Diterbitkan pada 7 Ogos 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur –  Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia atau singkatannya PUSPANITA dari Cawangan Kementerian Pendidikan Malaysia (CKPM) mengadakan Program Kembara Ilmu ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini.

Sebanyak 45 orang ahli PUSPANITA CKPM menyertai lawatan yang diketuai oleh Pengerusi PUSPANITA CKPM, iaitu YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias. Lawatan ini disambut baik oleh pihak pengurusan DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari dan isterinya, Puan Hajah Azlina Hashim, merangkap Pengerusi PUSPANITA DBP.

Simbolik program bermula dengan rakaman gambar di pekarangan Wisma DBP bersama-sama ahli PUSPANITA CKPM dan pengurusan DBP.

Menerusi program tersebut, ahli PUSPANITA CKPM dibawa melawat Akademi DBP, iaitu bahagian yang bertanggangungjawab menganjurkan kursus yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan.

Puan Noraini Abd Shukor, Perancang Bahasa Kanan Akademi DBP memberikan penerangan tentang fungsi dan peranan Akademi DBP.

Seterusnya, para peserta berkesempatan melawat Taska Qistina DBP, iaitu taska yang disediakan oleh pihak pengurusan DBP untuk memberikan kemudahan kepada staf DBP menghantar anak-anak mereka untuk penjagaan sementara dalam tempoh mereka bekerja.

YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias, Pengerusi PUSPANITA CKPM menyantuni kanak-kanak di Taska Qistina DBP.
Kanak-kanak yang berada di Taska Qistina kelihatan ceria dan mesra semasa menerima kunjungan daripada PUSPANITA CKPM.

Semasa di Anjung DBP, para peserta diperkenalkan dengan buku-buku terkini terbitan DBP dan pembelian buku secara dalam talian menggunakan portal DBPNiaga dan JendelaDBP yang merupakan pelantar yang menyediakan bahan bacaan terkini terbitan DBP secara dalam talian.

Ahli PUSPANITA CKPM memilih buku yang terdapat di Anjung DBP.

Melalui kunjungan ke Pusat Dokumentasi Melayu pula, para peserta didedahkan dengan maklumat tentang manuskrip Melayu lama yang berkaitan dengan bahasa dan sastera yang terdapat di DBP dan bahan rujukan yang terdapat di pusat tersebut. Semasa melawat Bahagian Buku Sekolah, para peserta diberikan taklimat tentang penerbitan dan penghasilan buku teks sekolah yang menggunakan teknologi terkini, seperti teknologi realiti terimbuh (AR) dan penggunaan kod respon pantas (kod QR).

Tuan Haji Ruslan Abdull Raffar, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah semasa  memberikan taklimat tentang penerbitan buku sekolah.

Sebelum mengakhiri lawatan, para peserta di bawa ke Sanggar Tun Sri Lanang untuk majlis ringkas meraikan peserta lawatan Program Kembara Ilmu ke DBP. Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP telah memberikan taklimat korporat DBP kepada para peserta sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Pengarah DBP dan Pengerusi PUSPANITA CKPM.

Menurut Dr. Haji Hazami Jahari,

Sebenarnya kami mendukung aspirasi rakyat untuk memastikan negara kita terus terbina dalam kerangka tamadun kita sendiri melalui bahasa, sastera dan penerbitan.

Istimewanya DBP ini ialah sebuah organisasi badan berkanun yang berperanan khusus untuk mengembangkan bahasa kebangsaan.

Menurutnya lagi,

Saya berharap agar lawatan ringkas ini dapat memberikan pemahaman tentang fungsi dan peranan sebenar DBP.

Pengerusi PUSPANITA CKPM, Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias dalam ucapannya pula berkata,

Kami berasa terpanggil untuk mengetahui tentang program dan kursus anjuran Akademi DBP setelah mendengar taklimat tentang Akademi DBP.

Saya juga cakna akan cabaran DBP untuk memartabatkan bahasa dalam era yang penuh dengan kecanggihan teknologi digital pada masa ini.

YBhg. Dato’ Sri Noorhuda, Pengerusi PUSPANITA CKPM menyampaikan ucapan penghargaan kepada DBP.

Tambah beliau,

Pada masa ini bukan mudah untuk menarik minat generasi muda untuk jatuh cinta dengan bahasa, jadi kita perlu bersama-sama membantu DBP untuk menggalakkan anak muda mencintai bahasa .

YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dan isterinya, Puan Hajah Azrina Hashim, Pengerusi PUSPANITA DBP menyampaikan cenderamata penghargaan kepada PENGERUSI PUSPANITA CKPM.

 

Pengurusan PUPANITA CKPM dan PUSPANITA DBP bergambar bersama-sama pengurusan DBP.

Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP; Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP merangkap Timbalan Pengerusi PUSPANITA DBP; Puan Fadzilah Fadzil, Naib Pengerusi PUSPANITA CKPM dan Puan Sofia Nor Molhit, Ketua Biro Dokumentasi dan Penerbitan PUSPANITA CKPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi