16 Jun 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masalah remaja lari dari rumah bukanlah suatu hal yang baharu. Masalah ini sememangnya wujud sejak dahulu lagi. Persepsi bahawa zaman remaja merupakan suatu tempoh yang “rumit”, bukan sahaja ada di negara kita, malah di serata dunia. Usia remaja sememangnya mencabar kerana peringkat usia ini merupakan tempoh yang dramatik dan sukar untuk dilalui.

Jika dilihat dari perspektif psikologi, masalah remaja lari dari rumah sering kali dikaitkan dengan proses kematangan otak remaja. Maka itu, tingkah laku remaja banyak dipengaruhi oleh emosi sehingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan. Proses perkembangan manusia terutamanya pada peringkat remaja sangat kompleks. Tidak kira sama ada remaja lelaki atau remaja perempuan, keinginan untuk lari dari rumah sememangnya ada dalam diri setiap remaja.

Berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, bermula pada tahun 2019 hingga 2022, kes lari dari rumah dalam kalangan remaja didapati semakin meningkat, iaitu daripada 2977 kes kepada 3589 kes. Peningkatan jumlah ini amat membimbangkan kerana masalah lari dari rumah membawa pelbagai kesan negatif seperti sumbang mahram, pelacuran, perjudian, pembuangan bayi dan masalah sosial yang lain. Masalah sosial ini memberikan impak kepada negara kerana golongan remaja merupakan golongan pemimpin pada masa hadapan. Pelibatan remaja dalam masalah sosial ini menyebabkan negara kehilangan generasi yang menjadi aset negara. Oleh itu, masalah remaja lari dari rumah seharusnya tidak dipandang ringan oleh semua pihak.

Institusi Kekeluargaan yang Utuh

Menurut seorang ahli psikologi, Springer (2001), krisis institusi kekeluargaan merupakan antara punca utama remaja lari dari rumah. Di negara Barat, remaja yang melarikan diri dari rumah dianggap sebagai satu daripada masalah yang paling serius dalam masyarakat. Sungguhpun ibu bapa di sana mengamalkan gaya keibubapaan yang mengutamakan hak dan kebebasan anak dalam membuat keputusan namun kes remaja lari dari rumah masih lagi berlaku.

Begitu juga di Malaysia, statistik mendapati lebih daripada 170 kes remaja lari dari rumah pada tahun 2020 adalah berpunca daripada keluarga yang bermasalah. Remaja bertindak untuk lari dari rumah kerana berasa tidak gembira dan tidak selesa apabila berada di rumah. Selain itu, kebanyakan remaja ini berasa tidak bebas dan sering dikawal oleh ibu bapa. Mereka juga mula memberontak apabila ibu bapa kurang memberikan perhatian.

Remaja pada hari ini tidak lagi sama seperti remaja dahulu yang begitu taat kepada ibu bapa. Penggunaan teknologi seperti telefon pintar juga menyebabkan remaja pada hari ini tidak segan silu untuk meluahkan perasaan marah mereka dalam media sosial, malahan disokong oleh rakan yang mengalami pengalaman yang sama. Hal ini menjadikan remaja merasakan dirinya betul dan ibu bapa tidak memahami kehendak mereka.

Remaja yang lari dari rumah boleh dikategorikan kepada empat golongan seperti yang berikut:

  • Golongan floater, iaitu remaja yang lari dari rumah dan kembali semula dalam tempoh 24 jam.
  • Golongan runaway, iaitu remaja yang keluar rumah disebabkan persekitaran dalaman rumah yang bermasalah dan remaja yang terlibat dengan masalah tingkah laku.
  • Golongan splitter, iaitu remaja yang mengalami kekecewaan disebabkan faktor pencapaian akademik.
  • Golongan hard read freaks, iaitu remaja yang berumur daripada 17 tahun hingga 20 tahun yang inginkan kebebasan daripada kongkongan ibu bapa yang dirasakan amat membebankan.

Ibu Bapa: Suri Teladan dan Pemandu Kehidupan Remaja

Golongan remaja yang melarikan diri dari rumah bukanlah bererti mereka ialah remaja yang tidak baik tetapi mereka hanya tersilap langkah dalam percaturan kehidupan. Mereka menganggap bahawa tindakan lari dari rumah dapat melenyapkan masalah yang sedang dihadapi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memberikan tunjuk ajar yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi penyokong dan pendukung utama dalam kehidupan anak.

Walau bagaimanapun, dalam hal mendisiplinkan anak terutamanya remaja, ibu bapa perlu bersikap tegas dan konsisten dan pada masa yang sama perlu berlaku adil serta munasabah. Kejadian anak lari dari rumah ialah mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa. Dikatakan hampir semua orang yang pernah melalui zaman remaja pernah mempunyai niat untuk lari dari rumah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Namun begitu, tidak semua remaja menurutkan keinginan tersebut. Sikap seseorang banyak dipengaruhi oleh hubungan sosial terutamanya rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya yang negatif menjadikan remaja bersikap mementingkan diri sendiri, sangat sensitif terhadap kritikan dan cenderung mempersoalkan pelbagai perkara. Mereka juga cenderung menguji had kebebasan mereka. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja yang disukai dan melanggar perintah dan larangan ibu bapa. Hal ini disebabkan kerana pemikiran mereka yang masih berkembang menyebabkan tingkah laku dan emosi mereka menjadi tidak menentu. Oleh yang demikian, sangat penting untuk mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah keluarga kerana persekitaran keluarga yang tidak kondusif dan sentiasa berkonflik akan menyebabkan anak remaja membesar dengan keadaan yang tertekan dan bermasalah.

Remaja yang lari dari rumah sering kali membangkitkan alasan dominasi ibu bapa terhadap diri mereka. Oleh itu, lari dari rumah merupakan cara yang difikirkan terbaik untuk dirinya bagi mendapatkan autonomi tanpa memikirkan risiko yang berlaku. Oleh itu, antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah mendidik anak tentang cara untuk berhadapan dan untuk menangani sesuatu masalah. Apabila ibu bapa berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan anak memiliki kaedah yang betul dan pemikiran yang jelas tentang kesan daripada setiap tindakan yang diambil, mereka tidak akan mempertimbangkan lari dari rumah sebagai satu daripada jalan penyelesaian masalah. Sudah tentu, perkara ini bermula dengan membantu mereka mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah. Ibu bapa perlu mendengar masalah anak dan membantu mereka membaiki kesilapan mereka.

Selain sokongan fizikal seperti pelukan mesra, komunikasi yang efisien juga dapat membantu seperti menyatakan perasaan kasih dan sayang serta memberikan kata-kata penghargaan kepada anak. Tindakan ibu bapa seperti ini dapat memberikan mesej dan menyedarkan anak tentang kasih sayang ibu bapa yang tiada sempadan. Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah sentiasa memberikan ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan mereka dan tidak sentiasa mencari kesalahan mereka. Hal ini penting bagi memastikan anak dapat bersikap terbuka untuk membicarakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Ibu bapa haruslah memberikan anak ruang untuk membuat keputusan sendiri dalam kehidupan.

Teori Sistem Keluarga Bowen

Kepentingan keluarga yang harmoni dapat digambarkan melalui Teori Sistem Keluarga yang ditulis oleh Bowen (1972). Bowen menekankan keluarga sebagai satu unit emosi dalam hubungan kekeluargaan kerana setiap ahli saling terikat dari segi pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Interaksi dan keseimbangan hubungan antara ibu bapa dengan anak dapat memastikan fungsi sesebuah keluarga berjalan dengan betul. Keseimbangan sistem keluarga dapat dikekalkan apabila setiap ahli keluarga mematuhi peraturan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Di samping itu, Teori Sistem Keluarga memberikan tumpuan kepada setiap peranan yang ada dalam sistem keluarga. Bowen menganggap kehidupan manusia merupakan satu sistem yang menggerakkan seseorang individu sehingga mereka menjadi seorang individu yang mempunyai emosi tersendiri, pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Konsep sistem dalam keluarga dapat digunakan dengan meluas untuk menerangkan fungsi keluarga khususnya hal yang berkaitan dengan hubungan antara ibu bapa dengan anak.

Perkara ini menjelaskan interaksi kompleks yang berlaku dalam keluarga dan juga faktor yang mempengaruhi proses keluarga membuat keputusan dan menetapkan pencapaian matlamat tertentu (Morris, 2013). Teori Sistem Keluarga juga mencadangkan bahawa setiap ahli keluarga saling memainkan peranan dan mempunyai kaitan antara satu dengan lain. Hal ini bermakna bahawa setiap unit memberikan kesan kepada semua unit lain dalam sistem tersebut. Teori Sistem Keluarga menganggap bahawa keluarga ialah sistem yang berinteraksi dengan sistem lain dan mempunyai subsistem dalam diri mereka. Perubahan yang berlaku dalam setiap subsistem dapat menjejaskan kestabilan sistem keluarga.

Pendidikan Awal

Maka itu, dalam proses mendidik dan membentuk anak terutamanya pada usia kanak-kanak hinggalah ke peringkat remaja amat sinonim dengan perumpamaan “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Perumpamaan ini bermaksud bahawa anak perlu dididik sejak kecil supaya bijak mengawal tingkah laku. Anak yang tidak membesar dengan persekitaran keluarga yang sihat berisiko menjerumuskan mereka ke dalam pelbagai masalah sosial, lebih-lebih lagi dengan sifat remaja yang mudah terpengaruh dengan persekitaran.

Tuntasnya, tidak mudah melewati usia remaja yang mencabar. Tingkah laku remaja ialah sebuah proses semula jadi yang perlu dilalui untuk menjadi dewasa. Dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan, remaja pada hari ini lebih mudah terdedah dengan bahaya dan risiko. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang lebih seperti memantau pergaulan dan pergerakan anak. Ibu bapa perlu lebih melibatkan diri dalam aktiviti anak dan mewujudkan persekitaran rumah yang harmoni dan tenang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.