Oleh Asrar Ab Latif
22 Jun 2023, 13:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menganjurkan Pertandingan Cabaran Baca Berita berkonsepkan “Jom ke DBP” melibatkan penyertaan daripada pelajar Sekolah Antarabangsa di sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Cabaran Baca Berita ini berkonsepkan pertandingan membaca berita dalam bahasa Melayu secara individu berdasarkan berita yang diterbitkan dalam JendelaDBP.

Bergambar bersama-sama peserta dan pemenang Pertandingan Cabaran Baca Berita anjuran DBP Cawangan Sabah.

Pertandingan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan pelajar di samping dapat mencungkil bakat dalam bidang pengacaraan dan kewartawanan. Program ini juga secara tidak langsung dapat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan negara.

Berpandukan Pelan Strategik DBP 2021-2025, iaitu menambah bilangan khalayak dalam kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu, DBP Cawangan Sabah akan terus menggiatkan aktiviti seperti ini agar bahasa Melayu terus mekar bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, khasnya di negara serumpun.

Antara peserta yang menyertai pertandingan Cabaran Baca Berita.
Gaya peserta sewaktu menyampaikan berita.

Antara cabaran yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini adalah untuk membezakan antara berita yang benar dengan yang palsu. Oleh hal yang demikian, program seperti ini perlulah disusun secara sistematik dan diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara. Program ini akan diadakan secara berterusan dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh DBP Cawangan Sabah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan serta peka dengan isu semasa. Perkara ini akan menjadi pemangkin dan tonggak kepada pembentukan masyarakat Malaysia MADANI.

Sebahagian daripada peserta yang sedang menunggu giliran untuk menyampaikan berita.

Cabaran Baca Berita pada kali ini disertai oleh 20 orang pelajar dari Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Sabah, dan majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh, Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah. Sebanyak enam orang peserta telah dinobatkan sebagai pemenang peringkat akhir Pertandingan Cabaran Baca Berita tersebut, iaitu tempat pertama dimenangi oleh Muajiza Revania Arsanti, tempat kedua dimenangi oleh Ina, tempat ketiga dimenangi oleh Delima Zamrud dan tiga hadiah sagu hati dimenangi oleh, Helena Bengan Ola, Lusia Emilia Gunut dan Sylvia Patodingan.

Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah, menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Pertandingan Cabaran Baca Berita, Muajiza Revania Arsanti.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.