4 Ogos 2023, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak belakangan ini, isu inflasi semakin menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana inflasi mempengaruhi banyak faktor yang membawa akibat terhadap negara kita yang pada akhirnya memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat di negara ini.

Inflasi merupakan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu.  Dalam erti kata lain, nilai mata wang menurun dan harga barang meningkat. Apabila berlaku inflasi, barangan yang boleh dibeli dengan nilai ringgit terdahulu akan menjadi lebih mahal. Sebagai contoh, jika anda mempunyai RM1.00 semalam dan boleh membeli gula-gula, hari ini anda mungkin tidak dapat membeli gula-gula yang sama dengan RM1.00 yang dibeli sebelumnya.

Dalam konteks dunia, isu inflasi di Malaysia banyak dicetuskan berikutan isu pergolakan antara Ukraine dengan Rusia yang menyebabkan dunia mengalami kemerosotan bekalan makanan dunia dan menyebabkan proses yang panjang dan sukar untuk menampung permintaan bekalan manakan dari serta dunia. Malah, permintaan barangan dan perkhidmatan dalam pasaran turut meningkat dengan mendadak yang tidak mampu ditampung oleh pembekal ataupun peniaga pada ketika ini. Justeru, pembekal atau peniaga tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menaikkan harga barangan dan caj perkhidmatan bagi memenuhi permintaan tinggi yang berlaku di pasaran. Sebagai akibatnya, nilai ringgit turut merosot kerana kebanyakan barangan keperluan perlu diimport ketika nilai Ringgit Malaysia  jatuh. Oleh hal yang demikian, kos operasi, pengeluaran dan pengedaran serta kos tenaga juga meningkat. Hal ini diburukkan lagi dengan isu di China yang mengalami dasar polisi COVID sifar yang turut memburukkan lagi rantaian bekalan dunia yang juga menjejaskan pemulihan ekonomi global.

Dalam mengurus isu inflasi, kerajaan Malaysia harus segera mencari kaedah yang terbaik agar rakyat secara keseluruhannya tidak terbeban dan banyak kehidupan yang terjejas. Inflasi yang melanda pada hari ini walau bagaimanapun tidak boleh dilihat sama seperti yang Krisis Kewangan Asia yang berlaku pada tahun 1997 hingga tahun 1998. Hal ini turut diperjelas oleh  Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyatakan bahawa keadaan ekonomi negara pada masa kini amat berbeza dengan situasi yang pernah dihadapi sewaktu Krisis Kewangan Asia pada 1997-1998.

Ujar beliau ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, pada 4 Oktober 2022 bahawa asas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kini jauh berbeza daripada Krisis Kewangan Asia yang lalu susulan pelbagai pembaharuan yang telah dan akan dilaksanakan. Antara lain, katanya termasuklah struktur ekonomi domestik yang lebih pelbagai, disokong oleh sistem kewangan yang bemodalkan baik dan kedudukan luaran yang kukuh. Sebagai contoh, pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi  dan negara mempunyai lebihan akaun semasa, didorong oleh eksport yang pelbagai. Setakat tahun 2022, akaun semasa negara kekal positif dengan jumlah RM3.0 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion pada suku kedua tahun berkenaan.

Tambah Datuk Seri Mohd Zafrul, definisi sebenar krisis ekonomi bagi sesebuah negara apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merudum, pengangguran mencanak naik, perniagaan tutup lalu mengakibatkan hutang lapuk yang tinggi dan kesan buruk kepada bank. Malaysia, tambahnya lagi sememangnya pernah mengalami keadaan demikian semasa krisis kewangan pada tahun 1997 hingga tahun 1998, dan tidak dilupakan ketika negara berhadapan dengan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Dalam berhadapan dengan inflasi yang melanda, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani risiko pertukaran wang asing. Hal ini termasuklah dengan menggunakan instrumen dasar operasi bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing. Walaupun BNM tidak menyasarkan sebarang paras kadar pertukaran, BNM pastinya akan berusaha agar tidak berlaku perubahan secara drastik atau melampau dalam nilai ringgit. Tindakan inilah menurut Datuk Seri Mohd Zafrul yang akan membantu perniagaan merancang, serta melaksanakan keputusan perniagaan dan pelaburan dengan lebih baik.

Selain itu, kerajaan juga akan memastikan institusi perbankan dan syarikat korporat di Malaysia mengambil langkah berhemat dalam menghadapi risiko pertukaran asing dan melindungi ringgit daripada aktiviti spekulatif. Langkah tersebut pastinya akan  dapat mengurangkan risiko perubahan kadar ringgit yang berlebihan. Sebagai contoh, BNM telah memperkenalkan instrumen pelindung nilai seperti dynamic hedging bagi menyediakan fleksibiliti agar peserta pasaran kewangan dan sektor perniagaan boleh melaksanakan pengurusan risiko pendedahan mata wang asing dengan lebih baik. Selain itu, sebahagian besar hutang luar negeri syarikat adalah dalam bentuk pinjaman antara syarikat berkaitan serta kredit perdagangan. Jelas Datuk Seri Mohd Zafrul, pinjaman itu secara umumnya dikenakan syarat yang fleksibel dan pada kadar konsesi atau disokong perolehan eksport mata wang asing.

BNM juga melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan akses dan menarik pelabur asing dalam pasaran bon domestik, termasuk usaha menambah baik mudah tunai bon pasaran sekunder serta memperkukuh struktur dan mudah tunai pasaran pertukaran asing. Malah kerajaan juga akan terus menggiatkan usaha mengukuhkan sentimen pelabur asing terhadap Malaysia menerusi pelaksanaan dasar yang berupaya meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Pada peringkat kepimpinan tertinggi negara pula, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menerapkan beberapa insentif untuk mengatasi isu inflasi di Malaysia dengan mengumumkan pelbagai bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat dalam meringankan impak akibat inflasi. Antara bantuan yang ditawarkan kerajaan termasuklah Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan terdapat banyak lagi bantuan yang dikeluarkan pada tahun 2023 mengikut Belanjawan 2023.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan menganggarkan kadar inflasi negara boleh melebihi 10 peratus sekiranya pelbagai bantuan subsidi tidak diberikan. Maka itu, Perdana Menteri berkata  kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM64 bilion pada tahun ini demi memastikan rakyat akan dapat terus menikmati subsidi barangan asas seperti beras, gula, petrol serta tarif elektrik. Tanpa peruntukan yang besar itu, beliau menjelaskan bahawa sudah tentu sukar untuk rakyat terutama golongan B40 untuk membeli barangan keperluan asas terbabit.

Kerajaan juga turut menyediakan pelbagai bantuan sosial, termasuk bantuan tunai kepada kumpulan sasar bagi mengurangkan kos sara hidup tinggi. Beliau berkata, kerajaan sudah menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 secara berperingkat kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion mulai 17 Januari lalu, malah STR akan diteruskan dengan beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan dan mendapat manfaat. Bantuan kerajaan yang disalurkan kepada rakyat dijangka dapat membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta penerima, dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion. Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40 tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR memanfaatkan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa negara ini. Kerajaan kekal dengan hasrat membantu meringankan beban rakyat malah kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga hingga 30 peratus lebih murah berbanding dengan harga pasaran, iaitu membabitkan 222 kawasan Parlimen.

Banyak pihak menjangkakan bahawa isu inflasi ini akan berlanjutan selama dua tahun. Hal ini bermakna wang yang kita diperoleh hari ini akan terus kehilangan nilainya. Pada masa yang sama, hal ini menyebabkan nilai perbelanjaan akan terus menurun secara mendadak untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun. Oleh itu, pelbagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia seperti peruntukan hampir RM40 bilion bagi manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana, disediakan dalam usaha membantu kumpulan kecil rakyat Malaysia untuk kembali bangkit serta berdaya saing selepas terkesan dengan pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.