13 Jun 2023, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Mei 2023.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri menyempurnakan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Antara barisan tetamu kehormat yang hadir semasa majlis perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil.

Yang berikut merupakan inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perasmian seminar tersebut.

Assalamualaikum WBT, salam perpaduan dan salam Malaysia MADANI.

1. Terlebih dahulu marilah kita merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT atas limpah kurnia-Nya kerana kita dapat bersama-sama pada pagi yang penuh dengan keberkatan ini. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada DBP, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Universiti Selangor (UNISEL), serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pembinaan negara bangsa yang progresif dalam kerangka Malaysia MADANI.

Pemikiran Siddiq Fadzil dalam Konteks Malaysia MADANI

Hadirin sekalian,

2. Alhamdulillah, kerjasama DBP, WADAH dan UNISEL menerusi seminar ini dapat memberikan manfaat dan peluang untuk mengimbau semula, mendalami fikrah sahabat kami, pemikir dan murabbi ummah Siddiq Fadzil. Apabila mengingati tokoh silam, saya terfikir kembali kata-kata yang diungkapkan oleh Roger Garaudy, pemikir dan ahli falsafah Perancis yang menyatakan bahawa jika benar kita ikhlas dan faham tentang tokoh penting, hal ini bukan untuk sekadar menyatakan keprihatinan, malah menggali khazanah dan mewacanakan, serta menggilap idealisme yang dibawa oleh tokoh atau susuk tersebut.

3. Selain itu, wacana seperti ini harus diperluaskan. Saya tidak bias kerana kebetulan Siddiq Fadzil itu sahabat karib, tetapi kerana pemikiran beliau itu sangat relevan dengan keperluan kita dalam usaha mengangkat masyarakat MADANI yang kuat berakar terhadap budaya Melayu, selain petah dalam bicara bahasanya, mendalami Islam dan terbuka luas mindanya. Beliau tidak terperangkap dengan pemikiran sempit atau jumud terhadap kefahaman agama dan seorang demokrat yang memahami erti demokrasi rakyat, bukan demokrasi sistem institusi sepertimana yang lazim kita faham sekarang bahawa demokrasi itu hanya bererti sekiranya berlaku kesedaran dalam kalangan rakyat. Oleh sebab itu, tokoh politik, parti politik atas nama apa-apa pun dalam mendukung fahaman mereka sama ada dengan wang atau ideologi sempit, tidak dilaksanakan dengan kefahaman yang lebih meluas.

Mengangkat Martabat Negara Bangsa MADANI

4. A. Samad Said dalam Berita Harian mengupas satu-satunya medium pada ketika itu yang turut memberikan ruang kepada kami mengupas dengan kritis bagi mendukung hasrat kalangan muda, membuka minda rakyat dan mengaitkan kekuatan Islam dalam konteks Melayu bagi pembinaan negara bangsa. Sepertimana yang kita mengetahui Tafsir Maudhu’i, Islam dan Melayu dan beberapa kupasan serta karya tesis kedoktoran yang diterbitkan oleh beliau. Siddiq itu terlalu “keras” dalam fahamannya dengan mengakar kepada tradisi rantau Melayu walaupun tidak berganjak sedikit pun tentang Islam dan perkara ini juga harus difahami oleh generasi sekarang kerana apabila kita membina Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dia tidak mengganjur satu sikap walak dengan mendukung pemikiran satu orang atau satu kelompok tetapi tentang al-Quran dengan tafsir yang pelbagai supaya fahaman kita lebih mendalam, seperti kitab tradisional, tafsir ala tasawuf, tafsir moden, yang kuat bahasa Arabnya, kuat bahasa Inggerisnya, maka dalam usrah awal yang dipimpin oleh Sheikh Razali Nawawi dan Ustaz Fadzil Noor tentu terikat dengan tafsir, tetapi dibawa juga al-Qurthubi, Sayyid Abul A’la Maududi, Sayyid Qutb untuk diberi satu perimbangan kefahaman yang lebih meluas dan mendalam. Yang penting adalah memahami agama dan tradisi ilmu yang mantap, mendalam, tidak memahami Islam melainkan hal yang sudah tetap seperti solat, puasa dan lain-lain.

5. Kemudiannya, buku-buku dihebahkan dan sebab itulah saya ingin memanfaatkan waktu ini dengan menyatakan bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dan Sura mendukung sepenuhnya semangat islah dan perubahan serta mengangkat martabat negara bangsa MADANI yang mesti berteraskan ilmu dan keyakinan yang mendalam. Oleh itu, dalam memahami Islam itu sendiri, kita bawa kupasan daripada pandangan tokoh gerakan Islam, termasuklah Hasan Al-Banna kepada pemikir semasa, Abd al-Rahman al-Kawakibi dan kupasan-kupasan dalam beberapa karya Sayyid Sabiq, Muhammad al-Ghazali dan kemudian karya Yusuf al-Qaradawi. Kita juga mengambil kira pandangan tokoh di rantau ini, iaitu Muhamad lqbal, terutamanya magnum opus beliau, iaitu The Reconstruction of Religious Thought in Islam yang menggagas pembaharuan berdasarkan kefahaman mendalam dan keperluan untuk menolak taklik, walaupun bukan kesemuanya kerana tidak berakar pada sunah, al-Quran atau menganjurkan ijtihad dengan beberapa prinsip yang ketat.

6. Selain itu, bahasa juga perlu dijadikan sebagai “alat” perpaduan kepada masyarakat yang berbilang kaum. Hal ini disebabkan sesuatu bangsa yang berjaya perlu ada “pengikat” yang kukuh dan bahasa itulah merupakan tali ikatan tersebut. Yakinlah bahawa “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan teras untuk rakyat terus hidup bersatu padu dan maju mengikut acuan sendiri.

Mitos Pemikiran Penjajah

7. Di Indonesia, tentunya Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenal sebagai Hamka, dan termasuklah Tafsir Al-Azhar, satu-satunya tafsir gagah dalam korpus bahasa Melayu dan pemikir seperti Mohammad Natsir dan di Tanah Melayu terdapat pejuang kebangsaan awal, termasuklah kupasan Raja Ali Haji Raja Haji Ahmad, Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba) dan kemudiannya dari sudut ekonomi kemiskinan seperti Ungku Aziz. Dari segi pemikiran Melayu dan Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan tokoh pemikirnya. Daripada pemikir yang lebih kritis tentang doktrin matematik Melayu pada ketika itu yang membantah pemikiran usang dan revolusi mental yang menganggap sentimen Melayu itu agak ketinggalan dan perubahan pula hanya dalam kalangan rakyat. Hal ini tidak menyinggung bahawa beberapa kerosakan besar dalam negara terjadi akibat pemikiran jumud dan keterlaluan, keangkuhan kuasa, kegelojohan dan rasuah dalam kepimpinan. Maka itu, Syed Hussein Alatas dalam The Intellectual and Developing Countries mengupas dan mengasak pemikiran sedemikian, termasuklah Malay Dilemma oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu satu karya yang dianggap besar oleh sebahagian orang Melayu, tetapi tidak dapat dipertahankan dari sudut keilmuannya, dari gugusan pembaharuan kerana fikiran itu masih terperangkap dengan kerangka pemikiran penjajah. Kita sememangnya antipenjajah, tetapi secara tidak sedar, kita terbawa-bawa dengan pemikiran penjajah. Sebagai contoh, pandangan tentang mitos peribumi malas yang didukung oleh revolusi mental dan juga Malay Dilemma, iaitu mitos yang pernah disanggah sebelum itu oleh Jose Rizal.

8. Sekiranya diteliti semula karya Siddiq tersebut, hal ini sangat bersesuaian untuk dikaji, malah relevan pada masa ini. Oleh sebab itulah dalam acara pesta buku, saya tegaskan dengan menggesa golongan cendekiawan agar mengikut jejak seperti Siddiq Fadzil, seorang cendekiawan yang tidak hanya terperangkap dalam gedung universiti, malah muncul sebagai intelektual awam. Edward Said dalam The Legacy of a Public Intellectual pernah mengungkap masalah rakyat dan cuba mengangkat tahap kefahaman masyarakat secara umum, dan dalam konteks inilah kita harus perbanyakkan karya seperti ini.

Karamah Insaniah: Keyakinan terhadap Nilai, Akhlak, Budaya dan Seni

9. Saya ada berbincang dengan saudari Fadhlina Sidek, benar apa-apa keutamaan sekarang ialah teknologi digital, yakni ilmu mengenai kecerdasan buatan (AI) dan beberapa buah kerangka pemikiran ke arah sains dan matematik yang juga lemah dalam kalangan masyarakat, terutamanya anak Melayu sekarang. Akan tetapi, kita sebagai manusia, kita bicara soal karamah insaniah, maka manusiawi itu tidak mampu dibentuk dengan hanya kerangka teknologi, sains dan digital kerana dibentuk dengan bahasa dan budaya. Walaupun ada pandangan yang serong menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak relevan, kita tidak boleh menerima fahaman cetek sedemikian kerana apa-apa yang kita fikirkan itu mengangkat martabat bangsa, tentunya melibatkan masalah ekonomi yang masih fundamental.

10. Kita sedang berbicara soal karamah insaniah yang tentunya terletak pada tekad dan keyakinan pada nilai, akhlak, budaya dan seni. Sebagai contoh, berlakunya pengucapan hati nurani dalam bahasa yang indah, mungkin menerusi puisi. Oleh sebab itulah apabila saya berada di lapangan bersama-sama anak muda dan pelajar universiti, saya rasa bimbang akan minat dan kecenderungan mereka tidak ke arah ini.

Kesederhanaan Islam di Puncak Tertinggi

Saudara,

11. Saya ingin membicarakan karya A. Samad Said, seperti Bumi Hijau, iaitu kemiskinan yang disebut papa kedana, soal rasa lara, soal perjuangan, soal gerakan kebangsaan awalnya, soal penindasan, soal hilangnya rasa demokrasi, yakni semuanya itu diceritakan, digubah, diucapkan dengan bahasa terindah. Maka itu, jika generasi baharu kini tidak merasai “kelazatannya” seperti yang disebut oleh Sayyidina Ali ibn Abi Talib, iaitu lazatnya kerana keindahan bahasa dan ilmunya tentang maghrifah. Maka itu, kita akan berasa kerugian. Jelaslah bahawa wacana sebegini sangat penting kerana buku-buku yang dihasilkan, termasuklah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diwacanakan di sekolah dan di pusat pengajian tinggi.

12. Pada hemat saya, semangat dan budaya ilmu harus terus kita terapkan dalam masyarakat kita. Saya dan Siddiq Fadzil sememangnya peminat pemikir Algeria, almarhum Malik bin Nabi. Beliau menulis dalam bahasa Perancis dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Berikutan itu, saya memohon Siddiq Fadzil untuk menterjemahkannya dan saya cuba hadam dan ulas. Dia selalu “sindir” saya dengan mengatakan pengulas lebih baik daripada penterjemah asalnya.

13. Beberapa kupasan dalam bahasa Inggeris, umpamanya karya awal Sayyed Hossein Nasr, pengasas badan lembaga falsafah Islam di Iran yang ditulis sejak 60-an. Kesederhanaan Islam itu berada di puncak tertinggi. Oleh itu, seperti yang diolah oleh Siddiq Fadzil itu menyatakan bahawa kita perlu membawa perubahan ini kerana keyakinan itu bukan bikinan, bukan kerana kelompok atau kaum atau politik akan tetapi, keyakinan itu adalah tentang suatu cetusan ikhlas dari hati nurani yang bersih. Pencernaan inilah yang kemudiannya akan membina kekuatan.

14. Marilah kita terus berusaha dan berdoa agar rakyat Malaysia mampu mengeluarkan diri daripada kepompong dan belenggu kejumudan dan taasub melampau dalam pemikiran mereka. Kita mahu sikap menerima secara “berlapang dada” dan meraikan, serta “menikmati” perbezaan sebagai fitrah yang boleh membahagiakan kehidupan kita. Sikap ini amat penting untuk rakyat Malaysia agar terus hidup dalam keadaan bersatu padu, harmoni dan aman damai dalam kerangka Malaysia MADANI ini.

Demikianlah inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.