Oleh Aminudin Mansor
31 Julai 2023, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam kehidupan di dunia, ilmu memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk amalan, akhlak serta ibadah agar lebih sempurna. Daripada pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu agama, ilmu jiwa, ilmu pendidikan, ilmu sains dan teknologi dan kemasyarakatan akan mendidik manusia ke arah kebaikan.

Fenomena kini menunjukkan sebilangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi mahu meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi disebabkan tiada kemampuan kewangan untuk menanggung kos pendidikan yang semakin tinggi dan juga diandaikan tidak menjanjikan pekerjaan selepas keluar dari universiti. Pandangan ini sewajarnya diubah dengan menonjolkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari pada peringkat tinggi itu mampu menjadikan seseorang itu lebih berdikari dan mampu bekerja sendiri.

Dalam konteks ini, maka jelaslah melalui ilmu, seseorang itu akan menguasai pelbagai pengetahuan dan lapangan kemahiran. Menuntut ilmu wajar dijadikan budaya dan kebiasaan buat seorang insan. Bagi melaksanakan dan meneruskan pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat mestilah dijadikan budaya dalam masyarakat di negara ini. Budaya yang baik ini bukan sahaja dapat memacu negara ke arah kemajuan dan pembinaan tamadun yang diinginkan,malahan dapat membangunkan modal insan yang terbaik.

Konsep pendidikan sepanjang hayat sangat penting untuk difahami, iaitu perihal mendidik, memberikan latihan, ajaran dan didikan dalam kehidupan, manakala hayat bermaksud hidup dan kehidupan. Hal ini merupakan suatu usaha mencari, meneroka dan menimba ilmu pengetahuan, kemahiran dan latihan secara berterusan tanpa had umur. Sewajarnya masyarakat dapat mengamalkan pendidikan sepanjang hayat menerusi pembelajaran formal dan tidak formal.

Pelbagai khazanah ilmu pengetahuan harus dipelajari dan diterokai bagi membentuk peribadi insan yang beriman, bertakwa, tabah, dinamik, progresif serta menjauhi sifat-sifat mazmumah dan sanggup menghadapi sebarang kemungkinan ke arah jalan kebenaran. Ilmu yang dimanfaatkan untuk kebaikan akan mendapat ganjaran pahala di akhirat kelak.

Bidang pendidikan kini menjadi teras penting dalam membangunkan tamadun manusia. Suatu ketika dahulu, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, aspek pendidikan negara menjadi fokus penting bagi melengkapkan generasi muda dengan persediaan yang secukupnya untuk menghadapi cabaran abad ke-21 dengan mengetengahkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam, tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak transformasi yang dilaksanakan. Oleh sebab itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan yang berani dan pantas bagi melaksanakan perubahan yang dihasratkan.

Tugas guru sebagai pendidik sangat besar dan mencabar dalam mendidik murid untuk mendapatkan ilmu, membentuk akhlak dan mengekalkan peribadi mulia. Guru juga merupakan pendorong ke arah kemurnian akal budi, pemikiran serta memperkembangkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam proses pendidikan.

Ciri-ciri pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat bertujuan merebut peluang pendidikan dengan meneroka ilmu tanpa had masa dan umur, berdedikasi dalam menimba ilmu pengetahuan, rela berkongsi ilmu terkini serta menunjukkan daya saing yang sihat ke arah masyarakat minda kelas pertama.

Fenomena pada masa ini, terutamanya dalam kalangan remaja menjadikan mereka mudah terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan diri dan potensi mereka sebagai modal insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia. Kejayaan dan kegigihan beberapa nama tokoh tersohor dalam bidang pendidikan dan keilmuan seperti Profesor Diraja Ungku Aziz (ekonomi dan koperasi) Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Koo Kay Kim (sejarah dan pendidikan), Profesor Emeritus Dr. Ismail Hussein (bahasa, budaya dan persuratan) haruslah menjadi galakan dan rangsangan kepada pencinta ilmu. Mereka bukan sahaja terkenal dan masyhur pada zamannya, malah terpaksa bersusah payah, tidak seperti zaman ini yang serba mudah untuk melakukan penyelidikan dalam usaha memberikan sumbangan yang besar terhadap kemajuan negara.

Justeru, kejayaan ilmuwan silam juga wajar dijadikan teladan dan kesinambungan ke arah kejayaan generasi seterusnya dalam pelbagai bidang ilmu. Oleh itu, dalam menuntut apa-apa juga bidang ilmu, niat seseorang itu mestilah ikhlas bagi tujuan kesejahteraan keluarga, bangsa dan negara. Kesinambungan keilmuan ini mestilah dikekalkan oleh para remaja dan generasi muda. Sebagai contoh, sumbangan para sarjana terdahulu misalnya kepada pembangunan sains dan teknologi tidak boleh dinafikan. Melalui sumbangan mereka itulah yang menyebabkan pelbagai kejayaan ditempa dalam perkembangan ilmu itu sendiri.

Maka, jelaslah bahawa ilmu dan amal juga dapat mengubat pelbagai penyakit rohani dan gejala sosial yang melanda remaja pada masa ini. Kenyataan ini pernah dijelaskan oleh Ibn’ Adz bin Jabal, iaitu menuntut ilmu sama dengan ibadah, memperkatakannya sama dengan tasbih, menyelidiki sama dengan berjihad, mengamalkannya sama dengan sedekah, memikirkannya sama dengan puasa, membuat penyelidikan sama dengan solat malam dan mengajarkan kepada keluarga sama dengan mengorbankan seekor haiwan yang besar.

Dalam kehidupan di dunia, golongan remaja mempunyai ruang masa yang amat berharga, selain tenaga yang cergas dan mental yang cerdas bagi mendalami apa-apa juga bidang ilmu. Masa yang dipenuhi dengan kegiatan yang berfaedah seperti mempelajari bidang ilmu baharu akan dapat mengangkat martabat sesuatu bangsa. Pembentukan peribadi melalui ilmu, amal dan akhlak mestilah bermula pada peringkat kanak-kanak dan remaja. Proses ini akan berterusan hingga dewasa ke arah menjadi modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam semua bidang.

Seseorang yang berilmu dan berakhlak akan menjadi modal insan yang berguna kepada sesebuah negara. Para pelajar sama ada di sekolah menengah atau di pusat pengajian tinggi sewajarnya mempunyai kesedaran dalam diri ke arah proses pembentukan akhlak dan perkembangan jiwa yang murni. Mereka sewajarnya mengelakkan hati dan diri dengan unsur negatif yang boleh merosakkan akhlak. Antaranya termasuklah menghindarkan diri daripada pelbagai unsur hedonisme dan budaya yang merosakkan. Selain itu, mereka perlu mengelakkan diri daripada gejala kerosakan moral dalam masyarakat seperti vandalisme, gejala samseng, penyalahgunaan dadah, pengguguran bayi dan perlumbaan haram.

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa juga amat penting dalam menerapkan budaya ilmu dan semangat ingin terus belajar dalam hati dan jiwa anak-anak. Melalui pendidikan di rumah, ibu bapa dapat menanamkan perasaan cinta akan budaya ilmu. Proses ini mestilah dilakukan berterusan secara berperingkat sejajar dengan proses pendidikan di sekolah.

Kepentingan pendidikan sepanjang hayat sangat jelas, iaitu dapat menjana modal insan minda kelas pertama, membentuk masyarakat bersifat bestari, mampu bersaing dengan negara maju yang lain dalam mengejar arus kemajuan dan pemodenan serta mampu menjana pembangunan diri dan negara.

Kejayaan kepada kecemerlangan dan budaya ilmu ini banyak bergantung pada ilmu, amal dan akhlak dalam kalangan generasi muda. Mereka merupakan pewaris kepimpinan pada masa depan terhadap sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Melalui ilmu, kemahiran tinggi yang telah difahami, dikuasai serta dipraktikkan dapat melahirkan kejayaan yang seimbang selaras dengan konsep Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah digubal dan menjadi panduan sejak dahulu kerana telah banyak menyumbang dalam membentuk kemajuan dan pembangunan negara dalam semua bidang bagi menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.