30 Jun 2023, 19:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 28 Mei 2023, Presiden Recep Tayyip Erdogan telah dilantik semula oleh rakyat Turki sebagai Presiden negara tersebut untuk tempoh lima tahun lagi. Beliau telah berjaya mengalahkan Kemal Kilicdaroglu, pencabar beliau yang berhaluan sekular.

Golongan yang cenderung kepada Islam, sama ada di dalam atau di luar Turki termasuklah Malaysia menyambut kemenangan Erdogan dengan rasa gembira kerana pendekatan beliau yang cenderung terhadap nilai-nilai Islam. Di samping itu, beliau juga lebih terbuka menerima kehadiran pelarian beragama Islam yang tertindas, termasuk dari Palestin, Mesir, China (Uighur) dan Syria. Sebagai contoh, Turki adalah satu-satunya negara yang membenarkan kehadiran pemimpin Hamas yang diburu oleh rejim aparteid Israel.  Hal ini berbeza dengan sikap pencabar beliau yang mahu mengusir mereka  keluar dari Turki.

Namun begitu, perkara  yang tidak dapat dinafikan ialah sokongan terhadap Erdogan kini semakin merosot berbanding dengan sebelum ini. Dalam pilihan raya umum pada tahun 2018, Erdogan terus layak menjadi Presiden kerana memenangi lebih dari 50 peratus dari undi. Beliau mendapat 52 peratus daripada jumlah undi berbanding dengan pencabar terdekat yang hanya mendapat 30 peratus. Dalam pilihan raya baru-baru ini, Erdogan hanya memenangi 49 peratus dari undian pada pusingan pertama, sementara pencabar terdekat mendapat 43 peratus. Hanya di pusingan kedua, Erdogan berjaya mendapat 52.14 peratus undian berbanding dengan pencabarnya yang mendapat 47.8 peratus. Untuk rekod, pada tahun 2002 Erdogan telah memenangi pilihan raya kecil bandar Siirt dengan mendapat 84.7 peratus daripada jumlah undi.

Persoalannya kini, mengapakah sokongan kepada Erdogan merosot selepas lebih dari 20 tahun beliau memimpin Turki? Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan ini ialah keadaan ekonomi negara tersebut yang sangat teruk pada masa ini berbanding dengan keadaan semasa beliau mula-mula memerintah.

Selama hampir satu abad sebelum Erdogan dan AKP berkuasa, Turki diperintah oleh pemimpin yang berpendirian sekular. Mereka dipengaruhi oleh pemikiran Kamal Ataturk dan digelar sebagai `Kemalist’. Namun di bawah pemerintahan mereka, terutamanya pada akhir kurun ke 20, bukan sahaja institusi demokrasi merana, bahkan keadaan ekonomi juga semakin hari semakin merosot akibat daripada gabungan beberapa faktor termasuklah rasuah, pembaziran, masalah tadbir urus dan ketidaktelusan,serta campur tangan kerajaan yang berlebihan. Akhirnya ekonomi Turki telah mengalami krisis pada tahun 2001.

Rakyat Turki telah menzahirkan kemarahan terhadap pemimpin-pemimpin Kemalist dengan menyokong dan melantik Erdogan yang dilihat bersih daripada amalan rasuah serta mempunyai latar belakang Islam. Bahkan ramai yang melihat Erdogan sebagai pemimpin Islam yang mampu mengembalikan era kegemilangan Islam sebagaimana pemimpin Islam Turki padai zaman Khilafah Othmaniah yang berjaya membina sebuah empayar Islam dan mampu mencabar kuasa Eropah.

Pada awal pentadbiran Erdogan, ekonomi Turki telah berkembang pesat. Pelaburan asing mengalir masuk dan ekonomi Turki berkembang dengan purata kadar tujuh peratus dari tahun 2002 hingga 2008. Keadaan ini membuatkan banyak pihak yang berasakan ini merupakan bukti bahawa pemerintahan di bawah pemimpin yang berjiwa Islam akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Namun begitu, kebanyakannya  gagal memahami bahawa walaupun Erdogan berjiwa Islam tetapi sistem ekonomi yang diamalkan oleh Turki masih kekal bertentangan dengan ajaran Islam terutamanya daripada aspek sistem kewangan kerana masih berpaksikan amalan riba dan industri hutang yang merupakan dosa besar yang dikutuk dengan keras oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Bagi golongan yang memahami implikasi sistem ekonomi yang berpaksikan industri hutang, mereka sangat sedar bahawa perkembangan ekonomi yang dialami oleh Turki pada masa itu adalah bersifat sementara sahaja. Lambat laun masalah inflasi akan berlaku kerana industri perbankan yang memberikan hutang kepada peminjam akan mencipta mata wang dalam jumlah yang banyak. Kombinasi hutang yang banyak serta jumlah mata wang yang banyak akan menghasilkan masalah kos sara hidup. Jumlah hutang yang terlampau tinggi juga akan membuat ekonomi negara terdedah kepada krisis jika berlaku kejutan dalam ekonomi  walaupun kejutan tersebut pada asalnya berlaku di luar negara.

Itulah yang berlaku pada tahun 2007 apabila Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi dan kewangan yang turut menjejaskan ekonomi dunia. Akibatnya eksport Turki jatuh mendadak. Ekonomi Turki hanya dapat dipulihkan dengan cepat melalui pergantungan kepada pengaliran masuk dana dari luar, iaitu apabila banyak pelabur dari negara Eropah dan Amerika meminjam dana dari institusi kewangan mereka (kerana keadaan kadar bunga yang rendah di sana) dan melabur dalam ekonomi Turki.

Dalam usaha untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi tetap tinggi, Erdogan telah menggalakkan bank pusat melaksanakan polisi dasar kadar bunga yang rendah serta melonggarkan undang-undang untuk menyenangkan syarikat Turki meminjam dana dari institusi kewangan luar negara. Malangnya, tindakan ini bukan sahaja telah mendedahkan lagi ekonomi Turki kepada risiko apabila dana mengalir keluar, bahkan juga telah menyebabkan keadaan inflasi di Turki menjadi lebih serius.

Suasana inflasi yang semakin serius mengakibatkan pengkritik Erdogan semakin berani bersuara dengan lantang. Untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh beliau, Erdogan telah mula bersifat autoritarian dan menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati. Tindakan beliau membuatkan lebih ramai rakyat membencinya, terutamanya daripada kalangan sekularis dan `Kemalist’ yang dari awal lagi sememangnya tidak suka kepada perubahan berbentuk Islamik dalam masyarakat.

Suasana dilihat semakin getir pada tahun 2013 apabila kumpulan yang menentang Erdogan mengadakan demonstrasi di Taman Gezi. Pada mulanya, isu utama yang menjadi fokus penunjuk perasaan ialah penentangan terhadap projek pembangunan di taman tersebut yang merupakan salah sebuah kawasan hijau terakhir yang tinggal di bandar Istanbul. Namun begitu, demonstrasi tersebut telah merebak ke seluruh negara serta bertukar menjadi gerakan menentang Erdogan atas alasan beliau semakin bersikap autoritarian. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Erdogan bertindak balas secara keras dengan mengerahkan polis anti rusuhan untuk membanteras demonstrasi terhadap beliau. Akibatnya ratusan penunjuk perasaan telah ditahan.

Malang bagi Erdogan kerana pada masa yang sama, dalam usaha kerajaan Amerika untuk mengatasi masalah inflasi di Amerika, Bank Pusat Amerika (Federal Reserves) telah mengetatkan dasar monetarinya, iaitu dengan menaikkan kadar bunga. Akibat daripada perubahan dasar monetari Amerika ini, banyak pelabur antarabangsa mula memindahkan dana mereka dari beberapa buah negara membangun termasuklah dari Turki ke Amerika Syarikat bagi memperoleh keuntungan daripada situasi kadar bunga yang tinggi tersebut.

Akibat pemindahan dana daripada sistem kewangan Turki, akhirnya pemilikan asing bon kerajaan Turki turut menurun tahun demi tahun. Kini jumlah pemilikan asing adalah di bawah satu peratus sahaja, berbanding dengan 25 peratus pada bulan Mei 2013. Selain itu,pelabur asing juga telah menarik keluar lebih daripada A.S.$ 7 bilion daripada pasaran saham Turki.

Kebimbangan pelabur asing bertambah buruk selepas referendum yang diadakan oleh Erdogan pada tahun 2017 yang mengakibatkan jawatan Perdana Menteri dihapuskan dan kuasa dipusatkan kepada Presiden. Situasi ini menambahkan kuasa kepada Erdogan dan  telah digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mengawal banyak institusi penting dalam sistem politik dan ekonomi Turki.

Antara institusi yang terkesan daripada tindakan Erdogan ini ialah Bank Pusat Turki. Institusi berkenaan terpaksa tunduk kepada kehendak Erdogan dan tidak dibenarkan bertindak secara bebas dalam menangani masalah inflasi. Sebenarnya perkara yang berlaku ini berkaitan rapat dengan usaha Erdogan untuk merangsang ekonomi Turki semenjak  awal pentadbiran beliau lagi. Rangsangan ekonomi yang dilakukan dalam sistem yang berpaksikan amalan riba, yakni banyak aktiviti ekonomi dibiayai oleh dana yang diperoleh dengan cara berhutang dari industri hutang atau industri perbankan. Dalam hal ini, Erdogan sendiri keliru dengan isu kadar bunga dan menjangkakan bahawa kadar bunga yang rendah adalah lebih baik dan selari dengan ajaran Islam berbanding dengan kadar bunga yang tinggi. Sebenarnya kadar bunga yang rendah sangat berbahaya bagi jangka panjang kerana  akan menggalakkan banyak organisasi dan ramai rakyat cenderung untuk berhutang secara berlebihan.

Menyedari tentang risiko ini, kebiasaannya bank pusat di kebanyakan negara akan bertindak untuk menaikkan kadar bunga sebelum tahap hutang di dalam negara menjadi terlampau tinggi. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku di Turki kerana bank pusat Turki terpaksa akur kepada kehendak Erdogan yang mahu kadar bunga kekal rendah. Akibatnya banyak pelabur menjadi bimbang dan mengeluarkan dana dari Turki sekali gus mengakibatkan kejatuhan dalam nilai mata wang Lira. Kejatuhan nilai Lira bukan sahaja membuat kos import menjadi mahal dan mengakibatkan masalah inflasi menjadi lebih teruk, malah turut  menyebabkan syarikat Turki yang berhutang dari institusi kewangan luar negara menghadapi kenaikan dalam nilai hutang mereka.

Namun begitu, bank pusat Turki tetap akur dengan arahan Erdogan dan masih enggan menaikkan kadar bunga. Bahkan pada tahun 2021 apabila kadar inflasi semakin meningkat, bank pusat Turki telah mengurangkan kadar bunga secara mendadak , iaitu daripada 19 peratus kepada 8.5 peratus.  Hal ini mengakibatkan kadar inflasi mencanak naik menjadi 84 peratus pada Ogos 2022.

Pada masa yang sama, Lira terus menjadi lemah dan semakin menurun  lebih 80 peratus berbanding dengan dolar AS dalam tempoh lima tahun yang lalu. Keadaan menjadi lebih teruk kerana jumlah import Turki adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar eksportnya sehingga menyebabkan Turki mengalami masalah defisit akaun semasa sebanyak enam peratus daripada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam usaha untuk mempertahankan nilai Lira, bank pusat Turki telah membeli Lira dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan rizab dolar antarabangsanya. Malangnya langkah tersebut gagal menyelesaikan masalah walaupun rizab mata wang asing bersih Turki jatuh mendadak. Pada 19 Mei lalu, jumlah bersih rizab mata wang asingnya jatuh ke bawah paras sifar menjadi A.S.$ -151.3 juta.

Bagi membantu memulihkan ekonomi dengan cara menarik pelaburan asing, Erdogan terpaksa merubah polisi luar negaranya termasuklah dengan memulihkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara haram Israel, walaupun Israel pernah membunuh sembilan orang warga Turki dalam episod serangan ke atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 dan masih terus menzalimi warga Palestin dengan membunuh ratusan warganya setiap tahun dan terus merampas tanah-tanah mereka. Erdogan juga memulihkan hubungan  diplomatik dengan negara China walaupun beliau pernah mengutuk polisi kerajaan China yang menzalimi warga Uighur.

Hakikat sebenarnya ialah walaupun Erdogan telah memenangi pilihan raya baru-baru ini, pengaruh beliau dan parti AKP semakin hari semakin lemah. Ekonomi Turki juga semakin hari semakin bermasalah dan kemungkinan besar Turki akan terus berusaha untuk meningkatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara-negara Barat dan juga dengan Israel.

Pengajaran utama daripada masalah yang sedang dihadapi oleh Erdogan ialah jika sesebuah negara terus beramal dengan sistem riba yang mengangkat  industri hutang menjadi paksi kepada semua aktiviti ekonomi, sebarang pertumbuhan ekonomi adalah hanya bersifat sementara sahaja. Lambat laun keadaan ekonomi akan menjadi semakin parah kerana masalah inflasi dan kos sara hidup semakin meningkat dan peluang pekerjaan pula semakin kurang. Rakyat akan semakin kecewa dengan pemimpin walaupun pemimpin tersebut berniat baik dan mempunyai agenda untuk menanam nilai-nilai Islam di negara masing-masing. Malangnya pemimpin di kebanyakan negara Islam masih tidak dapat memahami hakikat ini.

Prof Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.