramadan disifatkan sebagai satu situasi yang menghalang dan mengikat diri daripada banyak perkara walaupun pada hakikatnya, banyak perkara yang boleh dilakukan. Bahkan, saranan untuk menghidupkan bulan puasa dengan pelbagai ibadah tidak membekas kepada diri. Pada pandangannya, Ramadan dianggap sebagai suatu kesukaran, sekalipun nikmat makan dan minum semasa berbuka dan bersahur melimpah ruah. Situasi golongan ini ada kaitan dengan perkara yang difahami dalam hadis Nabi SAW.

Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak tiga kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata, amin, amin, amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibrail AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibrail) berkata: Sesiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa bagi dirinya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Amin’. Maka aku katakan: Amin”.  [Ibn Hibban, no.hadith 907 dan al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, no. hadis 644]

Golongan ini tidak mendapat sebarang faedah daripada tarbiah Ramadan yang diharunginya itu melainkan sama ada hanya melihat Ramadhan sebagai adat dan budaya dalam agama atau hanya sebagai amalan biasa sahaja. Sedangkan jika kita perhatian dalam hadis yang lain, Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (al-Bukhari, no.hadith 37).  Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sepatutnya seseorang yang diberikan kesempatan untuk berada dalam bulan Ramadan, telah dibuka peluang seluas-luasnya untuk dia mendapatkan keampunan Allah SWT dan menyucikan dirinya daripada segala dosa. Bahkan turut diangkat kepada darjat orang yang bertakwa seperti dijelaskan dalam ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Golongan yang sebegini, sekalipun mereka gembira pada hari raya, kegembiraan tersebut bukan merupakan satu kebebasan sebenar diri mereka. Namun begitu, hanya kebebasan untuk meraikan kembalinya kepada keadaan biasa yang membolehkan mereka makan dan minum, boleh melakukan apa-apa sahaja yang disukai tanpa halangan, atau melakukan sesuatu yang sebelum ini terhalang dek bulan puasa. Kita memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada digolongkan sebagai golongan yang sebegini kerana termasuk dalam kalangan golongan yang sangat rugi kerana amat rugi di dunia dan juga di akhirat kelak.

Justeru, golongan yang kedua pula melihat ketibaan hari raya juga sebagai satu kegembiraan. Namun demikian, yang membezakannya ialah mereka menikmati kegembiraan tersebut kerana telah berjaya mengharungi Ramadan, melaksanakan perkara yang dituntut semasa bulan Ramadan, telah dapat melipat gandakan ibadah pada bulan Ramadan, dan memanfaatkan peluang bulan Ramadhan tersebun dengan sepenuhnya. Oleh itu, golongan ini secara tidak langsung telah berusaha untuk merealisasikan matlamat ibadah berpuasa pada bulan Ramadan itu sendiri, iaitu mencapai nilai ketakwaan di sisi Allah SWT. Pada masa yang sama, mereka turut diberikan keampunan dari segala dosa seperti yang dijanjikan oleh Nabi SAW dan turut meraih keberkatan dan rahmat oleh Allah SWT. Kita memohon doa kepada Allah SWT agar tergolong dalam golongan yang kedua ini. Oleh itu, apabila datangnya hari raya, kegembiraan itu betul-betul dijiwai secara mendalam, di samping turut menitiskan air mata kerana tibanya hari raya bermakna berakhirnya peluang berada dalam bulan Ramadan itu. Tiada lagi “pesta ibadah”, tiada lagi peluang untuk melipat gandakan pahala sebanyak mungkin, tiada lagi ruang untuk berselawat dan bersolat terawih serta tiada lagi pelbagai amalan yang dikhususkan untuk Ramadan. Golongan ini merasai kehilangan Ramadan sehingga senantiasa meminta agar diberikan lagi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan tahun hadapan.

Dalam hadis Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: “Solat lima waktu, dari hari Jumaat ke Jumaat (berikutnya) dan Ramadan ke Ramadan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut apabila menjauhi dosa-dosa besar.” (Muslim, no. hadis 233 dan al-Tirmidhi, no. hadis 214). Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa jika seseorang itu mempunyai dosa-dosa kecil, maka puasa (atau amalan soleh yang disebutkan itu) akan menghapuskannya. Sekiranya dia tidak mempunyai dosa kecil mahupun dosa besar, maka akan ditulis baginya kebaikan dan diangkat kedudukannya (darjatnya). Oleh itu, kedatangan dan keberadaan dalam bulan Ramadan merupakan suatu tempoh yang sangat penting bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya.

Oleh hal yang demikian, “kebebasan” bagi golongan kedua ini lebih kepada satu kebebasan yang hakiki kerana lebih mengutamakan akhirat berbanding dengan apa yang sedang dinikmati di dunia. Golongan ini menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang tersebut agar tercapai matlamat direzekikan berada dalam bulan Ramadan tersebut. perkara yang disebutkan ini adalah seperti apa-apa yang kita fahami daripada amalan golongan terawal daripada kalangan para Sahabat Nabi SAW dan ulama salaf terdahulu. Kedatangan bulan Ramadhan adalah sesuatu masa yang sangat ditunggu-tunggu. Berlalunya Ramadan pula bererti satu kesedihan dan mereka sangat mengharapkan agar diberikan lagi peluang pada tahun berikutnya.

Marilah kita merenung diri masing-masing. Adakah kita telah berjaya membebaskan diri dari belenggu dosa sebelum Ramadhan? Adakah penghujung Ramadhan, diri kita telah berjaya ditarbiahkan sepenuhnya dan berjayakah kita menempatkan diri kita dalam kalangan orang yang bertakwa di sisi Allah SWT? Itulah matlamat yang sewajarnya kita capai apabila berakhirnya Ramadan.

Dengan kedatangan Syawal ini, semoga hari raya ini dapat menjadi kemuncak kepada kejayaan kita mengharungi pentarbiahan Ramadan tersebut. Tidak salah untuk meraikan kegembiraan kerana kejayaan pada hari raya. Namun begitu, ingatlah bahawa kegembiraan dan kebebasan yang dikecapkan semasa hari raya bukan semata-mata kegembiraan dan kebebasan fizikal sahaja. Hal ini demikian kerana terdapat hubung kait dengan kejayaan yang diraih semasa Ramadan dan kejayaan dalam menempatkan diri dalam kalangan orang yang bertakwa di sisi Allah SWT. Sambutlah hari raya dengan penuhi rasa syukur dengan nikmat terbesar tersebut. Penuhilah juga dengan amalan lain yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW sekalipun telah berlalu Ramadan sebagai salah satu manifestasi syukur tersebut. Antaranya, termasuklah dengan menghidupkan malam hari raya dengan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT, memberi makanan dan minum kepada anak-anak yatim, ziarah menziarahi antara jiran tetangga, menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan sebagainya. Realisasikan hari raya tersebut sebagai satu daripada tanda kemenangan kita. Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad, Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.