8 Mei 2023, 13:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Mat, pinjam RM500. Dapat gaji, aku bayar.” Pernahkah anda terdengar dialog tersebut meniti di bibir insan yang rapat dengan anda? Atau adakah anda pelakunya? Saban hari isu berkaitan dengan hutang atau memberi hutang (pemiutang) menjadi perhatian dan tidak pernah jemu diluahkan oleh kebanyakan masyarakat di laman media sosial. Hal ini demikian kerana sikap tidak amanah individu yang berhutang untuk membayar balik hutang tersebut. Sejak kebelakangan ini masyarakat memilih media sosial untuk meluahkan perasaan dan menyebarkan maklumat untuk menjadi masyhur dengan perkongsian tersebut.

Dalam hal berhutang, sikap amanah saling berkait rapat dengan sikap bertanggungjawab dan perlu disemat dalam diri setiap individu. Konstruk amanah merupakan satu daripada sifat mahmudah yang dapat menonjolkan amalan bantu-membantu dan belas kasihan seseorang untuk menghulurkan bantuan kepada individu yang memerlukan. Perkara yang dikhuatiri berlaku adalah sebaliknya, iaitu apabila seseorang penghutang bertindak memecahkan amanah yang dipikul dengan lewat atau gagal membayar hutang mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

Berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya …” (Surah al-Baqarah, ayat 282). Firman Allah SWT ini jelas menyatakan bahawa apabila seseorang itu berhutang, hendaklah kedua-dua belah pihak merekodkan perjanjian tersebut secara bertulis agar jelas menyatakan tempoh menyelesaikan hutang tersebut mengikut waktu yang ditetapkan.

Perjanjian bertulis tersebut akan memudahkan pemiutang untuk mendapatkan kembali haknya sekiranya penghutang bersikap berdolak-dalik untuk membayar hutang tersebut. Berkemungkinan besar, dengan mulut manisnya juga akan meminta penghutang untuk mengurangkan jumlah pinjaman kerana isu tersebut telah lama berpanjangan. Namun begitu, sekiranya pemiutang tidak reda dengan tindakan tersebut, penghutang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Kita perlu berasa syukur kerana negara kita mempunyai undang-undang yang boleh disabitkan dengan hal berkaitan dengan hutang ini. Menurut Mohamad Zufarsyah dari firma guaman Abdul, Low & Partners, untuk mendapatkan kembali hutang tersebut, pemiutang boleh mengeluarkan surat tuntutan dan/atau menuntut hak terhadap penghutang. Penghutang perlu memastikan semua dokumen dan rekod lengkap untuk membuktikan kewujudan transaksi antara pemiutang dan penghutang.

Mutakhir ini, masyarakat lebih gemar berhutang dengan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka, contohnya dengan kawan atau ahli keluarga kerana mereka berpendapat bahawa urusan tersebut tidak memerlukan catatan khusus atau melibatkan saksi. Pujuk rayu dan mulut manis merupakan satu daripada langkah awal untuk berhutang. Disebabkan terselitnya rasa ihsan, mereka memberikan hutang tersebut atas dasar ukhwah persahabatan dan kekeluargaan yang tinggi kepada individu penghutang.

Hal ini berbeza sekiranya penghutang meminjam wang dengan Along (ceti haram). Prosedur awal untuk meminjam dengan Along sangat mudah. Hanya perlu menyatakan nilai yang hendak dipinjam, mengetahui syarat yang dikenakan dan tempoh masa yang perlu dikembalikan wang tersebut termasuk dengan bunganya. Along tidak menetapkan had pinjaman kepada penghutang asalkan pada suatu tempoh masa yang ditetapkan, hutang tersebut dapat dilunaskan.

Walaupun hampir kebanyakan masyarakat mengetahui akan natijahnya, iaitu tindakan mereka yang lebih dahsyat untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjamkan, namun masih ada individu yang meminjam wang dengan Along. Jarang sekali nyawa seseorang itu tidak terancam dan menyebabkan tekanan dan mengganggu gugat ketenteraman hidup penghutang, termasuklah ahli keluarganya. Akan tetapi, sikap tidak bertamadun lintah darat ini tidak akan berterusan sekiranya penghutang tidak bermulut manis membuat pinjaman wang melebihi kemampuan untuk membayar balik.

Sikap culas membayar hutang ini turut disebut di dalam hadis melalui sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa menghilangkan suatu kesusahan Muslim daripada kesusahan dunia, nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan akhirat. Dan sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang mu’sir (kesulitan membayar hutang), nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba berkenaan menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Benarlah kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Pepatah ini merupakan kayu ukur seseorang agar cakna dengan tahap kemampuan dalam berbelanja. Perbelanjaan yang besar tanpa memikirkan tentang keperluan atau kehendak boleh membawa seseorang menempuh dugaan untuk berhutang. Maka itu, kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan, bukanlah mengikut keinginan.

Amalan gaya hidup yang ingin menunjukkan kemewahan dan kemegahan mempunyai barangan seperti kebanyakan orang lain merupakan punca seseorang itu berhutang. Kehidupan penghutang yang sentiasa berseronok dan menunjukkan kemewahan di media sosial dengan berbelanja pada perkara yang mahal, secara tidak langsung akan meningkatkan ketidakpuasan hati pemiutang. Namun begitu, apabila mengenangkan kembali hubungan baik yang terjalin, pemiutang memilih untuk terus bersabar dan kekal berharap agar hutang tersebut berjaya dilunaskan dengan segera.

Menerusi akhbar Mstar, pada tahun 2019 tular sebuah cerita melibatkan seorang gadis terperangkap dalam jerat pemuda bermulut manis sehingga meminjamkan wang sebanyak RM500. Bertambah malang nasib gadis tersebut apabila pemuda itu tidak mengaku bahawa dia memimjam wang daripada gadis tersebut. Menurut pemuda itu, tiada hitam putih yang menyatakan dia meminjam wang tersebut, sebaliknya hanya meminjam wang sebanyak RM100 sahaja. Dapat dilihat bahawa pentingnya perjanjian secara bertulis berkaitan dengan hutang meskipun bukti tersebut disimpan di dalam ruang sembang aplikasi WhatsApp.

Pemuda itu mengugut untuk merogol gadis tersebut kerana kerap mengingatkannya untuk membayar hutang. Situasi mengemis wang sendiri daripada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pemiutang bertindak membuat laporan polis atas tindakan mengugut penghutang. Kebiasaannya, laporan yang dibuat oleh mangsa adalah untuk melindungi keselamatan dirinya supaya ancaman tersebut tidak berubah menjadi realiti dan situasi tersebut amat menggerunkan.

Gadis tersebut turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan janji manis yang diluahkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti pemuda tersebut. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, habis madu sepah dibuang, iaitu sebelum mendapatkan wang tersebut, segala janji ditaburi, tetapi apabila tiba masa untuk membuat pembayaran, perangai yang tidak bertamadun ditunjukkannya.

Pada zaman yang serba canggih ini, sebarang perbualan sama ada secara bertulis atau lisan boleh direkodkan dan disimpan dengan mudah. Dalam hal berhutang, bukti tersebut perlu disimpan dengan rapi supaya mudah untuk bertindak sekiranya penghutang culas untuk membayar hutang. Walau bagaimanapun, pemiutang perlu melalui medium yang betul untuk menuntut haknya supaya tidak menggunakan cara yang salah dan keji.

Isu yang sama berulang lagi pada tahun 2022 melalui akhbar  yang sama, iaitu Mstar apabila seorang wanita meminjamkan wang sebanyak RM350 kepada sahabat karibnya, namun hubungan mereka terputus di tengah jalan, kerana isu hutang tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, hampir kebanyakan situasi berkaitan dengan hutang ini berlaku kepada individu yang mereka percaya dan akrab kerana menganggap bahawa mudah bagi mereka mendapatkan kembali wang tersebut.

Menurut Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Tabarani, terdapat suatu doa yang telah diajar oleh Rasullullah berkaitan dengan hutang, iaitu “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada keluh kesah dan dukacita. Aku berlindung dengan-Mu daripada lemah dan malas. Aku berlindung dengan-Mu daripada penakut dan kebakhilan. Aku berlindung dengan-Mu daripada dikalahkan hutang dan dikuasai oleh lelaki.”

Dalam Islam, hukum memberi hutang adalah harus bagi menunjukkan sikap tolong-menolong sebagai satu budaya yang baik dan perlu tumbuh dalam diri setiap individu yang bergelar mukmin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya atau membiarkan (Muslim itu) dianiaya. Dan sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang membebaskan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari Kiamat.”.

Al-Quran dan hadis telah memberikan gambaran yang amat dahsyat kepada penghutang yang tidak berusaha, sengaja berdalih dan lewat untuk membayar hutang mereka. Pada awalnya, pemiutang percaya bahawa penghutang akan memenuhi kewajipannya untuk menyelesaikan hutang terlebih dahulu apabila mereka mempunyai wang yang cukup. Kerana kepercayaan yang tinggi, segala janji manis yang dilontarkan untuk membayar semula wang yang dipinjamkan diterima begitu sahaja.

Seperti mana sikap kita bersungguh-sungguh sewaktu meminjam wang, seperti itu jugalah kita perlu bersungguh-sungguh sewaktu membayarnya kembali, walaupun dengan membayarnya sedikit demi sedikit pada setiap bulan, pemiutang akan berasa lega dan menyedari kesungguhan penghutang dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.