Oleh Aninah Janang
29 Julai 2023, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto : Mohd Farid Janudin

Terengganu —  Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 atau lebih dikenali sebagai PRN Terengganu, hari ini menyaksikan penamaan calon di sejumlah 32 kerusi DUN yang berjalan dengan lancar.

Seawal pukul 9.00 pagi, rata-rata calon yang mewakili parti politik atau bertanding atas tiket Bebas berjaya menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di semua 32 buah pusat penamaan calon yang telah ditetapkan oleh SPR.

Analisis sejumlah 32 kerusi DUN Terengganu menyaksikan pertembungan besar antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) di kesemua kerusi. Sementara itu, Parti Bebas dan MUDA masing-masing bertanding di satu DUN. Hal ini bermaksud sebanyak 30 kerusi menyaksikan pertembungan dua penjuru antara PH dengan PN, manakala hanya dua DUN menyaksikan pertembungan tiga penjuru, iaitu di DUN N.04 Hulu Besut (BN, PAS dan Bebas) dan DUN N.14 Bandar (BN, PAS dan MUDA).

Daripada statistik yang dikeluarkan oleh SPR, hingga 21 Jun 2023, PRN Terengganu akan menyaksikan sebanyak 923 857 orang pengundi biasa; 2444 (tentera dan pasangan); 4513 (polis dan pasangan polis PGA): dan 80 (pengundi tidak hadir luar negara).

PRN Terengganu pada kali ini pastinya akan memberikan tumpuan kepada tiga calon berpengaruh, iaitu Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (daripada PAS) yang akan ditentang dua penjuru di DUN N.19 Ru Rendang oleh calon PH, Suhami Sulaiman (daripada Amanah). Sementara itu, tumpuan juga diberikan kepada dua mantan MB Terengganu, iaitu Datuk Seri Ahmad Said, di DUN N.30 Kijal dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di DUN N.11 Seberang Takir.  Kedua-duannya masing-masing mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi pada PRU Ke-14, pada tahun 2018.

Selain itu, turut diadakan ialah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak dengan PRN Terengganu.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kerusi berkenaan diisytiharkan kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, pada 27 Jun lalu yang membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Parti PAS, pada PRU ke-15 lalu.

Sebagai rekod kemenangan pada PRU DUN Ke-14, daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 10 DUN dikuasai oleh BN, manakala sebanyak 22 DUN oleh PAS.

PRN Ke-15 pada kali ini akan menyaksikan buat pertama kalinya enam buah negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengadakan PRN serentak pada 12 Ogos ini. PRN di enam buah negeri ini juga mencatatkan sejarah yang tersendiri sebagai PRN pertama yang diadakan berasingan daripada PRU. Sementara itu, jumlah  kerusi DUN yang dipertandingkan di negeri yang terlibat adalah sebanyak 245 kerusi DUN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.