Oleh Makmor Tumin
12 Mei 2023, 19:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mengapakah manusia masih enggan menerima kenyataan di hadapan mata tetapi terus  berpegang pada keyakinan yang sedia ada? Perhatikan dua contoh yang berikut:

  1. Saintis membuktikan bahawa berlakunya pemanasan global yang disebabkan tangan manusia, tetapi ramai yang tidak percaya pemanasan global benar-benar berlaku.
  2. Pakar ekonomi meramalkan bahawa masalah pengangguran besar-besaran akan berlaku melalui kecekapan ekonomi teknologi Artificial Intelligence (AI), namun masyarakat masih tetap mahu kecekapan ekonomi dioptimumkan.

Dua contoh di atas menerangkan bahawa kepercayaan manusia tidak semestinya ditentukan oleh fakta dan data yang ada tetapi lebih disandarkan kepada norma yang telah ditanamkan ke dalam diri mereka. Perkara ini terjadi disebabkan adanya kesan aktiviti yang disebut keusahawanan norma (norm entrepreneurship). Individu atau institusi menggunakan sentimen untuk berhujah bagi meyakinkan kumpulan tertentu tidak menggunakan fakta secara rasional tetapi dipengaruhi oleh sentimen emosi bagi mewujudkan fakta sosial.

Istilah usahawan norma diperkenalkan oleh Cass Sunstein dalam rencananya bertajuk, “Social Norms and Social Roles” (1996). Walaupun istilah ini memiliki makna yang neutral, istilah Keusahawanan norma ini lebih banyak digunakan untuk melemahkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai contoh, istilah PIIG (khinzir) digunakan bagi merujuk kepada gabungan negara bermasalah iaitu Portugal, Itali, Greece dan Sepanyol. Ireland juga kemudiannya dimasukkan ke dalam gabungan ini,yang dikenali sebagai PIIGS.

PIIGS merupakan gabungan negara Eropah yang mengalami krisis hutang paling teruk lanjutan  daripada krisis kewangan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2007/2008. Pada tahun 2010, negara berkenaan disatukan di bawah gabungan singkatan PIIGS itu untuk membayangkan bahawa gabungan itu mempunyai dasar ekonomi yang sangat lemah dan bermasalah buruk. Istilah “PIIGS” bertalu-talu diulang oleh media. Maka, kesannya kelima-lima negara berkenaan menerima impak persepsi yang sama oleh negara luar, sedangkan tahap ekonomi setiap negara berkenan berbeza. Persepsi seragam negara luar tentang PIIGS tidak berasaskan analisis ekonomi dan kewangan secara rasional dengan menggunakan data-data rasmi, tetapi lebih dipengaruhi oleh norma yang dibangunkan daripada singkatan PIIGS berkenaan. Keadaan ini menggambarkan bahawa seolah-olah kesemuanya mempunyai risiko yang sama dan akhirnya telah memburukkan lagi krisis ekonomi negara gabungan berkenan dan akhirnya menjejaskan kewangan zon Euro pada ketika itu.

Sebenarnya, banyak lagi istilah yang telah dibuat oleh para pembuat norma ini. Istilah lain juga pernah digunakan sebagaimana dicatat David Balaam dan Bradford Dillman (2018) seperti CIVETS (musang) dan BRICKS (bata) bagi merujuk gabungan ekonomi negara tertentu yang menunjukkan adanya kumpulan lain yang boleh menjejaskan ekonomi dan kewangan Blok pesaing Kapitalis. Apabila metafora tertentu digunakan secara meluas seperti Negara Paksi Kejahatan yang merujuk Iran dan Korea Utara, atau istilah seperti  PIIGS, CIVETS dan BRICKS di atas, ramai orang mula percaya bahawa terdapat keseragaman masalah, baik yang berkaitan dengan keganasan mahu pun yang berhubung dengan risiko ekonomi  negara-negara berkenaan.

Istilah-istilah ini telah dikritik kerana dianggap sebagai muslihat pemasaran untuk membuatkan bukan sahaja pelabur berfikir banyak kali untuk mencuba nasib dalam mana-mana negara gabungan berkenaan, malah pelancong juga menjadi hilang minat untuk berkunjung ke tempat menarik dalam negara berkenaan.

Ikhtisar di atas menunjukkan bahawa manusia itu tidak setakat tidak semestinya bertindak secara rasional, namun perlu membuat keputusan tidak berasaskan kepentingan analisis untung-rugi material dan mudah dibuai dengan sentimen emosi tertentu.  Hal ini bererti informasi yang diajarkan di menara gading bahawa sistem ekonomi seperti liberal dan merkantilis bertunjangkan keyakinan semua aktor membuat keputusan secara rasional berdasarkan semua data-data yang terkumpul untuk memajukan kepentingan material  masing-masing adalah tidak semestinya tepat. Hal ini demikian kerana norma tersebut, iaitu aktor seperti identiti, ideologi, kepercayaan agama dan  budaya itu  boleh digelorakan apinya sehingga keputusan  itu dilakukan atas norma berkenaan. Sebenarnya, bukan sentimen emosi sahaja mempengaruhi keputusan untung-rugi ekonomi,bahkan angkubah kekuasaan dan status sosial negara juga merupakan fakta yang menentukan percaturan ekonomi global itu.

Walaupun manusia memang boleh berfikir secara rasional, namun begitu, kebiasaannya apabila bertindak manusia berubah menjadi tidak rasional, lebih mengikut emosi suka atau benci, bukannya berasaskan ketepatan fakta, maklumat dan data. Sebenarnya, bukan pemimpin negara sahaja bertindak mengikut sentimen ideologi negaranya, para cendekiawan yang menasihati pemimpin negara juga mengemukakan pandangan berdasarkan kecenderungan pendirian sendiri dan bias teori tertentu yang berbeza-beza sesama mereka. Elit dalam masyarakat merupakan golongan yang berperanan menanam norma atau melakukan aktiviti keusahawanan norma ini, iaitu melibatkan peranan Epistemic Community dan dianggap sebagai contoh penting yang menggambarkan fungsi keusahawanan norma ini.

Hal ini tidak bermakna keusahawanan norma hanya melakukan aktiviti yang negatif semata-mata. Sebagai contoh,isu bukan ketenteraan seperti pemanasan global telah diberi tafsiran sebagai isu ancaman keselamatan sejagat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap bahaya yang sedang berlaku. Isu kemuflisan penghutang tidak dituding ke arah peminjam sahaja, tetapi diberi tafsiran sebagai berpunca dari sikap pihak institusi kewangan yang mudah memberi pinjaman, bukannya daripada penghutang itu sendiri.

Ertinya, dalam hal ini, masyarakat dunia termasuklah masyarakat Malaysia sentiasa boleh mendatangkan idea dan norma baharu bagi menggantikan paradigma lama. Dengan ideanya individu atau institusi keusahawanan norma ini, isu-isu baharu lebih mudah dikenal pasti dan diketengahkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Pada tahun 2010, Rawi Abdelal, Mark Blyth dan Craig Parsons menghasilkan karya berjudul, Constructing the International Economy dengan pakar ekonomi politik digesa untuk memanfaatkan pendekatan konstruktif bagi menjelaskan fenomena ekonomi pada masa kini.

Pendekatan ini menerangkan bahawa idea dan norma sentiasa berubah dari semasa ke semasa  sehingga warna yang dahulunya hitam boleh difahami sebagai putih dan sebaliknya. Keusahawanan norma berkembang disebabkan oleh adanya kesedaran bahawa idea, norma dan identiti kumpulan dan negara dibina berdasarkan sentimen sosial, tidak semestinya berdasarkan fakta rasional. Hal ini tidak bermakna  fakta rasional itu tidak penting tetapi idea dan norma juga merupakan kuasa penggerak masyarakat yang sama pentingnya dengan faktor-faktor lain.

Jika diperhatikan, konflik dan kerjasama antara negara yang berlaku saban hari tidak diputuskan berdasarkan teori pilihan rasional semata-mata, namun terbentuk hasil daripada norma-norma yang dibangunkan itu. Kesemua ini memberikan indikasi tentang peri pentingnya untuk memahami keusahawanan norma bagi memahami iklim ekonomi global masa kini.

Profesor Dr. Makmor Tumin, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.