8 Julai 2023, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Konsep Malaysia sebagai negara berbilang bangsa pastinya tidak berlaku jika dilihat dari sudut kewarganegaraan Malaysia kerana bangsa (nation) itu ialah nationality (kebangsaan) yang juga bermaksud kewarganegaraan (citizenship).

Tidak mungkin warganegara Malaysia terdiri daripada pelbagai warganegara (bangsa) negara lain kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan konsep dwi-kewarganegaraan. Hal ini berbeza dengan kepelbagaian etnik dalam kalangan warganegara Malaysia.

Kerajaan perlu menonjolkan rakyat Malaysia yang berbilang etnik dan mempunyai warisan budaya berwarna-warni, tetapi mendukung identiti yang diberikan oleh Perlembagaan dari dua aspek.

Aspek asimilasi ialah hidup yang meliputi kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, berbahasa Melayu dan bertulisan Jawi, mengamalkan kesopanan dan kesusilaan berdasarkan nilai tempatan Malaysia, menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan serta cinta akan tanah air.

Aspek akomodasi pula memerlukan setiap warganegara menerima dengan hati terbuka mengenai kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan negeri, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, seterusnya kedudukan adat  Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan adat Anak Negeri di Borneo dalam kerangka perlembagaan sebagai sumber perundangan dalam penentuan adat tempatan.

Dalam penentuan budaya tempatan untuk mewakili identiti bangsa Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama dan doktrin persekutuan haruslah menjadi parameter dalam penerimaan kepelbagaian warisan budaya etnik di Malaysia.

Terdapat dua bentuk polisi yang perlu dipelihara untuk menghormati kepelbagaian warisan budaya yang masih diamalkan di negara ini. Pertama, kepelbagaian budaya yang hendak diangkat sebagai budaya rasmi atau kebangsaan; nilai dan bentuknya tidak boleh dilihat bercanggah dengan akidah orang Islam selaras dengan Perkara 3 yang menyentuh kedudukan agama Islam serta Perkara 11 dan Perkara 12 yang menyentuh prinsip kebebasan beragama dan pendidikan di Malaysia.

Kedua, adat budaya termasuklah kepercayaan etnik tempatan tertentu yang bercanggah dengan akidah agama Islam; amalan tersebut boleh diamalkan dalam kalangan mereka dan tidak boleh diangkat menjadi identiti budaya bangsa Malaysia. Ringkasnya, usaha untuk mempromosikan Malaysia perlu mengutamakan identiti watan negara ini seperti yang terpelihara dalam perlembagaan.

Usaha tersebut lebih konstruktif untuk menyatukan kesetiaan rakyat kepada raja dan negara. Penonjolan aspek berbilang etnik sewajarnya dibatasi sehingga tidak membayangi identiti Malaysia dari aspek Islam sebagai agama persekutuan dan negeri, bahasa kebangsaan, warisan budaya Melayu dan nilai moral tempatan.

Kepelbagaian itu sebaik-baiknya menonjolkan warisan budaya anak negeri Sabah dan Sarawak, selain budaya kumpulan etnik lain yang sudah menerima nilai tempatan yang tidak lagi menonjolkan budaya bangsa asing.

Kebersamaan identiti amat penting dalam memupuk rasa cinta terhadap negara sendiri. Usaha mempromosikan kepelbagaian yang tiada sempadan serta keterlaluan sebaliknya boleh menggagalkan pembinaan jati diri bangsa Malaysia berlandaskan prinsip keluhuran perlembagaan.

Semua pihak perlu menginsafi bahawa dalam aspek budaya, bahasa dan sastera yang disampaikan kesemuanya memberikan pengaruh ke atas pemikiran serta mempunyai kaitan dengan pembinaan jati diri seseorang itu.

Pada hakikatnya, pengajaran dan pemupukan budaya, bahasa dan sastera perlulah berkaitan rapat dengan tanah tumpah darah seorang warganegara, bukan asal usul keturunan dari negara lain. Oleh itu, unsur watan perlu dipupuk untuk mengukuhkan perpaduan nasional bagi memacu kemajuan negara dengan sejahtera.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamaddun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.