27 Julai 2023, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertubuhan Perfileman dan Kesenian Kebangsaan (JK-PUSPAL) telah mengambil tindakan yang sangat wajar dalam membatalkan konsert kontroversial kumpulan The 1975 di Malaysia. Keputusan ini diambil selepas mendapati kumpulan itu gagal menjaga tertib dan adab semasa berada di negara ini. Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan nilai, maruah dan undang-undang yang dipegang teguh oleh rakyat Malaysia, malah juga sebagai satu amaran jelas kepada anak-anak muda tempatan tentangĀ  peri pentingnya mematuhi peraturan dan norma sosial dalam kehidupan mereka.

Dalam dunia global dan sempadan kehidupan yang mula pudar, amat penting bagi rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa nilai-nilai dan maruah bangsa, adat resam dan budaya negara kita dijaga dan dikekalkan dengan teguh melalui amalan rakyat Malaysia. Seiring dengan kemajuan dan perubahan zaman, kita tidak boleh mengabaikan warisan budaya dan identiti kebangsaan yang telah menjadi asas kepada keharmonian dan kesatuan dalam kepelbagaian masyarakat yang kita miliki.

Sebagai sebuah negara yang berbilang etnik dan berbudaya, Malaysia mempunyai keunikan dan kepelbagaian seni yang patut diraikan dan dipelihara. Acara seni dan kebudayaan memberikan platform untuk memperlihatkan kekayaan budaya kita kepada dunia luar dan menyalurkan kreativiti seniman tempatan. Namun, pada masa yang sama, perlu diingatkan bahawa segala bentuk seni dan hiburan haruslah berada dalam sempadan undang-undang dan adab yang diakui di negara yang berdaulat ini.

Kegagalan untuk menghormati dan mematuhi undang-undang serta norma sosial tempatan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap nilai dan maruah bangsa. Tindakan yang menyalahi peraturan dan adat resam dapat menimbulkan kemarahan dan menghakis kesejahteraan dalam masyarakat. Oleh itu, kesedaran dan kesungguhan dalam memahami dan menghormati budaya negara adalah penting bagi setiap warganegara dan pihak yang ingin membuat persembahan seni atau hiburan di Malaysia.

JK-PUSPAL sebagai badan yang bertanggungjawab telah mengambil keputusan yang tepat dalam membatalkan konsert The 1975 yang gagal mematuhi undang-undang, adab dan aturan semasa berada di negara ini. Tindakan ini merupakan contoh terbaik dalam memperlihatkan aspek keadilan dan peraturan diguna pakai untuk memastikan nilai dan maruah bangsa dijaga dan ditegakkan.

Melalui kesedaran dan pemahaman tentang nilai kebudayaan dan undang-undang yang dijunjung tinggi oleh masyarakat Malaysia, kita dapat membentuk masyarakat yang harmoni, sejahtera dan saling menghormati. Dalam menghargai dan memahami keunikan budaya, kita juga menyediakan satu platform untuk membangunkan kesedaran yang lebih mendalam mengenai identiti negara.

Budaya ialah ciri unik yang membezakan antara satu bangsa dengan bangsa lain dan perlu dijaga sebagai aset berharga bagi kelestarian bangsa. Penghayatan nilai-nilai yang terdapat dalam budaya hidup sesuatu etnik dan kearifan tempatan (local wisdom) menjadi kunci untuk menyemai rasa cinta dan kesetiaan terhadap bangsa dan tanah air kita.

Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati, kepelbagaian budaya harus dipandang sebagai sumber kekayaan dan peluang untuk saling belajar dan menghargai. Penghayatan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati, empati dan toleransi menjadi asas dalam pembinaan hubungan yang erat antara satu sama lain. Melalui cara ini, masyarakat Malaysia dapat berkembang sebagai satu entiti harmoni dan saling melengkapi dalam kepelbagaian yang dimiliki.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berusaha bersama-sama menyemai semangat cinta kepada bangsa dan kebanggaan kepada warisan budaya. Melalui sikap yang saling menghormati dan mengamalkan nilai-nilai bangsa, kita dapat menyusun langkah demi langkah ke arah membina negara yang berdaya saing, adil dan dikenali kerana kesatuan dalam kepelbagaian budayanya.

Jangan sesekali kita merosakkan identiti dan warisan budaya dengan bertindak melampaui batasan undang-undang dan adab resam. Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan memegang teguh nilai-nilai kebudayaan negara, mencipta masyarakat yang bersatu padu dan mekar dalam perpaduan serta kepelbagaian seni dan kehidupan.

Kegagalan The 1975 dalam mematuhi peraturan dan adab tempatan tidak boleh dikompromikan. Dengan ketiadaan rasa hormat terhadap undang-undang dan norma sosial, perbuatan mereka telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Malaysia. JK-PUSPAL dengan bijaksana telah mengambil tindakan tegas untuk membatalkan konsert tersebut, sebagai tanda dan amaran bahawa rakyat Malaysia mempunyai batasan tertentu yang perlu dihormati oleh setiap individu atau kumpulan yang ingin mengadakan persembahan di negara ini.

Tindakan ini sepatutnya diambil sebagai pengajaran yang berharga kepada anak-anak muda tempatan. Mereka perlu memahami bahawa sikap menghormati undang-undang dan budaya tempatan adalah penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan selaras dengan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan acuan yang kita miliki. Selain menunjukkan rasa bangga terhadap identiti kebangsaan, sikap menghargai dan mematuhi undang-undang juga mencerminkan nilai-nilai kepimpinan dan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

Selain itu, tindakan JK-PUSPAL juga menjadi pengajaran terpenting kepada artis dan kumpulan lain yang merancang untuk mengadakan persembahan di Malaysia. Mereka perlu memahami bahawa masyarakat kita menuntut kesedaran dan sikap hormat terhadap budaya dan nilai-nilai yang dijunjung tinggi. Kehadiran kumpulan luar negara dalam acara seni tidak sepatutnya menggugat dan merosakkan identiti budaya, tetapi sepatutnya menjadi satu pengalaman yang saling memperkaya dan menghargai kepelbagaian seni dan kebudayaan.

Dalam sebuah dunia yang semakin bersatu lantaran kecanggihan tekonolgi yang dimiliki, masyarakat tidak boleh mengabaikan kepentingan nilai, maruah dan undang-undang yang menjadi asas kepada sebuah negara. Tindakan JK-PUSPAL merupakan satu contoh yang mencerminkan kita sebagai rakyat Malaysia perlu melindungi dan mempertahankan identiti kita, sambil menggalakkan keharmonian dan kepelbagaian dalam kehidupan seharian.

Jika masyarakat mahu melihat negara terus maju dan berkembang, maka kepatuhan terhadap undang-undang dan budaya tempatan perlu menjadi suatu perkara yang perlu dijunjung tinggi oleh semua warganegara, termasuklah artis dan kumpulan dari luar negara. Dengan itu, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang dikenali kerana keunikan budaya, kepelbagaian seni dan rakyatnya yang berakhlak mulia.


Penulis, Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.