Oleh A.R.Kasa
28 Jun 2023, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita baru sahaja menempuhi fenomena pandemik yang telah meragut jutaan nyawa. Ancaman global ini bukan sahaja memberikan implikasi negatif terhadap kesihatan, malah turut meragut kebebasan sosial. Dalam kebebasan yang disekat demi nyawa, berlaku perubahan penting termasuklah dalam soal pendidikan. Corak pembelajaran dan pengajaran secara fizikal telah diganti dengan corak pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Walaupun kini kita telah kembali kepada keadaan yang normal, namun kita sama sekali tidak dapat menjamin bahawa suasana ini akan berlangsung dalam tempoh yang panjang kerana banyak perkara yang memungkinkan kita kembali dalam keadaan tersebut berdasarkan variasi ancaman terkini seperti krisis ekonomi, krisis sekuriti makanan serta ancaman penyakit baharu seperti demam lembah dan jangkitan fungus “disease x” yang dianggap mungkin akan menjadi pandemik baharu. Oleh itu, kita sebenarnya perlu belajar daripada pengalaman dan sejarah yang dialami dan bersedia mengorak langkah dalam menghadapi masa depan yang tidak pasti ini.

Pengenalan konsep Madani oleh Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak 19 Januari 2023 merupakan kerangka dasar yang baik dalam memartabatkan semula nama baik negara. Kerangka dasar ini seiring dengan tujuh teras utama pendidikan negara. Dalam usaha membangunkan masyarakat Madani, iaitu masyarakat yang serba maju dan mempunyai tahap tatasusila yang tinggi, pendidikan merupakan platform utama dalam merealisasikan aspirasi nasional ini. Pada hakikatnya, kesinambungan tujuan pendidikan dan masyarakat Madani terhubung dan bersinergi antara satu sama lain dalam melahirkan warganegara yang sempurna.

Sepanjang tempoh pandemik, pengenalan terhadap pendidikan digital melibatkan integrasi pendidikan yang menggabungkan aplikasi komputer dan video sebagai sumber pengajaran merupakan inisiatif yang sangat baik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah seperti jaringan Internet yang lemah, kekurangan atau ketiadaan peranti elektronik dan suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Keadaan ini secara lazimnya berlaku di kawasan pendalaman yang jauh dari akses kemajuan.

Sehingga 31 Disember 2020, terdapat sebanyak 10 255 buah sekolah di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak 4327 buah sekolah di kawasan luar bandar. Bagi sekolah di kawasan luar bandar, sebanyak 645 buah sekolah terletak di kawasan pedalaman yang terdiri daripada 215 buah sekolah di kawasan pedalaman satu, 146 buah sekolah di kawasan pedalaman dua dan 284 buah sekolah di kawasan pedalaman tiga. Jumlah yang besar ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi secara bersama bagi memastikan akses pendidikan dapat merentasi batasan kawasan luar bandar khususnya di pedalaman.

Sebagai sebuah institusi agung dalam kehidupan sosial masyarakat Melayu-Islam, masjid dapat memainkan fungsi utama dalam menangani masalah pendidikan setempat sekiranya berlaku sebarang ancaman global yang dapat meragut kebebasan sosial. Statistik menunjukkan bahawa masjid di negara kita merupakan antara institusi terbanyak dan pesat dibangunkan dari tahun ke tahun. Lebih 6514 buah masjid telah dibina di seluruh negara dan negeri Sabah dicatatkan sebagai negeri paling banyak masjid di Malaysia. 19 daripada jumlah masjid di seluruh negara merupakan masjid bertaraf negeri manakala selebihnya ialah 76 masjid kerajaan, 168 masjid berstatus daerah dan 6251 masjid kariah. Situasi ini menggambarkan bahawa masjid merupakan satu daripada alternatif yang dapat menyediakan akses pendidikan bagi para pelajar kerana mudah diakses meskipun di kawasan pendalaman.

Dari segi sejarahnya, masjid pada zaman Nabi Muhammad SAW pernah berfungsi sebagai pusat pendidikan agama dan pembinaan akhlak para sahabat. Di Masjid Nabawi contohnya, terdapat satu ruangan khusus di belakang yang dikenali sebagai suffah dikhaskan bagi para sahabat mempelajari tentang Islam yang kemudiannya telah ditambah baik pada zaman Khalifah Umar al-Khattab apabila beliau mendirikan kuttab yang merujuk pada sebuah tempat pembelajaran bagi kanak-kanak dan golongan dewasa. Ruangan ini dibina terpisah daripada ruangan solat dan terdapat guru-guru lantikan kerajaan yang bertanggungjawab mengajar golongan sasaran tersebut.

Pada zaman keemasan Islam pula, masjid dengan fungsi pendidikan turut dibina dan dikenali sebagai Masjid Khan. Masjid ini bukan sahaja menyediakan pendidikan, malah turut dilengkapi dengan pelbagai fasilitet bagi kemudahan para pelajar. Antaranya termasuklah kelas dan kemudahan perpustakaan yang dikelilingi dengan kedai-kedai untuk memudahkan urusan para pelajar. Yang menariknya, masjid ini juga menyediakan pusat penginapan khususnya bagi pelajar yang kurang berkemampuan dan datang dari daerah yang jauh. Hal ini menunjukkan bahawa dalam sejarah Islam, masjid sebenarnya telah berfungsi sebagai pusat pendidikan tanpa menafikan fungsi utamanya sebagai pusat ibadat masyarakat.

Dalam menempuhi realiti semasa, masjid dengan fungsi tambahan sebagai pusat pendidikan wajar dipertimbangkan khususnya di kawasan pedalaman kerana kebanyakan pelajar di kawasan tersebut terpaksa keluar jauh dari kawasan rumah atau terpaksa memanjat pokok dan sebagainya hanya untuk mendapatkan akses pendidikan. Oleh itu, pihak pengurusan masjid boleh menyediakan beberapa fasilitet seperti kemudahan wifi dan tempat penginapan yang kondusif dengan tatacara pengendalian piawai bagi para pelajar yang memerlukan akses pendidikan. Seandainya masjid dengan model ini didirikan, maka kita akan kurang khuatir dengan gejolak gelombang pandemik baharu kerana pendidikan para pelajar sedikit terjamin.

Mengimbas kembali pengalaman dan sejarah negara menempuhi gelombang COVID-19, suasana pendidikan di negara ini kurang stabil pada peringkat awal lantaran fenomena baharu dan kurangnya pengalaman kita dalam menempuhi sesuatu yang sebenarnya dianggap sementara. Namun begitu, kini kita sudah belajar daripada sejarah dan wajar  untuk kita bersedia dari segenap aspek. Sebagai sebuah institusi yang mudah diakses komuniti, masjid seharusnya mampu mendepani cabaran semasa dan pascapandemik dengan menyediakan kemudahan untuk membantu dalam mengatasi isu keciciran pendidikan yang berbangkit. Secara tidak langsung hal ini mampu mengimarahkan masjid dan mengembalikan satu daripada fungsi masjid ketika zaman awal Islam, iaitu sebagai sebuah institusi pendidikan bagi komuniti setempat.

Annuar Ramadhon Kasa, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.