31 Mei 2023, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja telah melancarkan 12 buku siri amalan baik di reruai DBP, Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada tengah hari tadi.

Antara tajuk buku siri amalan baik ini adalah seperti Kita Taati Ibu Bapa, Kita Hidup Secara Sederhana, Kita Mesti Sabar, Kita Mesti Rendah Hati, Kita Mesti Menghormati Orang Lain, Kita Solat dengan Khusyuk, Kita Hayati Solat, Kita Bersyukur, Kita Ingat akan Allah, Kita Solat Berjemaah dan Kita Pemaaf.

Buku siri amalan baik ini telah dihasilkan oleh empat orang ahli akademik yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Ibrahim Hashim, Profesor Madya Dr. Melati Sumari, Dr. Fauziah Hanim Jalal dan Puan Nazariah Abdul Samad.

Dari kiri Encik Armin Azhari Saleh, Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin , Profesor Madya Dr. Ibrahim Hashim, Dr. Fauziah Hanim Jalal dan Profesor Madya Dr. Melati Sumari.

Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), iaitu Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin semasa ucapan perasmian mengatakan bahawa kesemua tajuk buku siri amalan baik ini amat diperlukan oleh anak-anak dan remaja kita pada hari ini yang banyak terdedah dengan gajet.

Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin.

Maka itu, penerbitan buku ini sangat bertepatan untuk dijadikan sebagai santapan minda mereka bagi memperkukuh jiwa masing-masing.

Membaca merupakan asas untuk membina jati diri yang lebih baik. Maka itu, anak-anak perlu disajikan dengan pelbagai bahan pembacaan yang baik. Selain itu, melalui penerbitan buku ini juga diharap agar dapat mempergiat aktiviti pembacaan bukan sahaja dalam kalangan anak-anak, malah ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana buku yang sangat relevan dengan keperluan anak-anak, pastinya akan diterima baik dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak itu sendiri.

Selain itu, beliau berpendapat bahawa PBAKL 2023 ini merupakan satu platform yang baik untuk memperkenalkan buku siri amalan baik kepada penerbit luar. PBAKL 2023 bukan sahaja menghimpunkan pempamer dari dalam negara, malah terdapat wakil dari negara luar antaranya termasuklah negara China.

Maka itu, jelas beliau, amat penting untuk kita memperkenalkan buku ini kepada mereka agar buku yang berkualiti terbitan DBP ini dapat diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan dipasarkan pada peringkat antarabangsa. Tambah beliau,

MBBY selaku badan yang bernaung di bawah Board on Books for Young People (IBBY) pada peringkat antarabangsa bersedia untuk diuar-uarkan kepada rakan ahli dari 80 buah negara di seluruh dunia. Moga dengan strategi pemasaran yang berkesan, buku ini akan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Dalam majlis yang sama turut diadakan sesi bersama-sama penulis siri amalan baik yang dikendalikan oleh Pegawai Perancang Bahasa DBP, iaitu Puan Nelawati Ngadul.

Dalam sesi ini, satu daripada penulis buku, iaitu Profesor Madya Dr. Ibrahim Hashim mengatakan bahawa buku siri amalan baik ini mempunyai keistimewaan, yakni terkandung nilai-nilai yang terdapat dalam al-Quran, khususnya pengisahan dalam Surah Luqman. Surah ini menonjolkan kasih sayang dan kelembutan yang dipamerkan oleh Luqman terhadap anaknya.

Sebanyak 12 nilai yang termuat dalam buku siri amalan baik ini merangkumi keagamaan dan kemanusiaan yang diperlukan oleh anak-anak kita. Dalam al-Quran, perkara yang ditekankan ialah keesaan Allah SWT dan menjauhi sifat mensyirikkan Allah SWT. Inilah kejayaan yang besar dalam kemukjizatan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran bukan sahaja memberikan asuhan, arahan dan larangan tetapi menanam tauhid tersebut. Apabila penanaman tauhid sudah mantap dalam diri anak-anak, maka mereka akan melakukan segala amalan baik seperti solat, menjadi seorang yang pemaaf, tabah, sabar, dan bersederhana dalam apa-apa jua.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Encik Armin Azhari Saleh, penulis buku siri amalan baik, editor dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, dan dimeriahkan dengan kehadiran pengunjung yang berkunjung di reruai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.