21 Julai 2023, 20:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh pelbagai bangsa dan etnik yang memiliki dialek, agama dan budaya masing-masing. Kebanyakan daripada kita terutamanya yang tinggal di Semenanjung seolah-olah hanya mengetahui dan mengenali tiga kaum utama yang ada di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa mengenali pelbagai etnik lain yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Jurang yang jauh terpisah dan hanya dihubungi melalui jalan laut dan udara mungkin antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini.

Masyarakat hanya mengetahui kewujudan mereka melalui pengajaran di sekolah dan pembacaan dalam buku-buku teks sejarah di sekolah, namun seiring dengan peredaran masa kita seolah-olah lupa akan kewujudan etnik-etnik ini di negara kita. Namun begitu, hal ini tidak menjadi alasan untuk mana-mana pihak mempersendakan segala adat dan budaya etnik tersebut kerana sebagaimana kita menghormati kaum utama di Malaysia, golongan etnik di Sabah dan Sarawak juga layak mendapat penghormatan yang sewajarnya kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Sesetengah masyarakat dilihat mempunyai pemahaman yang jelas tentang budaya kaum yang ada di Semenanjung, tetapi dilihat kurang arif tentang budaya etnik yang ada di negeri Sabah mahu pun Sarawak. Sabah yang merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia mempunyai 33 jenis etnik seperti Kadazan dusun, Murut, Bajau dan Rungus dan penduduknya berkomunikasi dalam 50 bahasa dan 80 dialek yang berbeza. Sarawak juga merupakan negeri yang mempunyai jumlah etnik yang banyak, iaitu 28 etnik dengan etnik terbesar di negeri tersebut ialah Iban. Antara etnik lain yang ada di Sarawak ialah Bidayuh, Melanau, Dayak dan lain-lain lagi.

Melihat kepada jumlah etnik yang banyak di negeri Sabah dan Sarawak, tidak mustahil rakyat di kedua-dua negeri tersebut mempunyai kerencaman budayanya yang tersendiri. Budaya tersebut sebagaimana agama dan bahasa merupakan identiti yang menjadi kepunyaan dan kebanggaan mereka. Beberapa tahun lepas, tular video seorang pempengaruh yang menyamakan makanan tradisi etnik di negeri tersebut, ambuyat sebagai kahak. Sudah tentu tindakan tersebut menimbulkan kemarahan penduduk Sabah kerana ada pihak yang mempersendakan makanan tradisi mereka.

Walau bagaimanapun, video yang tular tersebut juga sebenarnya secara tidak langsung memperkenalkan ambuyat kepada rakyat Malaysia. Ambuyat juga dikenali sebagai linut ialah sejenis makanan tradisional bagi kaum Brunei dan Bisaya. Makanan ini menjadi sajian utama kedua-dua etnik tersebut selepas nasi dan dihidangkan sebagai menu harian dan hidangan wajib semasa hari istimewa seperti majlis perkahwinan dan hari perayaan atau keramaian etnik tersebut.  Hidangan yang diperbuat daripada sagu rumbia sangat terkenal di Sabah, Sarawak dan Brunei. Ambuyat yang berwarna putih cair dan teksturnya seakan-akan gam enak dimakan semasa masih panas dan selalunya dicicah dengan kuah yang lebih masam atau pedas bersama-sama ikan rebus, ikan bakar dan ulam-ulaman. Hidangan yang rasanya tawar ini lebih selesa dimakan dengan menggunakan kayu penyepit tempatan yang dikenali sebagai candas. Ambuyat juga selalu dinikmati beramai-ramai kerana mampu mengeratkan silaturahim apabila masing-masing berebut-rebut mengambilnya untuk dicicah dengan sajian sampingan yang lain.

Dua tahun lepas, turut tular di laman sosial apabila ada pempengaruh yang mempersendakan pakaian tradisional hingga menimbulkan kemarahan masyarakat terutamanya etnik Iban. Dalam video yang tular, pempengaruh tersebut menyamakan pakaian kebanggaan kaum etnik Iban,iaitu Ngepan Iban atau Ngepan Indu Iban dengan alas meja 70-an, kain buruk, langsir lama dan perkataan lain yang kurang sopan. Hal ini sememangnya menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sarawak khususnya etnik Iban kerana Ngepan Iban merupakan pakaian tradisi yang menjadi warisan dan kebanggaan mereka. Bahkan, terdapat pelbagai badan bukan kerajaan seperti Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Sarawak (KEMADA) dan Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Tajai (Tajai) Sarawak turut membuat laporan polis berkaitan dengan video tular tersebut. Mereka berasa kecewa dan kesal dengan tindakan pempengaruh tersebut yang mempersendakan pakaian warisan tradisi milik mereka.

Sebaik-baik sahaja tularnya video tersebut, banyak pihak yang mula berkongsi tentang keunikan Ngepai Iban kepada masyarakat kerana jelas masih banyak pihak yang tidak mengetahui tentang pakaian tradisi tersebut. Ngepai Iban ialah pakaian tradisi berzaman bagi kaum wanita etnik Iban dan bukanlah hanya satu sahaja persalinan kerana kaum Iban mempunyai sub etniknya yang tersendiri. Pakaian tradisi ini sangat istimewa dan hanya dipakai pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika majlis perkahwinan, perayaan Gawai, adat istiadat tertentu dan lain-lain lagi. Pemakaian Ngepai Iban juga harus mengikut tertib dan tidak boleh secara semberono. Jika tidak, hal tersebut akan membawa maksud yang berbeza dan dipercayai boleh mendatangkan mudarat kepada si pemakai dan keluarganya. Bahkan, Negepai Iban mempunyai harga yang tinggi kerana kualiti dan keunikannya.

Kedua-dua video tular tersebut membuktikan bahawa sesetengah masyarakat di negara ini masih kurang pengetahuan dan terdedah dengan kerencaman budaya yang terdapat di negara ini terutamanya budaya rakyat negeri Sabah dan Sarawak. Hal ini sedikit sebanyak membimbangkan kerana budaya sebagaimana agama juga sangat bernilai dan berharga buat pemunyanya. Rakyat Malaysia juga perlu menghormati kerencaman budaya bukan sahaja tiga kaum utama di Malaysia, malah juga membabitkan etnik lain yang terdapat di negara kita. Dr. Baterah Alias, Prof. Madya Dr. Huzaimah Ismail dan Prof. Madya Dr. Che Zarinna Sa’ari dalam kertas kerja mereka bertajuk “Perpaduan Kaum di Malaysia: Suatu Kajian” menyatakan bahawa masalah perbezaan geografi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak merupakan halangan ke arah usaha mewujudkan integrasi nasional. Walaupun terdapat pelbagai halangan, namun dengan kecanggihan teknologi kini, perpaduan dan integrasi masyarakat boleh dipertingkatkan agar keharmonian dan keamanan negara tidak terganggu gugat.

Sementara itu, menurut Amir Hasan Dawi dalam kajiannya bertajuk “Hubungan Etnik di Institusi Pengajian Tinggi: Satu Kajian Etnografi Habitus dan Model Budaya dalam Kalagan Pelajar Berlainan Etnik”, hubungan etnik di Malaysia didapati agak renggang antara etnik berlainan bangsa, agama dan budaya akibat kurangnya interaksi antara etnik sehingga menyebabkan konflik berlaku dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha dan langkah perlu diambil bagi menangani masalah ini walaupun sebenarnya jarang-jarang sekali isu berkaitan budaya ini berbangkit. Antara usaha yang boleh dilaksanakan termasuklah dengan memperkasakan elemen silang budaya bagi menambahkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat agar tidak berlakunya salah faham dan konflik antara etnik di negara kita.

Usaha pengarah filem tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad yang membawa masyarakat mengenali kerencaman budaya di negara kita dengan mendalam melalui filem-filem arahannya seperti Mualaf, Talentime dan Sepet selain iklan-iklan arahannya wajar dicontohi oleh penggiat seni yang lain. Siri animasi Upin dan Ipin terbitan Les Copaque Production juga antara yang membawa kerencaman budaya di negara kita ke layar televisyen. Yang menariknya, siri animasi tersebut yang turut disiarkan di negara jiran kita Indonesia, sekali gus memperkenalkan imej Malaysia ke dunia luar yang berbilang kaum, budaya, sopan dan beragama.

Pada hakikatnya, Malaysia yang kaya dengan kerencaman budaya, agama dan bahasa memerlukan masyarakatnya sentiasa berusaha demi memastikan keharmonian negara tidak tergugat dengan salah faham dan ketidakpuasan hati antara etnik. Kerajaan sebenarnya telah melaksanakan pelbagai dasar dan polisi yang mengutamakan perpaduan bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian demi kelangsungan pembangunan dan kestabilan negara. Setiap daripada kita juga perlu menggalas tanggungjawab ini dengan menghormati budaya etnik lain dan tidak sewenang-wenangnya mempersendakan kebudayaan dan tradisi warisan masing-masing. Railah kerencaman budaya etnik lain di negara kita sebagaimana kita meraikan budaya negara luar yang dibawa masuk ke negara ini agar perpaduan masyarakat Malaysia tetap kekal kukuh dan teguh.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.