Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMusim durian kembali lagi tahun ini dengan hasil yang jauh lebih meriah berbanding dengan tahun sebelumnya. Boleh dikatakan merata-rata tempat di seluruh Malaysia akan diadakan kenduri dan pesta durian. Walaupun masih terdapat rungutan bahawa harga buah ini yang semakin mahal, tetapi nampaknya jualan raja buah ini tetap rancak. Pengusaha durian juga boleh menarik nafas lega pada tahun ini kerana mereka mampu memasarkan hasil mereka ke seluruh negara berbanding dengan semasa negara dilanda pandemik. Jika dahulu, buah ini hanya digemari oleh orang Melayu sahaja, namun kini kaum lain turut sama tidak melepaskan peluang untuk menikmati raja buah ini. Musim durian sememangnya musim yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat Malaysia.
Durian atau nama saintifiknya durio merupakan buah tropika bermusim yang paling popular dan diminati ramai bukan sahaja di negara kita, malah juga di kebanyakan negara Asia Tenggara. Nama saintifik durio dikatakan berasal daripada perkataan Melayu, iaitu “duri”. Buahnya yang berduri tajam dan mengeluarkan aroma yang cukup kuat apabila sudah masak menjadikannya antara buah yang cukup istimewa. Isinya pula mempunyai rasa yang cukup unik dan tidak boleh ditemukan pada buah-buahan yang lain kerana gabungan lemak, manis dan sedikit pahit yang secukup rasa. Jika di Sabah pula terdapat durian yang isinya berwarna merah atau dikenali sebagai Marahang ataupun Maraang dalam kalangan penduduk di sana. Segala keistimewaan dan keunikan ciri yang ada pada durian ini menyebabkannya digelar “Raja Buah”.
Durian merupakan antara makanan yang boleh menyatukan dan juga boleh memecahbelahkan hubungan. Walaupun hanya sekadar seloroh semata-mata, namun jika difikirkan kembali, hal tersebut ada benarnya. Ada adik beradik yang bermasam muka kerana masing-masing hanya pulang ke kampung apabila tibanya musim durian tetapi apabila perlu menebas kebun durian, semuanya tidak pulang dan perkara ini juga tertulis dalam lirik lagu nyanyian Mr. Os yang berbunyi “musim deghoyan banyok sedare mare (ramey-ramey), Bila nebas, seko tak nampak muke (memang gitu)”. Bahkan, pemilik kebun durian juga bergelar orang kaya apabila musimnya tiba sehingga berlagak dengan orang sekeliling sebagaimana bait-bait lirik dalam dua rangkap lagu Durian Dah Berbunga tersebut.
Bukan sahaja antara adik-beradik dan saudara mara, durian juga boleh menjadi punca pergaduhan antara pembeli dengan penjual kerana tidak berpuas hati dengan kualiti isinya. Harga raja buah ini yang boleh tahan mahalnya sering menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan para pembeli. Tambahan pula, ada antara penjual yang mengambil sikap lepas tangan dan mengambil kesempatan ketika berjual beli buah kayangan ini. Durian juga merupakan antara lambang kekayaan orang dahulu terutamanya bagi orang Perak. Semakin luas saiz dusun durian yang dimiliki oleh seseorang, maka semakin tinggilah status kekayaan pemiliknya. Namun begitu, pemilik kebun durian pada masa ini juga masih digelar orang kaya berikutan harganya yang sentiasa meningkat saban tahun. Jika tidak, mana mungkin banyak pihak yang masih berlumba-lumba mahu mengusahakan tanaman buah yang digelar raja buah ini.
Walaupun durian digemari oleh ramai orang, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak meminatinya kerana baunya yang terlalu kuat sehingga boleh menyebabkan sakit kepala terutamanya bagi orang Barat. Sebagai contoh, pada tahun 2020, terdapat kejadian melibatkan 12 orang berbangsa Jerman yang bertugas sebagai pekerja pos dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut apabila pengsan selepas terhidu bau durian. Manakala, seorang penyewa di kedai di Canberra, Australia pula menghubungi anggota bomba kerana dikatakan berlakunya kebocoran gas dalam premis miliknya sedangkan bau tersebut merupakan aroma buah durian. Individu yang tidak menyukai bau durian acap kali menyamakan aroma durian sebagi bau yang tidak sedap seperti bau gas. Bagi orang Malaysia yang terkenal dengan jolokan “hantu durian”, bau tersebut berbau wangi dan harum sehingga mereka tidak sabar untuk menikmatinya.
Raja buah ini boleh dinikmati dengan pelbagai cara. Ada yang suka makan isi segarnya sahaja, ada yang gemar makan durian bersama pulut dan ada juga yang gemar menikmati perisanya dalam pelbagai sajian hidangan lain. Tempoyak merupakan makanan berasaskan durian yang popular dalam kalangan orang kita terutamanya bagi orang Pahang amnya dan daerah Temerloh khasnya. Sehingga kini, Temerloh terkenal dengan keenakan gulai tempoyak ikan patin. Tempoyak dibuat daripada isi buah durian yang diasingkan daripada bijinya dan akan disimpan dalam suhu bilik bagi proses penapaian. Namun begitu, tempoyak tidak dimakan begitu sahaja tetapi dicampurkan dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan patin dan pais ikan tempoyak ataupun dibuat sambal tempoyak. Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana penggemar durian tidak semestinya menggemari hidangan berasaskan tempoyak sedangkan tempoyak asalnya daripada isi durian. Selain hidangan tradisi tersebut, durian juga kerap kali dijadikan sebagai perasa dalam pencuci mulut seperti kek, aiskrim, tart dan sebagainya.
Raja buah ini juga menjadi industri yang semakin popular dalam kalangan masyarakat semenjak harga pasaran durian terutamanya durian premium melonjak tinggi disebabkan pasarannya telah melebar ke luar negara khususnya negara China. Pertumbuhan dan permintaan eksport durian Malaysia juga membuktikan bahawa durian mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain mengangkat sektor pertanian negara. Pasaran eksport terbesar durian negara kita ialah China dan rakyat negara tersebut juga menganggap durian Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia jika dibandingkan dengan negara lain yang turut mengeluarkan durian di rantau Asia Tenggara. Eksport durian ke luar negara melibatkan tiga jenis, iaitu dalam bentuk buah asal, ulas dan pes isi durian mengikut jenis serta kualiti durian.
Durian juga kini merupakan antara faktor yang mampu menjadi daya tarikan pelancong ke Malaysia selain pelancong domestik. Hal ini demikian kerana pelancong dari negara China contohnya sangat menggemari keenakan raja buah ini. Kejohanan Durian Sedunia Edisi Malaysia 2022 yang berlangsung di Bangi Golf Resort (BGR) pada awal bulan Julai tahun lepas merupakan antara bukti bahawa raja buah mampu merancakkan sektor pelancongan negara apabila tempahan bilik sepanjang acara berlangsung dibanjiri oleh peminat durian dalam jumlah yang ramai. Kejohanan tersebut merupakan acara yang paling menarik dalam Festival dan Anugerah Durian BGR yang diperkenalkan sejak tahun 2018 dalam usaha mempromosikan segmen pelancongan dengan tarikan utama, iaitu buah durian. Bahkan, Tourism Malaysia turut menganjurkan Program Pakej Durian pada tahun ini sebagai satu daripada usaha merancakkan semula aktiviti pelancongan terutamanya pelancongan domestik di negara kita.
Walaupun Malaysia tidak mengalami empat musim, tetapi negara ini tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana terdapat musim buah-buahan tempatan seperti musim buah durian. Keterujaan masyarakat apabila tibanya musim durian luruh seakan-akan menikmati musim turunnya salji. Begitulah perumpamaannya. Rakyat Malaysia teruja melihat deretan gerai di tepi jalan yang menjual raja buah ini dan menikmati aroma daripada pelbagai jenis durian. Bukan itu sahaja, musim durian juga menyebabkan beberapa buah lokasi seperti Balik Pulau di Pulau Pinang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya para penggemar durian. Musim raja buah ini juga dianggap sebagai musim berhimpunnya sanak saudara yang mempunyai dusun durian selain ketika sambutan perayaan. Harga durian yang lebih murah pada tahun ini membolehkan masyarakat daripada pelbagai golongan turut dapat menikmatinya.