Oleh Rashid Ating
17 Julai 2023, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belanjawanku merupakan satu daripada projek utama di bawah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Pejabat Timbalan Naib Canselor, (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dengan mengambil contoh daripada Nibud (National Institute for Budget Information) atau Institut Negara untuk maklumat Belanjawan di Belanda, penyelidik di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial telah membangunkan Belanjawanku sebagai satu garis panduan perbelanjaan yang menyediakan anggaran minimum bagi perbelanjaan bulanan untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan, agar rakyat Malaysia mencapai piawaian yang munasabah serta boleh menjalankan kehidupan yang boleh diterima.

Buku Panduan Belanjawanku 2022 – 2023 yang boleh dicapai dan dimuat turun melalui laman sesawang KWSP. Sumber foto: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 2023

Belanjawanku 2022-2023 merupakan satu kajian komprehensif yang pertama di ASEAN mengenai panduan belanjawan isi rumah mengikut bandar dan kategori isi rumah. Belanjawanku 2019 dan 2022-2023 menumpukan kepada 11 perbelanjaan lazim, iaitu makanan, tempat tinggal, kesihatan, utiliti, penjagaan anak, simpanan peribadi, perbelanjaan khusus, penglibatan sosial, perbelanjaan pilihan, pengangkutan dan perjagaan diri. Kesemua perbelanjaan lazim ini akan disesuaikan mengikut tujuh kategori isi rumah, iaitu pengguna pengangkutan awam (bujang),  pemilik kenderaan sendiri (bujang), pasangan berkahwin tanpa anak, seorang anak, dua orang anak, ibu bapa tunggal seorang anak, dua orang anak, warga emas berpasangan dan terakhir sekali warga emas bujang untuk 12 bandar utama di seluruh negara, iaitu Lembah Klang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Kuching, Kuantan, Kota Bharu, Georgetown, Ipoh, Seremban dan Melaka.

Jadual 1: Perbandingan antara Belanjawanku 2019 dan Belanjawanku 2022-2023 serta Perbezaan (dalam RM) antara Dua Kitaran Perbelanjaan Tersebut.

Sumber: Perkiraan Penulis

Jadual 1 menunjukkan perbandingan antara Belanjawanku 2019 dan 2022-2023 serta perbezaan perbelanjaan bagi kedua-dua kitaran belanjawan tersebut. Perlu diketahui bahawa, pada Belanjawanku 2022-2023, terdapat tiga kategori isi rumah baharu yang telah diperkenalkan, iaitu ibu bapa tunggal seorang anak, dua orang anak dan warga emas bujang. Tambahan tiga kategori isi rumah ini adalah untuk memperlebar lagi skop sasaran kajian dalam Belanjawanku 2022-2023. Selepas hampir tiga tahun bergelut dengan penularan wabak COVID-19, seluruh dunia kini sedang melalui proses peralihan dan pemulihan kepada keadaan normal seperti sebelum berlakunya wabak tersebut. Sepanjang tempoh ini, dunia mengalami ketidaktentuan yang menyebabkan ekonomi dunia berada dalam keadaan yang tidak stabil. Maka itu, kita dapat melihat terdapat sedikit peningkatan jumlah perbelanjaan yang dicadangkan bagi setiap kategori isi rumah pada tahun 2022 hingga 2023 berbanding dengan tahun 2019 (menggunakan Lembah Klang sebagai rujukan, kerana Lembah Klang merupakan bandar pertama yang dibangunakan oleh Belanjawanku 2019).

Perkara asas dalam Belanjawanku ialah jumlah belanjawan yang dicadangkan berdasarkan pada bilangan isi rumah. Sebagai contoh, pasangan berkahwin dengan dua orang anak (empat orang ahli isi rumah), mempunyai cadangan perbelanjaan yang tertinggi berbanding dengan jumlah yang menghampiri RM7000 jika dibandingkan dengan kategori isi rumah yang lain, seperti pengguna kenderaan awam yang bujang, mempunyai cadangan perbelanjaan sekitar RM2000 sahaja.

Jadual 2: Persamaan Belanjawanku 2019 dan 2022-2023.

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 2023.

Jadual 2 menunjukkan persamaan antara Belanjawanku tahun 2019 dengan tahun 2023. Persamaan pertama merujuk pada penggunaan perbelanjaan lazim yang sama, iaitu makanan, tempat tinggal, kesihatan, utiliti, penjagaan anak, simpanan peribadi, perbelanjaan khusus, penglibatan sosial, perbelanjaan pilihan, pengangkutan dan perjagaan diri.

Kedua, tinjauan harga dijalankan secara dalam talian dan melawat ke pasar dan pasar raya yang kerap dikunjungi oleh orang ramai di kawasan tersebut. Tinjauan harga juga dijalankan di premis perniagaan sebenar seperti pasar raya, pasar basah, kedai runcit atau serbaneka tempatan dan farmasi. Pemilihan pasar fizikal dan pasar raya yang kerap dikunjungi ini hendaklah dalam lingkungan jarak 30 kilometer dari pusat bandar (antara andaian asas yang perlu dipatuhi dalam Belanjawanku). Semakin banyak pasar fizikal dan pasar raya awam yang dapat dikunjungi oleh pasukan penyelidik, adalah lebih baik kerana dapat memberikan maklumat yang bernilai tentang keadaan sebenar sesebuah kawasan tersebut kepada pasukan penyelidik.

Selain itu, sebelum melakukan tinjauan sebenar, pasukan penyelidik perlu menjalankan tinjauan awal untuk mendapatkan harga barangan dan perkhidmatan di bandar-bandar utama tersebut berdasarkan dokumen bercetak yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), National Property Information Centre (NAPIC), Prasarana Malaysia (penyedia pengangkutan bas) dan lain-lain. Hal ini bertujuan untuk memberikan gambaran awal tentang harga barang dan perkhidmatan kepada pasukan penyelidik sebelum turun ke lapangan.

Ketiga, pasukan penyelidik menggunakan harga kuartil pertama (yang ke-25) pada rangkaian jenama produk sebagai titik penentuan harga. Apabila berdepan dengan keadaan pilihan produk terhad, harga purata digunakan. Tawaran istimewa dan harga musim perayaan tidak diambil kira. Perkara ini turut terpakai terhadap perbelanjaan lazim seperti makanan, kerana penyelidik perlu mempertimbangkan kos makanan yang dimasak di rumah dan kos makan di luar.

Jadual 3: Perbezaan Belanjawanku 2019 dan 2022-2023.

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 2023.

Jadual 3 menunjukkan perbezaan antara Belanjawanku 2019 dan 2022-2023. Perbezaan pertama adalah dalam skop kawasan kajian dijalankan. Belanjawanku 2019 hanya meliputi kawasan Lembah Klang, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (ibu negara Malaysia) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (pentadbiran ibu negara baru untuk Malaysia) serta tujuh daripada sembilan daerah bandar di Selangor (pemilihan ini kerana daerah-daerah ini berada dalam lingkungan 30 kilometer dari kawasan kajian dijalankan). Daerah-daerah tersebut ialah Gombak, Hulu Langat, Petaling,  Klang, Kuala Langat dan Sepang manakala dalam Belanjawanku 2022-2023, skop kawasan kajian masih dikekalkan sama seperti seperti Belanjawanku 2019. Malah, diperlebar lagi ke 11 bandar-bandar utama di seluruh Malaysia, iaitu Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Alor Star, Kuantan, Kota Bahru, Georgetown, Kuching, Ipoh, Melaka, Seremban. Proses pengumpulan data untuk 11 bandar utama ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu (Lembah Klang dan daerah-daerah terpilih di Selangor dalam fasa pertama). Fasa kedua pengumpulan data meliputi Alor Star, Johor Bahru, Kota Kinabalu, dan Kuala Terengganu. Fasa ketiga meliputi Kuantan, Kota Bahru, dan Georgetown, dan fasa terakhir meliputi Kuching, Ipoh, Melaka, dan Seremban (proses pengumpulan data untuk fasa ketiga ini dijalankan semasa negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan, PKP).

Perbezaan kedua ialah kaedah kajian yang digunakan. Belanjawanku 2019 menggunakan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD), borang tinjauan soal selidik, dan tinjauan harga, manakala Belanjawanku 2023 masih menggunakan metodologi yang sama, antaranya termasuklah Kaedah Delphi untuk menggantikan borang tinjauan soal selidik. Kaedah Delphi digunakan dalam fasa ketiga dan keempat pengumpulan data apabila pasukan kajian menggunakan satu siri soal selidik interaktif untuk merujuk individu dari setiap kategori isi rumah dalam fasa ini. Bukan itu sahaja, seorang pakar yang terdiri daripada ahli akademik dan industri yang dipilih sebagai individu yang boleh dirujuk untuk Kaedah Delphi ini.

Ketiga, dalam Belanjawanku 2019, kaedah borang kajian soal selidik dijalankan dengan kadar penerimaan sebanyak 56 peratus, manakala Belajawanku 2023 tidak menggunakan kaedah ini.

Keempat, Belanjawanku 2023 menggunakan kaedah Delphi sebagai alternatif kaedah kajian berikutan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengehadkan perjalanan bagi membendung penularan pandemik COVID-19. Dengan menggunakan kaedah Delphi; pasukan ini berjaya mengumpulkan sebanyak 61 peserta (15 peserta dari Kuantan; 15 peserta dari Kota Bharu; 12 peserta dari Pulau Pinang dan 19 peserta dari Kuching). Sementara itu, Belanjawanku 2019 tidak menghadapi isu perjalanan yang dihadkan, kerana kajian tersebut dijalankan sebelum penularan wabak COVID-19.

Kelima, bilangan kategori isi rumah dalam Belanjawanku 2019 adalah sebanyak tujuh kategori, manakala dalam Belanjawanku 2021 pula, kategori isi rumah Belanjawanku kekal dengan penambahan tiga kategori baharu isi rumah, iaitu warga emas, ibu bapa tunggal yang mempunyai seorang anak dan ibu bapa tunggal yang mempunyai dua orang anak pada Belanjawanku 2022-2023. Jumlah ini menjadikan sembilan kategori isi rumah pada Belanjawanku 2022-2023. Bilangan peserta yang terlibat semasa FGD dalam Belanjawanku 2019 adalah sebanyak 69 orang peserta, manakala dalam Belanjawanku 2021, jumlah peserta meningkat empat kali ganda kepada 491 orang peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.