Oleh Abd. Razak Osman
23 Jun 2023, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam senarai yang dikeluarkan oleh Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023.

Dalam tempoh tiga tahun, iaitu sejak tahun 2021 hingga tahun 2023, UUM telah berjaya membuat lonjakan 56 anak tangga sehingga berjaya berada dalam kelompok 100 universiti terbaik di Asia. Pada tahun ini, UUM berada di kedudukan ke-99, berbanding dengan kedudukan ke-148 pada tahun 2022 dan kedudukan ke-155 pada tahun 2021.

UUM turut berkongsi kedudukan dengan tiga lagi universiti dari luar negara, iaitu Universiti Jazan, Arab Saudi, Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa, China, dan Universiti Cankaya, Turkiye.

Naib Canselor UUM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata,

Lonjakan sehingga 56 anak tangga ini adalah hasil usaha dan komitmen daripada warga UUM sendiri yang bersama-sama ingin menjadikan universiti ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka Dunia dan menjayakan Pelan Strategik UUM.

Kedudukan UUM dalam senarai 100 universiti terbaik Asia juga membolehkan universiti ini bergerak jauh ke hadapan bagi meluaskan lagi jaringan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Terdahulu, Kelab Media Elit Kedah (KMEK) turut membuat kunjungan hormat ke UUM yang diketuai oleh presidennya, Adie Suri Zulkeffli.

Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan mengadakan pertemuan dengan anggota KMEK di UUM.

Menurutnya lagi, kejayaan ini pastinya tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan sokongan kepada UUM untuk terus merealisasikan visi dan misi UUM.

Lonjakan besar UUM ini telah didorong oleh peningkatan dalam impak sitasi khususnya. Times Higher Education (THE) Asia University Rankings yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 669 universiti seluruh Asia disenaraikan bagi penarafan bagi tahun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.