Oleh Makmor Tumin
26 Jun 2023, 19:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebelum ini, pernah dibahaskan tentang amalan Teori Kelebihan Berbanding dalam bidang ekonomi sehingga menyebabkan negara kaya itu terus kaya dan negara miskin pula terus miskin. Hal ini demikian kerana negara miskin yang mempunyai kelebihan dalam sektor pertanian berbanding dengan negara kaya yang kelebihannya pada sektor kilang, digesa supaya menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian semata-mata.

Sudahlah hasil pertanian itu tidak setinggi yang diperoleh daripada hasil perkilangan, serangan penyakit dan serangga serta malapetaka alam juga menjejaskan produktiviti pengeluaran pertanian berkenaan. Sebagai contoh, produktiviti hasil pertanian akan terus menurun disebabkan menurunnya kualiti tanah yang telah digunakan berulang kali. Hasil pengeluaran perkilangan bukan sahaja tidak berdepan dengan hambatan seperti  ini, malah melalui faedah ekonomi yang membolehkan pengeluaran dihasilkan dengan kuantiti yang berlipat ganda, manakala dari segi kosnta pula didapati jauh lebih rendah.

Dalam hal ini, tentunya terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan negara yang kaya itu terus kaya dan negara miskin  pula masih berdepan dengan kemiskinan selain daripada aplikasi doktrin Teori Kelebihan Berbanding itu. Dalam makalah ini, perbincangan tertumpu pada masalah kegiatan firma lari cukai sebagai faktor golongan miskin terus kekal miskin dengan cuba menjawab persoalan, iaitu mengapakah hasil cukai negara tidak meningkat dengan kadar yang sepatutnya sedangkan keluaran negara kasar tetap meningkat? Sebagai permulaannya, wajar dicatatkan dua perkara penting ini. Pertama, dengan adanya kutipan cukai ini, negara dapat mengagihkan hasil berkenaan untuk tujuan kebajikan masyarakat selain daripada pembangunan infrastruktur. Kedua, semua negara bersaing untuk menurunkan kadar cukai korporatnya bagi menarik pelaburan asing ke dalam negaranya. Perkara kedua ini perlu dilakukan walaupun  para pembuat dasar tahu bahawa cukai yang rendah menjadikan negara tersebut lebih sukar untuk menyediakan kemudahan awam seperti infrastruktur, pendidikan dan kebajikan masyarakat seperti yang dinyatakan tadi.

Arus globalisasi wajar difahami dengan tidak setakat mendorong persaingan mendapatkan upah buruh yang rendah, tetapi juga persaingan sesama negara untuk menurunkan cukai korporatnya dan situasi ini menambahkan lagi kesukaran pengagihan bantuan kepada golongan kelas bawahan atau kelas miskin. Syarikat gergasi atau transnational corporation (TNC) bersaing sesama mereka di arena antarabangsa bagi melipatgandakan keuntungan dengan bersaing melabur di negara yang sanggup mengurangkan cukai. Hal ini pula mesti dilakukan oleh mereka bagi membolehkan syarikat gergasi itu berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Bagi memastikan keuntungan mereka tetap tinggi, ada antara TNC berkenaan lari daripada membayar cukai.

Dalam hal ini, ada sesetengah negara yang langsung tidak mengenakan cukai korporat atau memberikan levi minimum atau kadar cukai yang sangat rendah kepada syarikat gergasi yang melabur di dalam negaranya. Negara berkenaan termasuklah UAE, Luxembourg, Bahamas, Bermuda dan banyak lagi. Oleh sebab TNC bergerak pada peringkat antarabangsa, maka mereka boleh membuka banyak akaun di negara-negara pelaburannya. Hal ini bermakna, jika mereka mahu lari daripada cukai, mereka boleh memindahkan kiraan untung perniagaannya daripada negara yang bercukai tinggi kepada negara yang rendah atau memberikan levi minimum daripada mengenakan cukai yang tinggi ini. Malah ada organisasi tertentu yang memberikan khidmat perundingan kepada TNC tentang cara untuk mengelakkan mereka daripada membayar cukai, misalnya melalui teknik lari cukai dengan mengambil kesempatan daripada perbezaan peraturan perdagangan antara negara atau antara peraturan cukai negara.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa kes pengelakan cukai ini amat mengejutkan kerana bukan sahaja melibatkan TNC yang terkenal tetapi juga melibatkan tokoh terkenal. TNC boleh lari daripada membayar cukai dengan mengubahsuai catatan sistem perakaunannya secara “manipulasi kreatif” dengan cara menukar tempat mereka membayar sebahagian besar cukai mereka walaupun sebenarnya mereka tidak mengubah tempat mereka menghasilkan atau menjual barangan dan perkhidmatan.

Saga Skandal Cukai Antarabangsa ini tidak lagi tertutup. Skandal lari cukai ini bukan lagi rahsia. Lawat sahaja laman web Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa di www.icij.org/project/luxembourg-leaks­, kita akan dapati aktiviti lari daripada cukai ini begitu berleluasa. Bagi sesiapa yang pernah meneliti laporan lari cukai skandal LuxLeaks 2014 dan Swiss Leaks 2015, serta skandal yang dikaitkan dengan Panama Papers, mereka akan tahu betapa syarikat dan nama-nama terkenal terlibat dengan kegiatan seumpama ini.

Pakar ekonomi mula melihat terdapat pola tertentu dan kategori aktiviti lari cukai ini. Fenomena lari cukai ini disebut dengan istilah seperti syurga cukai (tax havens), harga pindahan (transfer pricing) serta penyongsangan cukai (tax inversions). Sebagai contoh, aktiviti lari cukai jenis syurga cukai ialah kegiatan pengelakan cukai TNC yang berlaku di sesebuah negara apabila terdapat negara yang dikenakan kadar cukai korporat lebih rendah dengan peraturan kewangannya begitu longgar.

TNC sering cuba untuk memindahkan sebanyak mungkin kiraan cukai daripada keuntungan global mereka ke syurga cukai ini. Hal ini kebiasaannya dilakukan dengan mengira keuntungan mereka secara memindahkan kiraan berkenaan di atas kertas antara pelbagai  jaringan TNC di beberapa buah negara yang menunjukkan keuntungan berakhir apabila TNC dikatakan tidak terlibat dalam sebarang pengeluaran. Kewujudan anak syarikat atau cawangan syarikat di tempat-tempat syurga cukai ini lebih bertujuan untuk memudahkan transaksi perniagaan dan kegiatan lari cukai berkenaan. Di negara syurga cukai berkenaan, firma berkenaan tidak memiliki banyak pekerja atau menjual banyak barangan. Perkara seperti inilah yang menjadi bidang tujahan Kimberly Clausing (Ahli Ekonomi Amerika Syarikat) dalam memahami fenomena lari cukai berkenaan.

Dalam satu catatan yang lain pula, di Amerika Syarikat, sebagaimana yang dicatatkan oleh Balaam dan Dillman (2019) kira-kira 80 peratus daripada semua syarikat yang didagangkan secara terbuka dan lebih dua pertiga daripada syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 didaftarkan atau diperbadankan di Delaware. Delaware ini merupakan wilayah kecil yang merupakan syurga cukai dan berkompromi dengan cukai yang berkaitan dengan keuntungan firma daripada hak harta intelek seperti tanda dagangan (trade mark), hak cipta (copy rights) dan pajakan (leasing).

Memang benar telah ada dan banyak usaha dilakukan bagi membanteras kegiatan lari cukai seperti ini. Usaha OECD mendapat sokongan meluas daripada pelbagai pihak apabila pada tahun 2017, hampir 70 negara menandatangani satu konvensyen multilateral ke atas kegiatan pengelakan atau lari cukai yang dinyatakan sebelum ini. Kumpulan masyarakat sivil antarabangsa juga berperanan besar dalam memperjuangkan isu ini, misalnya seperti yang diusahakan oleh The Global Alliance for Tax Justice (GATJ).  Kumpulan ini telah  mendesak dengan kuat supaya semua negara bertindak tegas terhadap kegiatan lari cukai jenis cukai korporat berkenaan. Gerakan seumpama ini amat sedar bahawa kegiatan tidak bermaruah ini amat merugikan negara miskin atau berpendapatan rendah. Mereka mahu supaya peraturan dibuat agar cukai kepada TNC itu mesti dibayar berdasarkan aktiviti ekonomi sebenar TNC melabur dan mesti diukur berdasarkan hasil jualan atau aset  mereka.

Kebanyakan daripada kita menjangkakan bahawa semua kerajaan akan bertindak tegas terhadap kegiatan lari cukai ini untuk meningkatkan hasil kerajaan. Sebenarnya, ada beberapa jenis kegiatan lari cukai atau lebih tepatnya strategi “pengecilan” cukai itu secara teknikalnya sah dan sesetengah kerajaan di dunia ini khuatir jika tindakan keras ke atas TNC akan menjejaskan pelaburan langsung ke dalam negaranya. Mesej moralnya, kita perlu cakna tentang adanya strategi lari cukai yang cukup licik ini. Hal ini akan dapat membantu negara kita menyediakan langkah berhikmah bagi memastikan peraturan cukai yang dibuat sebelum ini tidak longgar dan pada masa yang sama pelaburan sedia ada dalam negara juga tidak keluar. Perkara ini mudah untuk dilaksanakan, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Profesor Dr. Makmor Tumin, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan,Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.