28 April 2023, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mutakhir ini, dunia penulisan mengalami ledakan novel Melayu pelbagai genre dan tema yang diterbitkan oleh penerbit tradisional dan penerbit bebas (indie). Malah, kemunculan penerbit swaterbit juga semakin rancak ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Yang menariknya, karya-karya cinta kembali mendapat perhatian dalam kalangan pembaca novel, setelah novel seram dan suspens mendominasi carta buat suatu ketika. Karya-karya tersebut diterbitkan satu demi satu, bukan sahaja dalam versi cetak, tetapi juga dalam versi e-buku. Selain itu, terdapat segelintir penulis yang memilih untuk menyiarkan karya mereka menerusi platform seperti Facebook dan Wattpad.

Karya yang mendapat tempat di hati pembaca diangkat martabatnya dan dipromosikan secara besar-besaran oleh rumah penerbitan, dan mungkin memperoleh peluang untuk diadaptasi dalam bentuk telefilem dan drama televisyen, seterusnya terpilih untuk memenangi anugerah penulisan.

Malangnya, dalam penghasilan karya, segelintir penulis tegar memasukkan unsur-unsur yang tidak patut wujud dalam novel Melayu, iaitu dianggap sebagai melampaui batas dan kurang sesuai dibaca oleh masyarakat umum, khususnya para remaja yang suka membaca novel berunsurkan cinta. Persoalannya , apakah perlu unsur-unsur sedemikian sebagai “pelaris” karya?

Jawapannya ialah tidak. Harus diingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa, agama dan agama rasmi Malaysia ialah agama Islam. Oleh sebab Malaysia mengamalkan budaya ketimuran, maka tidak manis jika karya-karya terbitan Malaysia dipenuhi dengan unsur yang tidak sesuai seperti unsur seksual. Harus diingatkan juga bahawa Malaysia tidak menggalakkan budaya pergaulan bebas, berbanding dengan masyarakat di negara Barat yang lebih bersikap terbuka.

Menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, sebarang bahan bercetak tidak boleh mengandungi sebarang unsur yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, mengancam keselamatan negara dan menggugat kesejahteraan rakyat. Merujuk pada akta tersebut, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Kawalan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zaitun Abdul Samad pernah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah dialog pada tahun 2010:

Secara umumnya, kebanyakan penerbit cuba sedaya upaya untuk mematuhi garis panduan KDN. Tidak dinafikan bahawa penerbitan dilihat begitu kerap melanggar garis panduan, tetapi tidak baik jika saya mendedahkan nama penerbitan yang dimaksudkan.  Tindakan yang dilakukan adalah berurutan, iaitu membuat panggilan kepada syarikat penerbitan berkenaan, menegur, memberi amaran, amaran dan akhirnya surat tunjuk punca.

Walaupun terdapat akta yang membataskan pengkaryaan yang menyentuh sensitiviti masyarakat, karya-karya tersebut masih berjaya membolosi pasaran. Siapakah yang sebenarnya bersalah dalam hal ini? Adakah pengarang, penerbit atau pembaca? Natijahnya, semua pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab atas penerbitan karya tersebut. Jika tidak ada permintaan, maka penulis dan penerbit tidak akan menghasilkan karya sedemikian. Maka, untuk siapakah karya-karya itu ditulis?

Kembali pada persoalan tadi, adakah perlu kewujudan unsur seksual dalam novel Melayu? Perlukah penulis menceritakan dengan begitu terperinci mengenai perbuatan seks oleh watak-watak dalam karyanya bagi menggerakkan plot? Jawapannya terletak pada penggunaan teknik penulisan yang betul. Dalam soal unsur seksual, penulis boleh menggunakan teknik “Tell, Don’t Show”, iaitu teknik penceritaan yang memberikan gambaran kasar mengenai aksi yang ingin ditonjolkan dalam karya, yakni tidak memberi deskripsi yang terperinci. Sebaliknya, segelintir penulis lebih gemar menggunakan teknik “Show, Don’t Tell” iaitu teknik yang menceritakan suatu situasi secara terperinci.

Alasan yang diberikan oleh mereka ialah adegan sebegitu lebih elok diceritakan secara terperinci. Pernyataan tersebut merupakan jawapan yang diberikan oleh seorang penulis yang mempertahankan novelnya ketika ada pihak yang membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan karyanya kerana mengandungi unsur seks yang melampaui batas.

Adakah masyarakat terlupa tentang novel trilogi Fifty Shades of Grey nukilan E. L. James, yang telah diharamkan daripada dijual di kedai buku di Malaysia pada sekitar tahun 2015 dahulu kerana mengandungi adegan seks yang tidak wajar dan “sadis”, seperti adegan seorang wanita yang terikat dan disebat (melibatkan amalan perhambaan dan tatatertib, dominasi dan penyerahan, serta sadisme dan masokisme) (BDSM)?  Jika karya terbitan Barat berjaya diharamkan, mengapakah pula karya terbitan tempatan yang mengandungi unsur seksual dibenarkan penerbitannya? Mengapakah para penerbit dan penulis yang terbabit tidak diberi amaran keras?

Tanpa tindakan daripada pihak berkuasa dalam soal menguatkuasakan undang-undang, maka tidak hairanlah wujudnya penulis yang kian berani menghasilkan karya yang mengandungi unsur seks secara bebas tanpa sekatan.

Dalam hal ini, bukan sahaja penulis dan pihak penguat kuasa semata-mata yang patut dipersalahkan dalam soal ini, malah para penerbit dan pembaca juga seharusnya bertanggungjawab. Penerbit juga patut berasa bersalah kerana culas dalam kerja mereka. Tidak ada istilah terlepas pandang dalam penerbitan novel. Sebelum sebuah novel diterbitkan, manuskrip daripada penulis perlu disemak oleh editor bagi memastikan sama ada karya tersebut sesuai untuk diterbitkan atau tidak. Sekiranya editor terlepas pandang, karya tersebut turut disemak oleh pembaca pruf. Mustahil jika tiada seorang pun yang menyedari terdapat unsur seks dalam karya tersebut, atau mereka sedar, tetapi bagi mereka karya tersebut adalah “normal”. Maka penerbitan tersebut diluluskan? Tepuk dada, tanya selera.

Bagi pembaca pula, mereka bersalah kerana memberikan sokongan kepada karya-karya sebegini. Ya, membeli dan membaca novel ialah amalan mulia. Namun begitu, para pembaca harus menyokong karya-karya yang berkualiti dan bebas daripada unsur yang mampu merosakkan akidah masyarakat. Sokongan pembaca bukan sahaja akan memberikan semangat kepada para penulis untuk terus menghasilkan karya yang mengandungi unsur yang sebenarnya tidak perlu, serta menjadi sumber kekuatan kepada penerbit. Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat segelintir penerbit yang menggunakan istilah “Untuk Pembaca Matang” bagi memasarkan karya mereka.

Sejujurnya, para penulis dan penerbit harus sedar akan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Mereka juga harus mengetahui bahawa karya-karya yang dihasilkan berfungsi sebagai alat bagi mendidik masyarakat untuk berfikir. Sesebuah karya tidak seharusnya mempengaruhi masyarakat untuk melakukan sesuatu yang melampaui batasan norma kehidupan.

Kesimpulannya, artikel ini diharapkan dapat memberikan sedikit pencerahan mengenai situasi yang sedang menular dalam dunia penerbitan, tanpa berniat untuk menghina atau menyakiti hati mana-mana pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.