14 Julai 2023, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tindakan sesetengah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih untuk tidak melanjutkan pengajian menjadi buah mulut masyarakat sehingga mengundang pandangan berbeza dalam konteks kesinambungan pembangunan negara. Kebimbangan terhadap 60 peratus  atau 300 000 lepasan SPM memilih untuk bekerja di kilang atau menceburi bidang e-panggilan (e-hailing) berbanding dengan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi turut dirasai oleh mantan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom yang turut mengakui bahawa keadaan itu dikhuatiri akan merencatkan usaha negara dalam melahirkan lebih banyak golongan profesional, teknokrat dan ahli perniagaan.

Senario tersebut turut mendapat reaksi daripada Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang melontarkan idea untuk menjadikan ilmu keusahawanan sebagai subjek teras sekolah menengah dalam melahirkan golongan usahawan berpendapatan tinggi. Hal ini demikian kerana statistik yang didedahkan oleh beliau turut menunjukkan bahawa hanya 40 peratus daripada purata 500 000 lepasan SPM melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun. Hal ini menunjukkan bahawa baki lepasan SPM yang tidak melanjutkan pengajian menceburi diri dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan. Buktinya, hasil kajian Jabatan Perangkaan (DOSM) yang dijalankan pada Februari 2023 lalu mendapati sebanyak 97.71% pekerja gig dalam perkhidmatan e-panggilan di negara ini dimonopoli oleh golongan belia yang berusia 15 hingga 30 tahun manakala bakinya adalah golongan dewasa yang berusia lebih 60 tahun.

Bukan itu sahaja, terdapat juga pelajar lepasan SPM memilih untuk berkecimpung dalam dunia glamor sebagai seorang pempengaruh sehingga bertekad untuk mengetepikan pendidikan tinggi. Ada juga yang terpengaruh dengan momokan sinis bahawa “tak pandai tak apa, asalkan kaya” yang sering diucapkan oleh beberapa orang pempengaruh dalam media sosial. Kehidupan serba mewah yang disajikan oleh pempengaruh tesebut turut meracuni minda golongan muda bahawa mereka boleh berjaya tanpa mempunyai pendidikan yang tinggi.

Dunia glamor dan gaya hidup elit yang dipaparkan oleh sesetengah pempengaruh di TikTok juga turut membuatkan pelajar lepasan SPM ini seolah-olah terpukau untuk menjadikan pempengaruh sebagai karier mereka. Buktinya, kajian yang dijalankan pada bulan Mac yang lepas oleh Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI melaporkan bahawa sebanyak 34 peratus pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran memilih menjadi seorang pempengaruh media sosial. Berdasarkan kajian tersebut jelas menunjukkan bahawa golongan muda yang seharusnya menjadi pelapis kepemimpinan negara, pemikirannya telah dijajah dengan doktrin “pendidikan tidak menjamin kejayaan”.

Segelintir masyarakat berpendapat bahawa golongan muda tidak boleh dibiarkan terus hanyut dan terpesona dengan kadar pendapatan kasar tinggi yang diperoleh dalam bidang ekonomi gig dan pempengaruh yang ada pasang surutnya. Mereka perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan menyambung pengajian yang dapat meningkatkan kualiti dan taraf hidup diri serta keluarga bagi jangka masa panjang. Hal ini dikatakan demikian kerana, hakikatnya kerjaya sebagai seorang pempengaruh, pekerja kilang dan penghantar makanan belum tentu dapat menjamin masa depan mereka kelak ibarat peribahasa “air pun ada pasang surutnya, takkan pasang selalu dan surut senantiasa”.

Namun begitu, bagai perahu karam sebelah sekiranya kita hanya menyalahkan pelajar lepasan SPM sahaja. Hal ini kerana dalam konteks yang lebih besar, pihak kerajaan seharusnya bertindak dengan mengkaji punca golongan lepasan SPM ini tidak berminat mengikut jejak langkah “abang” dan “kakak” mereka. Kerajaan perlu menganalisis punca golongan tersebut tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat universiti, kolej atau kemahiran sama ada  berpunca daripada isu kewangan keluarga, akademik yang lemah atau realiti peluang pekerjaan. Adakah sesetengah pelajar lepasan SPM ini telah melihat realiti yang menakutkan mereka apabila kebanyakan yang bekerja dalam bidang ekonomi gig ini adalah daripada golongan siswazah yang terpaksa bekerja disebabkan tiada pekerjaan sepadan dengan kelulusan?

Justeru, kerajaan seharusnya menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji senario yang sedang berlaku ini. Isu ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana isu ini dilihat semakin kritikal apabila 300 000 orang pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Idea yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk menjadikan ilmu keusahawanan sebagai subjek teras sekolah menengah dalam melahirkan golongan usahawan berpendapatan tinggi ini diharapkan tidak hanya bagai “tanah pelempar balam, kalau mujur tiba di balam, kalau tidak surut ke tanah”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.