Oleh Firdaus Mul
27 April 2023, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buat julung-julung kalinya penganjuran sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Hari Raya Aidilfitri bakal diadakan di enam buah negeri yang telah ditetapkan, yakni melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh W. Husbi W. Mohd yang juga merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri menerusi temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM, pagi ini.

Poster rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM berkenaan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani 2023.

Beliau membuka lembaran bicaranya dengan menyatakan bahawa penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani, bersama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan penganjuran yang julung-julung kalinya diadakan, yakni bakal diadakan di luar Putrajaya melibatkan enam buah lokasi utama yang telah dikenal pasti. Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani akan membuka tirainya pada 29 April 2023, dan akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Program berkenaan juga dikatakan telah diangkat menjadi program nasional dengan harapan penganjuran di luar Putrajaya kali ini dapat memberikan peluang kepada rakyat Malaysia, khususnya di negeri Kedah, untuk bersama-sama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung dalam meraikan sambutan Aidilfitri. Dalam masa yang sama, YAB Perdana Menteri juga dapat menyantuni rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Sementara itu, beliau juga turut menyatakan bahawa sasaran pengunjung yang dijangkakan hadir ke lokasi pertama sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri Kedah ialah seramai 25,000 orang pengunjung. Ujar beliau lagi:

YAB Perdana Menteri akan menyantuni rakyat jelata yang hadir ke program ini. Dalam majlis ini juga kita mengharapkan supaya rakyat dapat memahami sepenuhnya konsep Malaysia Madani yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini.

W. Husbi dalam sesi temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa pihak penganjur juga telah menyediakan pengangkutan bagi memudahkan orang ramai untuk hadir ke lokasi yang ditetapkan. Bas perantara akan disediakan di empat buah lokasi yang telah dikenal pasti, iaitu di Stadium Sultan Abdul Halim, Stadium Darul Aman, tapak pasar malam Taman Mahsuri Alor Setar, dan di tapak parkir Kolej Tentera Udara Kepala Batas. Tambah beliau lagi:

Bas-bas ini akan disediakan untuk membawa pengunjung-pengunjung yang akan hadir ke Hotel Raia. Begitulah juga sewaktu hendak pulang semula ke lokasi di mana kenderaan mereka diletakkan.

“Kita mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk agensi dan jabatan di bawahnya. Kita telah pun menyelaraskan perkara-perkara yang sepatutnya dalam memastikan persiapan untuk program ini berjalan dengan lancar.

Pada akhir temu bual, beliau mewakili pihak kementerian (Kementerian Dalam Negeri) yang menjadi peneraju bagi program ini sempat menyatakan harapan agar seluruh rakyat Malaysia dapat hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini tanpa mengira kaum, agama, atau bangsa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.