Oleh Nik Azman Nm
14 Julai 2023, 18:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlumbaan pembikinan senjata nuklear oleh kuasa-kuasa besar dunia merisaukan masyarakat dunia kerana bakal memberikan ancaman besar terhadap keamanan global. Fenomena ini bukan sahaja untuk pertahanan negara, bahkan sebagai persaingan untuk menunjukkan kekuatan sesebuah negara.

Antara negara yang terbabit dengan aktiviti perlumbaan tersebut ialah Amerika Syarikat (AS), Rusia, Britain, Perancis, China, Korea Utara, Israel, Iran, Pakistan dan India. Lebih mendukacitakan apabila ada antara negara tersebut sengaja melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengawal aktiviti tersebut.

Menurut laporan AFP, kuasa nuklear dunia terutamanya China meningkatkan perbelanjaan bagi pembelian senjata untuk negaranya dalam tempoh tiga tahun berturut-turut sehingga tahun 2022, ketika ketegangan geopolitik semakin memuncak, menurut dua laporan yang dikeluarkan sebelumnya.

Sembilan buah negara bersenjata nuklear dunia secara bersama-sama membelanjakan A.S.$82.9 bilion (RM383.12 bilion) bagi tujuan pengeluaran senjata mereka pada tahun 2022 dengan lebih separuh daripada perbelanjaan itu dilakukan oleh AS, menurut laporan baharu daripada Kempen Antarabangsa Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN).

Sementara itu, laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pula menunjukkan jumlah kepala peledak nuklear yang dimiliki oleh Britain, China, Perancis, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, Rusia dan AS berkurangan kepada 12 512 peledak awal tahun ini berbanding dengan 12 710 peledak pada awal 2022.

Walaupun sebahagian daripadanya termasuk kepala peledak lama yang dijadualkan untuk dileraikan, SIPRI berkata 9576 berada dalam “stok tentera dengan potensi digunakan”, iaitu lebih 86 berbanding dengan setahun sebelumnya.

Pengarah SIPRI, Dan Smith, berkata trend pembelian atau pembangunan senjata nuklear menunjukkan penurunan untuk tempoh yang lama, tetapi mula berubah sejak tiga tahun lalu. “Kami semakin hampir atau mungkin sudah mencapai penghujung tempoh panjang dengan jumlah senjata nuklear di seluruh dunia semakin berkurangan,” katanya kepada AFP.

Sambil merujuk pada simpanan kepala peledak nuklear yang boleh digunakan, Smith menjelaskan bahawa angka itu mula meningkat, namun jumlah itu masih jauh di bawah daripada 70 000 yang dihasilkan pada tahun 1980-an. Sebahagian besar peningkatan tersebut berlaku di China yang meningkatkan simpanannya daripada 350 kepada 410 kepala peledak.

Sementara itu, India, Pakistan dan Korea Utara juga meningkatkan simpanan mereka dan Rusia berkembang kepada tahap yang lebih kecil, iaitu daripada 4477 kepada 4,489 kepala peledak, manakala kuasa nuklear yang selebihnya mengekalkan saiz senjata mereka. Rusia dan AS mempunyai hampir 90 peratus daripada jumlah keseluruhan senjata nuklear global.

“Hal ini menunjukkan bahawa kami mempunyai lebih 30 tahun dengan bilangan kepala peledak nuklear mencatatkan pengurangan dan kami melihat proses situ berakhir sekarang,” katanya. Perkara itu disokong ICAN yang turut melaporkan perbelanjaan lebih tinggi dilakukan di negara tersebut. ICAN yang dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel 2017, mendapati bahawa perbelanjaan untuk senjata nuklear meningkat sebanyak tiga peratus berbanding dengan tahun 2021, yakni menandakan peningkatan tahunan ketiga berturut-turut.

Perbelanjaan sebanyak A.S.$82.9 bilion (RM383.12 bilion) menunjukkan bahawa perbelanjaan dikeluarkan sebanyak A.S.$157,664 (RM728,644) untuk setiap minit pada tahun 2022, menurut laporannya bertajuk “Pembaziran: Perbelanjaan Senjata Nuklear Global 2022”.

Sementara itu, laporan sama juga menunjukkan bahawa Washington membelanjakan sebanyak A.S.$43.7 bilion (RM202 bilion), sedikit kurang berbanding dengan setahun sebelumnya, tetapi masih jauh di hadapan berbanding dengan negara lain.

China dalam kedudukan seterusnya dengan perbelanjaan A.S.$11.7 bilion (RM54.07 bilion), diikuti oleh Rusia pada AS$9.6 bilion (RM44.37 bilion) dengan kedua-dua negara itu menunjukkan peningkatan sekitar enam peratus tahun lalu berbanding dengan tahun 2021.

India pula menyaksikan berlakunya lonjakan perbelanjaan paling drastik dengan memperuntukkan lebih A.S.$2.7 bilion (RM12.48 bilion) atau 21.8 peratus lebih tinggi berbanding dengan setahun sebelumnya, manakala Britain meningkatkan tahap perbelanjaannya sebanyak 11 peratus, iaitu sebanyak A.S.$6.8 bilion (RM31.43 bilion).

Laporan itu juga mendedahkan kaedah yang dilakukan oleh syarikat terbabit dalam pengeluaran senjata nuklear semasa menerima kontrak baharu yang bernilai bawah A.S.$16 bilion (RM73.94 bilion) tahun lalu dan seterusnya membelanjakan  sebanyak A.S.$113 juta (RM522.23 bilion) hanya untuk tujuan melobi kerajaan AS dan Perancis.

Katanya, pada peringkat global, negara bersenjata nuklear mempunyai kontrak dengan syarikat untuk menghasilkan senjata nuklear bernilai sekurang-kurangnya A.S.$278.6 bilion (RM1.28 bilion), secara berterusan dalam beberapa kes sehingga 2040.

Pada masa yang sama, penyelidik di SIPRI juga menyatakan bahawa usaha diplomatik terhadap kawalan senjata nuklear dan pelucutan senjata mengalami kemunduran berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022. Misalnya, Rusia menggantung penyertaan di bawah Perjanjian 2010 (era Perang Dingin) mengenai Langkah-Langkah untuk Pengurangan Selanjutnya dan Had Penggunaan Senjata Serangan Strategik, New START.

Selain itu, Smith turut menjelaskan bahawa peningkatan dalam simpanan tidak dapat diukur menerusi perang di Ukraine kerana mengambil masa lebih lama untuk membangunkan kepala peledak baharu dan sebahagian besar peningkatan itu adalah antara negara yang tidak terjejas secara langsung. China juga banyak melabur dalam semua aspek ketenteraannya apabila ekonomi dan pengaruhnya berkembang.

“Situasi yang sedang kita lihat sekarang ialah China semakin meningkat sebagai kuasa dunia dan turut memperbesarkan simpanan senjata nuklear,” katanya.  AFP melaporkan, bekalan senjata nuklear China dijangka meningkat lebih tiga kali ganda kepada 1500 peledak menjelang tahun 2035, kata Pentagon dalam satu laporan yang turut menyentuh peningkatan kecanggihan tentera udara China.

Washington mengenal pasti Beijing sebagai pencabar utama AS dan laporan tahunan berhubung dengan ketenteraan China mengetengahkan peningkatan senjata nuklear dan konvensional negara itu.

“Jabatan Pertahanan AS menjangkakan simpanan kepala peledak nuklear yang boleh beroperasi milik China sudah melebihi 400 peledak. Jika China meneruskan pengembangan nuklearnya dengan rentak yang sama, negara itu berkemungkinan memiliki simpanan kepala peledak sekitar 1500 menjelang 2035,” kata laporan itu.

Walau bagaimanapun, angka itu masih jauh ketinggalan di belakang simpanan senjata AS dan Rusia dengan masing-masing memiliki ribuan kepala peledak nuklear. Menurut laporan Pentagon itu, China mungkin berhasrat membangunkan peledak nuklear dan platform pelancar baharu yang sekurang-kurangnya memiliki keberkesanan, keutuhan dan ketahanan yang setanding dengan aset yang sedang dibangunkan AS dan Russia.

Beijing juga didakwa sedang berusaha memodenkan simpanan senjata balistik dengan melancarkan kira-kira 135 peluru berpandu itu dalam ujian sepanjang tahun 2022, iaitu lebih banyak daripada seluruh dunia, tidak termasuk peluru yang dilancarkan dalam konflik.

Laporan itu memaklumkan bahawa China sedang membangunkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang akan meningkatkan kekuatan nuklearnya secara signifikan.

Pasukan tentera udara Beijing, iaitu ketiga terbesar di dunia dengan lebih 2800 buah pesawat sedang mengejar keupayaan tentera udara Barat dengan pantas dan terus dimodenkan dengan penghantaran pesawat yang dibina secara domestik serta memiliki pelbagai jenis pesawat tanpa pemandu (UAV).

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un juga mengarahkan penghasilan senjata nuklear dan dipertingkatkan bagi memperkukuh sistem nuklear negaranya di tengah-tengah ketegangan di rantau ini, lapor Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA).Kim turut menyelia tugasan memasang kepala peledak pada peluru berpandu balistik dan mendengar laporan dari Institut Senjata Nuklear Korea Utara mengenai kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pemimpin Korea Utara itu menuduh musuh negaranya bersedia untuk menggunakan senjata nuklear “bila-bila masa dan di mana-mana sahaja”.

“Kita tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian sedia ada dan harus terus berusaha untuk mengukuhkan tidak balas nuklear secara berterusan,” dakwa Kim.Kim turut menyatakan keperluan untuk memperluas penghasilan bahawa nuklear dengan gred senjata serta terus menghasilkan senjata nuklear yang berkuasa bagi mencapai matlamat negara,iaitu peningkatan eksponen dalam senjata nuklearnya.

Beliau menambah bahawa senjata nuklear negara itu tidak ditujukan kepada negara lain atau kumpulan tertentu, tetapi bersiap siaga terhadap perang dan bencana nuklear itu sendiri. Arahan itu dikeluarkan ketika AS-Korea Selatan sedang mengadakan latihan ketenteraan bersama. Kapal pengangkut pesawat USS Nimitz dan kumpulan penyerangnya menjalankan latihan bersama dengan tentera laut Korea Selatan di perairan Pulau Jeju.

Menurut Reuters, dalam satu pengumuman selepas Kim memeriksa ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-17 baharu negara itu dan berjanji untuk menentang ancaman nuklear AS dengan senjata nuklear pada November 2022.

“Membina tenaga nuklear adalah untuk melindungi maruah dan kedaulatan negara dan rakyat dan matlamat utamanya adalah untuk memiliki kuasa strategik paling berkuasa di dunia, iaitu mencerminkan kuasa mutlak yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau menggelar Hwasong-17 sebagai senjata strategik terkuat di dunia. Hal ini menandakan keazaman dan keupayaan Korea Utara untuk membina tentera terkuat di dunia.Hwasong-17 mampu sampai ke AS danpelancaran peluru berpandu itu mendorong AS memohon Presiden PBB memberikan kenyataan bagi meminta Korea Utara bertanggungjawab atas ujian peluru berpandunya yang diharamkan oleh resolusi Majlis Keselamatan.

Peluru berpandu itu dengan jelas membuktikan kepada dunia bahawa DPRK merupakan kuasa nuklear sepenuhnya yang mampu menentang ketuanan nuklear imperialis AS dan menunjukkan kekuatannya sebagai negara ICBM paling berkuasa.

Terbaharu AFP melaporkan, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan negara itu sudah memusnahkan semua senjata kimianya yang disimpan sejak berdekad-dekad lamanya sebagai komitmen di bawah Konvesyen Senjata Kimia. “Hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan AS sudah memusnahkan segala senjata dalam simpanan, sekali gus membawa kita selangkah lebih dekat dengan dunia yang bebas daripada pengaruh senjata kimia,” katanya.

AS merupakan negara terakhir menandatangani Konvensyen Senjata Kimia bagi memusnahkan simpanan yang diisytiharkan walaupun didakwa masih mengekalkan simpanan rahsia senjata kimia.

“Ini kali pertama badan antarabangsa mengesahkan kemusnahan keseluruhan satu kategori senjata yang diisytiharkan secara besar-besaran,” kata Biden dalam satu kenyataan. Pengumuman itu dibuat selepas kemudahan tenteranya di Kentucky iaitu Blue Grass Army Depot, mengambil masa empat tahun bagi menghapuskan kumpulan terakhir dianggarkan lebih 500 tan agen kimia maut yang dipegang mereka.

AS sejak berdekad-dekad lalu menyimpan pelbagai jenis senjata kimia, termasuklah peluru artileri dan roket yang mengandungi gas mustard, agen saraf VX dan sarin serta agen lepuh (blister agents).

Pemilikan senjata seumpama itu dikutuk secara meluas kerana penggunaannya memberikan tindak balas mengerikan seperti berlaku ketika Perang Dunia Pertama. Namun begitu, kebanyakan negara masih mengekalkan penggunaannya pada tahun selepas itu.

Konvensyen Senjata Kimia yang dipersetujui pada 1993 serta dikuatkuasakan empat tahun kemudian memberikan tempoh kepada AS sehingga 30 September tahun ini untuk memusnahkan semua simpanan senjata kimianya.

“Negara lain menyertai pakatan itu sudah menghapuskan simpanan mereka dan hanya AS yang tinggal untuk menyelesaikan tugas mereka.Lebih 70,000 tan racun paling berbahaya dimusnahkan di bawah pengawasan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW),” kata ketua OPCW, Fernando Arias, Mei lalu.

Menurut Persatuan Kawalan Senjata AS, pada 1990 AS memegang hampir 28,600 tan senjata kimia iaitu penyimpanan kedua terbesar dunia selepas Rusia, namun negara itu selesai memusnahkan simpanannya yang diisytiharkan pada 2017. Menjelang April 2022, AS menyimpan kurang 600 tan untuk dimusnahkan.

“Rusia dan Syria harus kembali mematuhi Konvensyen Senjata Kimia dan mengakui bahawa ada simpanan mereka tidak diisytiharkan serta digunakan untuk melakukan kekejaman dan serangan melampau,” katanya.

Menurut Daily Star, seorang pakar senjata memberi amaran bahawa penggunaan senjata nuklear Rusia oleh Presiden Vladimir Putin akan membunuh sekitar lima bilion umat manusia dan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi.

Kesan daripada penggunaan senjata pemusnah besar-besaran itu termasuk kematian antara 200 hingga 300 juta manusia akibat letupan awal, diikuti kemusnahan tanaman dan penghasilan jelaga radioaktif menutupi langit yang mengakibatkan suhu di seluruh dunia menjunam, manakala berbilion-bilion penduduk berdepan kelaparan.

Amaran itu dikeluarkan oleh pakar bencana nuklear, Paul Ingram selepas Putin mengancam akan menggunakan senjata nuklear sekiranya Barat berdegil mahu campur tangan dalam perang di Ukraine.

Menurut laporan akhabr arus perdana, Indonesia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini mendorong rantau ini menjadi blok bebas nuklear, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang mengancam komitmen ASEAN mengenai penghapusan senjata nuklear.

Negara itu telah memulakan rundingan dengan lima rakan kongsi blok itu yang memiliki senjata nuklear iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom (UK) dan AS untuk menandatangani Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

China menjadi negara pertama menyatakan kesediaannya untuk menandatangani protokol itu, menurut agensi berita Vietnam (VNA). Dalam suatu kenyataan, bekas Duta Besar Indonesia ke Chile, Aloysius Lele Madja berkata rancangan China untuk menandatangani protokol itu “sangat bermanfaat kepada ASEAN” dan mungkin mendorong negara-negara lain untuk menandatanganinya.

Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok telah ditandatangani oleh semua anggota ASEAN pada tahun 1995 yang komited untuk tidak membangun, mengeluarkan atau memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear, menempat atau mengangkut senjata nuklear atau menguji atau menggunakan senjata nuklear.

Mereka juga komited untuk tidak membuang bahan radioaktif atau sisa ke laut, ke atmosfera atau di darat dalam zon berkenaan. Anggota ASEAN hanya boleh menggunakan bahan dan kemudahan nuklear secara eksklusif untuk tujuan damai dan sebarang program tenaga nuklear perlu menjalani penilaian keselamatan nuklear yang ketat mengikut garis panduan dan piawaian yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berkuat kuasa pada tahun 1997.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.